Khamis, 28 Februari 2013

~~~Mula Marifah Akan Allah~~~


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati-hati hambaNya. Selawat dan Salam atas Nabi al-Mukhtar Muhammad al-Mustofa. Awal kalam, suka saya bercerita tujuan saya menulis blog ini. Blog ini ditulis setelah sahabat saya mengadu atau memberi kritikan atau meminta tolong kepada saya berkenaan bahan bacaan berkenaan ilmu Tauhid atau Aqidah atau Usuluddin yang ternyata kurang dalam laman-laman blog yang ada dasawarsa ini. Maka digerakkan jari jemari, ditiup tekad, semangat dan azam oleh Allah untuk saya mengambil peranan Fardhu Kifayah( Saya buat orang lain tak payah) dalam bab penyebaran dan perbincangan bahagian Tauhid di sini.

Adapun awal-awal agama itu mengenal akan Allah (Makrifah Allah) seperti sabda nabi s.a.w. :
أَوَّلُ الدِّين مَعْرِفَةُ اللَّه
"Mafhumnya; Awal-awal(permulaan) bagi agama itu ialah makrifah (kenal) akan Allah."

Bagi mengenal Allah pula, manusia itu mahu atau tidak mesti mengenali akan hakikat dirinya dan kejadian alam ini kerana alam kejadian itulah cermin atau punca bagi manusia mengenal akan Allah. Sabda Nabi s.a.w. lagi;
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ وَخَالَفَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ وَتَابَعَهُ
"Mafhumnya; Barang siapa telah mengenal dirinya dan alam ini kemudian menentang atau menolaknya maka dia telah mengenali akan Tuhannya iaitu Allah dan mengikut segala aturanNya"

Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dengan lembaga Adam a.s. itu sebagai khalifah pertama dan segala kejadian hormat sujud kepada baginda. Sesungguhnya Allah menjadikan lembaga Adam a.s. itu daripada 14 jenis tanah iaitu 7 tanah Dunia dan 7 tanah Akhirat. Barang siapa kenal, musyahadah (nampak) dan mujahadah akan dirinya pasti dia akan sampai kepada mengenali akan Allah.

Kata Ibnu Abbas r.a.:

  1. Kepala Allah jadikan daripada tanah Baitul Maqdis, tempat akal(fikir) dan berkata-kata.
  2. Muka Allah jadikan daripada tanah Syurga, tempat segala kecantikkan dan perhiasan.
  3. Dua telinga Allah jadikan daripada tanah Bukit Thursina, tempat mendengar segala nasihat.
  4. Kening dan belakang daripada tanah Irak, tempat sujud kepada Allah.
  5. Gigi daripada tanah al-Khausar, tempat bagi segala manisan.
  6. Tangan serta anak jari sebelah kanan daripada tanah Kaabah, tempat berkat dan pertolongan.
  7. Tangan serta anak jari sebelah kiri daripada tanah Paris, tempat bersuci dan Istinjak.
  8. Dua kaki serta betis daripada tanah Hindi, tempat berjalan.
  9. Tulang daripada tanah Jabal(bukit) Qaf, tempat tunjang dan keras.
  10. Zakar serta urat daripada tanah Babilon, tempat Syahwat, dengki dan tipu daya.
  11. Perut daripada tanah Khurasan, tempat bagi kelaparan.
  12. Hati daripada tanah Jannatul Firdaus, tempat bagi iman dan yakin.
  13. Lidah daripada tanah Thaif, tempat Syahadah. Tadhorruq dan doa.
  14. Dua mata daripada tanah al-Hauth, tempat elok dan memperelokkan.
(Hikayat) Pada suatu masa zaman pemerintahan Abbasiah di Baghdad. Terdapat seorang atheis(tidak percaya kewujudan tuhan) dari kerajaan Rom datang ke sana dan mempertikaikan kewujudan tuhan. Si atheis mengatakan alam ini jadi dengan sendirinya iaitu melalui proses semulajadi alam tanpa ada yang menjadikan alam ini. Menjadi huru-hara lah di dalam kota Baghdad oleh kerana dalil-dalil akal Si Atheis itu tidak dapat dipatahkan oleh ulama-ulama yang sudah berdebat dengannya. Allah berkehendak dengan sifat IradahNya untuk mengangkat darjat Imam Ahmad bin Hanbal maka suatu perdebatan atau perbahasan diatur antara Imam Ahmad bin Hanbal dan si Atheis. Apabila perbahasan dimulakan Imam Ahmad bin Hanbal sampai lewat beberapa jam selepas masa dijanjikan, maka inilah satu kesalahan yang menjadi kelebihan untuk si Atheis mempertikaikan peribadi Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad menjelaskan kenapa beliau lewat tiba seperti masa yang telah ditetapkan; 

"Semasa aku ingin melintas sungai Furat (Euphrates) tidak ada sampan atau perahu di situ. Aku pun menunggu dalam suatu tempoh masa yang agak lama, tiba-tiba datang satu papan kemudian datang lagi papan-papan yang lain sehinggalah menjadi sebuah sampan dan dapatlah aku datang ke sini. Sunngguh ajaib perkara itu."

Maka jawab si Atheis;

"Ini semua mengarut, dongeng! Mana boleh diterima pada akal sampan itu boleh terjadi dengan sendirinya. Perkara ini mustahil."

Kata Imam Ahmad;

"Sampan yang kecil dan mudah untuk dibina, tidak mampu kamu terima pada akal dibina dengan sendiri. Inikan pula alam ini yang tersusun setiap kejadiannya mestilah ada yang menjadikannya iaitu Allah."

Kelulah lidah si Atheis dan matilah hujah-hujahnya dengan Karamah(kemuliaan) dan kebijaksanaan Imam Ahmad Bin Hanbal.

Sesungguhnya permulaan ilmu tauhid untuk mengenal akan Allah ialah HUKUM AKAL dan perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut pada perbincangan akan datang. In Shaa Allah. 

Selasa, 26 Februari 2013

~~~Wali yang disumpah~~~


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah syukur ke Hadrat Allah kerana memberi peluang lagi kepada kita untuk sama-sama berdiskusi dan berkongsi keluasan ilmu Allah. Selawat dan salam atas junjungan besar rahmat atas sekalian Alam Muhammad s.a.w. 

Pada kali ini suka saya berkongsi kisah Wali yang disumpah. Al kisah pada zaman Nabi Musa a.s. ada seorang lelaki yang taat beribadah kepada Allah yang diberi nama Bal'am bin Ba'urak. Kerjanya adalah beribadah kepada Allah siang dan malam sehinggalah namanya lekat dibibir orang-orang berdekatan bahawa Bal'am ini seorang Wali dan doanya dimakbulkan Tuhan. Kemudian pada suatu masa yang sama, Nabi Musa a.s. membuat pengumuman bahawa Bani Israel akan ke Palestin bagi menuntut semula tanah Bani Israel di sana iaitu dengan cara berperang. Bani Israel yang umum mengetahui sebagai pengecut cuba mengelak dari berperang. Mereka takut mati dan sebagainya cuba menghasut Bal’am agar berdoa supaya tidak jadi perjalanan mereka untuk berperang. Bal’am tidak sanggup dan tidak akan berdoa kepada Musa a.s. kerana Nabi Musa a.s. itu nabi lagi rasul Ulul Azmi sedangkan dirinya hanyalah Wali. Tidak boleh Wali berdoa buruk-buruk kepada nabi lagi rasul. Setelah pujuk rayu terus kepada Bal’am gagal, Bani Israel tidak berputus asa. Mereka cuba pula pujuk rayu melalui isteri Bal’am. Bal’am tetap berkeras tidak akan berdoa sehinggalah pada satu malam apabila keinginan kepada isterinya memuncak. Isterinya hanya akan melayan Bal’am sekiranya dia mendoakan keburukan kepada Nabi Musa a.s. Bal’am mendoakan juga setelah tewas kepada godaan nafsunya sendiri maka sesatlah Nabi Musa dan para pengikutnya di Lembah Sinai selama 40 tahun. Pada masa yang sama Allah sumpah Bal’am dan isterinya menjadi sepasang babi hutan akibat JAHAT ADAB mendoakan buruk kepada nabinya sendiri. Firman Allah dalam Surah al-Maedah ayat 60;

 قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ۬ مِّن ذَٲلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِ‌ۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡہُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ شَرٌّ۬ مَّكَانً۬ا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ 

“Mafhumnya; Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul. 

(Hikayat) Dalam munajat Musa a.s. di Thursina, baginda bertanya terus kepada Allah siapakah yang akan menjadi jiran tetangganya di syurga kelak. Maka Allah memberi tahunya si Fulan bin si Fulan tinggal di suatu tempat. Turunlah Nabi Musa a.s. dari munajatnya maka bersegeralah baginda mencari gerangan manusia yang akan menjadi jirannya di syurga kelak. Apabila berjumpa alamat dan  ciri-ciri seperti dikhabarkan Allah kepada baginda lalu Nabi Musa a.s. memberi salam kepada tuan rumah tersebut iaitu seorang pemuda. Selepas menjawab salam, membuka pintu dan mempelawa masuk pemuda tidak terus melayan akan tetamunya iaitu Nabi Musa a.s. tetapi masuk semula ke dalam bilik dan melakukan tugasnya yang terbengkalai. Kemudian  Nabi Musa melihat pemuda itu keluar dengan mendukung babi selepas dimandikan. Setelah selesai menguruskan dua ekor babi itu barulah pemuda itu melayan tetamunya Nabi Musa a.s. Bertanyalah Nabi Musa a.s. kepada pemuda itu apakah agama anutannya? Jawab pemuda itu aku menganut agama Tauhid. Tanya Nabi Musa a.s. lagi, agama Tauhid(Islam) tidak membenarkan membela babi?. Jawab pemuda itu, babi itu ialah kedua Ibu Bapanya dan mereka telah berdosa besar kepada Allah dan disumpah menjadi babi. Aku sebagai anak menjalankan tugasku kepada mereka iaitu berbakti dan melayan mereka sebagai tugas anak soleh. Tahulah Nabi Musa a.s. bahawa pemuda itu merupakan anak yang soleh dan melayan kedua ibu bapanya walaupun mereka dalam keadaan rupa seekor babi. Kata setengah pendapat, pemuda yang soleh itu adalah anak kepada seorang wali iaitu Bal’am suami dan isteri yang disumpah menjadi babi.

(Hikayat) Terjadi suatu kisah atas bahtera Nuh a.s. setelah lama dalam pelayaran maka banyaklah najis dan berbau busuklah di atas bahtera tersebut. Maka munajatlah Nuh a.s. kepada Allah supaya dipermudahkan urusan mereka di atas bahtera itu. Maka datanglah Jibril a.s. kepada Nuh a.s. wahai Nuh, sapulah kamu akan dahi gajah itu, lalu disapunya dahi gajah itu dan dengan kudrah Allah terbitlah dari belalai gajah itu babi ternakan yang jenis makan najis. Taajub dan hairanlah mukmin di atas bahtera itu melihat kudrah Allah. Kemudian apabila Iblis yang juga menumpang di bahtera itu melihat keyakinan mukmin atas bahtera itu semakin bertambah disapulah pula belakang babi itu maka keluarlah tikus dari hidung babi tersebut. Menjadi hairanlah Nuh a.s. kerana kehadiran tikus yang merosakkan seluruh bahteranya. Oleh kerana takut tenggelam bahtera itu maka munajatlah Nuh a.s. kepada Allah supaya dihantarkan bantuan segera, maka dating Jibril a.s. disuruh kepada Nuh a.s. supaya digosok dan disapu belakang harimau maka keluarlah kucing lalu diburu segala tikus yang ada. Sejak dari kejadian atas bahtera ini maka kucing dan tikus berseteru sehingga ke hari ini.

Pengajaran kepada kita jagalah adab kerana apabila berhadapan dengan Allah kita beradab sebagai hamba, berhadapan dengan nabi kita beradab sebagai umat, berhadapan dengan guru kita beradab sebagai murid dan apabila berhadapan dengan ibu bapa kita beradab sebagai anak yang soleh.








Isnin, 25 Februari 2013

~~~TAAT dan Tugas~~~

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala pujian kembali dan hanya berhak kepada Allah. Selawat dan salam atas Muhammad Rasulullah S.A.W. Penghulu segala kejadian al-Kaun dan al-Mukawwin. Syukur kepada Allah kerana diberi petunjuk untuk menyambung menulis dalam laman ini agar boleh dikongsi bersama sahabat-sahabat semua.

Tajuk kali ini segaja dipilih kerana bagi saya bersesuaian dengan keadaan pada hari ini yang berkehendak kepada perbincangan lebih mendalam mengenai sifat TAAT ini. Kebanyakkan daripada kita mengetahui perkataan TAAT ini namun tidak mendalami maksud ISTILAH dan kadang-kadang sesetengahnya hanya semberono mengikut membabi buta tanpa mengetahui apa-apa. Tujuan saya menyampaikan ini bukan untuk mengkritik sesetengah pihak atau menyokong sesetengah pihak, kerana segala suatu yang berlaku itu adalah pengajaran kepada saya atas ketentuan dariNya semata.

Mafhum Hadis;

"Tidak ada Islam kecuali dengan Jemaah,
Tidak ada jemaah kecuali dengan Ketua,
Tidak ada Ketua kecuali dengan Taat."

TAAT menurut tafsiran kitab Fardhu Ain mudah Zadul Mutaallim ialah mengikut atau menurut perintah orang yang wajib diikuti dan dituruti perintahnya. Melalui TAAT itu sempurnalah segala peraturan-peraturan dan berbahagialah suatu pergaulan. TAAT ialah tanda jelas IKHLAS dan KASIH. TAAT ialah tanda MUKMIN dan bekal bagi orang-orang ISLAM. Wajib TAAT ini terbahagi kepada tiga;

  • Taat kepada Allah dan Rasul dan Pemerintah
  • Taat kepada ibu bapa
  • Taat kepada GURU (Ulama dan pendidik) 

Taat yang suka saya huraikan ialah TAAT kepada pemerintah kerana TAAT yang lain sudah jelas kepada semua sahabat-sahabat sekalian. Pada masa yang lalu ketika pemerintahan Abbasiah tercatatlah sejarah bahawa fahaman Muktazilah berleluasa dan pada masa yang sama khalifah juga turut terpengaruh dengan fahaman ini. Fahaman ini megatakan bahawa al-Quran itu Baharu bukan Qadim ramailah para ulama mengikut akan fahaman ini selepas didesak oleh sang Khalifah kecuali seorang yang masih tinggal di kota Baghdad iaitu Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali). Imam Ahmad bin Hanbal TAAT kepada pemerintah namun apabila sampai kepada bab yang bercanggah dengan Allah dan Rasul maka perkara itu bukan wajib ditaati lagi. Maka Imam Ahmad bin Hanbal tidak turut memperakui bahawa al-Quran itu Baharu seperti khalifah dan ulama-ulama lainnya. Imam Ahmad bersedia dihukum dengan hukuman yang berat kerana keras dan tegas beliau mempertahankan prinsipnya, beliau dipenjara dan disebat. Kenapa beliau tidak mengadakan demonstrasi atau mogok jalanan?. Sedangkan jika diikutkan, pengaruh dan para muridnya sangat ramai dan strategiknya pasti berjaya jika mahu menghimpun seberapa ramai manusia bagi menumbangkan khalifah Abbasiah tersebut. Begitu juga Imam Syafie yang lebih suka berhijrah ke Mesir daripada menentang khalifah. Inilah dinamakan TAAT dalam keadaan tidak menyokong dan tidak menentang. 

(Hikayat) Pada suatu masa dahulu, ada seorang guru agama yang mempunyai dua orang murid. Hendak dijadikan cerita, murid yang lebih tua, lebih mahir dan lebih berilmu tidak berpuas hati dan mempertikaikan gurunya kerana jelas gurunya lebih menyayangi murid yang lebih muda daripadanya. Tanyalah Sang tua kepada gurunya kenapa murid yang lebih muda disayangi lebih daripada dirinya. Pada suatu hari, berkumpullah Sang guru dengan dua orang muridnya itu. Disuruhlah murid yang tua mengangkat seekor unta yang besar ada dihadapannya. Murid yang tua terus mempertikai arahan gurunya dengan berkata "Mana mampu manusia yang kecil mengangkat unta yang besar ini wahai tuan guru". Kemudian disuruhnya guru itu akan murid yang muda pula, tanpa berlengah dan berkata apa-apa murid yang muda terus memeluk kaki unta dan cuba mengangkatnya. Murid yang tua terpinga-pinga barulah dia menyedari bahawa sayang gurunya kepada murid yang muda adalah kerana TAAT murid yang muda itu. Sesungguhnya TAAT menimbulkan perasaan KASIH.

(Hikayat) Selepas berlayar yang lama dalam banjir besar maka Allah surutkan air dan mendaratlah bahtera Nabi Nuh a.s. di atas bukit Judiy. Diperintahkan Nabi Nuh a.s. Itik supaya keluar dan meninjau keadaan adakah sudah surut air dan selamat untuk keluar dari bahtera. Itik pada ketika itu adalah haiwan yang cekap terbang dan meninjau-ninjau kawasan. Oleh kerana terlalu gembira bebas selepas lama di atas kapal dalam pelayaran Sang Itik lupa akan tugasan yang diberikan kepadanya dan tidak pulang-pulang untuk membuat laporan kepada Nabi Nuh a.s. Maka Nabi Nuh a.s pon memerintahkan burung Merpati pula untuk meninjau-ninjau kawasan. Burung merpati juga lupa akan tugasannya setelah merasa nikmat bebas tetapi tiba-tiba kaki burung merpati bertukar menjadi merah. Ingatlah Si Merpati tugasan kepadanya maka pulanglah kepada Nabi Nuh a.s. dan membuat laporan bahawa keadaan sudah selamat dan boleh turun daripada bahtera. Kerana terlalu suka kepada merpati itu maka Nabi Nuh a.s. pon berdoa kepada Allah supaya menjadikan burung Merpati haiwan yang jinak yang disayangi oleh manusia sehingga ke hari ini. Dalam masa sama itik pula ingat akan tugasannya dan bergegas pulang. Pada ketika itu Nabi Nuh a.s. sudah murka kepada itik dan bersumpah itik tidak akan boleh terbang lagi dan suka kepada tempat-tempat air yang cemar sehinggalah kepada anak cucu itik hari ini.

Pengajaran yang kita dapat ialah TAAT membuahkan kasih sayang. TAAT juga melancarkan perjalanan. Sekian dahulu pada kali ini. Wallahu a'lam. Wassalam~~~



~~~Hidayah dan Anjing dengan Kucing~~~

Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan limpah kurniaNya digerakkan jari jemari bagi meneruskan penulisan ini. Selawat dan salam atas junjungan besar nabi MUHAMMAD S.A.W pemberi syafaat Uzhma di Mahsyar kelak. Semoga Allah memberi pengampunan kepada diriku, kedua ibu bapaku dan seluruh umat Muhammad s.a.w.

Hari ini Allah memberi kesempatan selepas saya selesai muzakarah dengan sahabat-sahabat berkenaan ilmu tauhid dan feqah solat kemudian sebelum saya melelapkan mata suka saya berkongsi isi muzakarah itu berkenaan hidayah dan Anjing dengan Kucing.

Ketahuilah wahai saudaraku, HIDAYAH Allah itu dikategorikan kepada lima bahagian iaitu;

  • Hidayah Hawwaz (Rasa)
  • Hidayah Panca Indera
  • Hidayah Akal
  • Hidayah Agama
  • Hidayah Taufiq
Kepada keseluruhan manusia Allah kurniakan hidayah Akal dan bagi manusia yang bernasib baik Allah kurniakan hidayah Agama. Manusia-manusia yang mendapat keuntungan Allah kurniakan hidayah Taufiq iaitu hidayah yang tertinggi di sisiNya. Hidayah AGAMA itu boleh keluar dari diri individu itu atas nama Fasik, Zalim, Murtad dan Munafik sekiranya individu itu tidak mencapai hidayah TAUFIQ.

Hidayah HAWWAZ atau RASA Allah kurniakan kepada semua makhluk dari kalangan tumbuhan, haiwan dan manusia iaitu rasa inginkan selamat dan PUAS. Manakala hidayah Panca Indera hanya dikurniakan kepada Haiwan dan Manusia namun haiwan tidak memperolehi Hidayah AKAL maka haiwan tidak mampu membezakan baik dan buruk seperti mana manusia.

(Hikayat) Terjadi satu kisah ketika semua haiwan dalam keadaan berpasang-pasangan dalam BAHTERA NUH A.S. maka wasiatlah Nabi Nuh a.s. kepada semua manusia dan haiwan agar jangan berjimak *Mengawan ketika bahtera itu berlayar takut tidak mampu menampung jumlah muatan yang berlebihan. Hendak dijadikan cerita sangkar kurungan Anjing bersebelahan dengan sangkar kurungan kucing. Anjing dicampak RASA hendak yang amat-amat sehingga tidak mampu mengawal diri lalu *mengawan dengan anjing betina. Hal ini dilihat jelas oleh kucing, maka apabila datang Nabi Nuh a.s. berhampiran sangkar kedua-dua haiwan tersebut mengadulah sang kucing kepada Nabi Nuh a.s. akan perilaku sumbang anjing itu.  Anjing menerima hukuman atas tindakan yang tidak dapat mengawal RASA dirinya itu. Pada satu ketika yang lain, kucing pula datang RASA hendak kepada kucing betina maka jadilah episod yang sama dan dilihat oleh anjing. Namun anjing tidak boleh mengadu kepada Nabi Nuh a.s. kerana dia adalah tertuduh pertama dan rasa malu. Dari dendam tok nenek itulah sehingga ke hari ini anjing dan kucing bermusuh.

Iktibar dari kisah di atas janganlah mengadu-domba dan janganlah berdendam. Semoga beroleh manfaat. Wassalam~~~





Ahad, 24 Februari 2013

sambungan~~~NUR MUHAMMAD~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas limpahan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Selawat dan salam atas junjungan besar MUHAMMAD S.A.W. penghulu dan asal segala kejadian. Aku memohon pengampunan daripada Allah atas segala dosa-dosaku dan pengampunan ke atas seluruh muslimin dan muslimat. Amma Baqdu.

Kesempatan kali ini, kita akan mendalami dan lebih jauh menyelusuri kisah NUR MUHAMMAD S.A.W. iaitu asal segala kejadian. Mungkin ini suatu yang baru bagi sesetengah pembaca namun dalil-dalil dari al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias jelas menunjukkan perkara ini adalah HAKIKAT sebenar yang wajib kita ketahui untuk pulang ke alam LAHUT iaitu alam asal segala RUH dalam keadaan sebaik-baik kejadian.

Awal-awal Allah bagi jadi ialah Nur nabi kita Muhammad s.a.w. kemudian Allah jadikan satu jenis pohon dinamakan Syajaratul Muttaqin atau Syajaratul Yaqin yang mepunyai empat cabang. Kemudian Allah menjadikan Nur Muhammad dalam hijab daripada permata yang tersangat putih murni seumpama  rupa seekor  burung merak kemudian dihantarkan hinggap di atas pohon kayu tersebut. Maka Allah menjadikan cermin yang berkilauan kemudian apabila NUR itu menilik wajahnya ke hadapan cermin maka menjadi malu NUR itu kerana terlebih elok perhiasan dan kelakuannya maka berpeluhlah ia menjadi enam titisan peluh. Titik peluh pertama itu Allah bagi jadi ruh Abu Bakar, titik peluh kedua dijadikan ruh Umar, titik peluh ketiga dijadikan ruh usman, titik peluh keempat dijadikan ruh Ali, titik peluh kelima dijadikan pohon mawar dan titik peluh keenam dijadikan bijirin dan padi.

Kemudian NUR itu sujud lagi 5 kali maka difardhukan umat Muhammad 5 kali fardhu solat. Apabila Allah tilik kepada nur itu pada kali yang ke seterusnya maka berpeluh lagi nur itu kerana malu.

  •  Peluh hidung Allah menjadikan malaikat
  •  Daripada peluh muka dijadikan arasy, luh, kursi, qalam,    matahari, bulan dan bintang dan yang ada di langit.
  •  Daripada peluh dada dijadikan ruh mursalin, anbia, aulia, solehin, ulama, dan syuhada’
  •  Daripada  peluh belakang dijadikan Allah baitul Makmur, Baitullah, baitul Maqdis dan segala masjid di dunia.
  •  Daripada peluh dua kening dijadikan ruh segala umat Muhammad s.a.w. mukmin dan mukminat.
  •  Daripada peluh dua telinganya dijadikan ruh yahudi, nasora, majusi dan mulhidin serta munafiqin dan jahidin.
  •  Peluh dua kakinya Allah bagi jadi bumi timur dan barat dan segala isinya. 


Kemudian Allah firman kepada Nur Muhammad itu. “Tilik olehmu pada hadapanmu maka tiliklah oleh Nur itu hadapannya bercahaya, belakangnya bercaya, kanannya bercahaya dan kirinya bercahaya maka  Nur(cahaya) dari hadapan, belakang, kanan dan kiri itu ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali dan nur-nur itu mengucap tasbih kepada Allah 70 ribu tahun. Kemudian dijadikan Nur nabi-nabi daripada Nur Muhammad s.a.w maka dijadikan ruh umat-umat nabi-nabi itu daripada peluh nabi masing-masing dan ruh umat Muhammad s.a.w.  yang BERIMAN daripada peluh nur nabi Muhammad s.a.w. maka ucaplah ruh-ruh tersebut “La ilaha Illallah Muhammadur rasulullah”.

لا اله الا الله محمد رسول الله

Kemudian dijadikan Allah sebuah Qandil(Lampu) daripada aqik yang merah, kemudian dirupakan nur itu menjadi rupa nabi Muhammad s.a.w yang zahir di dunia ini dan dihantarkan nur berupa nabi kita yang zhahir di atas Qandil itu. Berdirilah nur itu dalam Qandil itu seperti berdiri di dalam sembahyang. Maka berkeliling seumpama Tawaf ruh nabi-nabi 124 000 ruh dengan mengucap tasbih dan tahlil berkeliling ruh itu seratus ribu tahun. Kemudian Allah buka hijab bagi Ruh-ruh itu lihat nur Muhammad dalam Qandil itu, dari situ siapa yang lihat KEPALA maka jadi Sultan dan khalifah, Yang melihat DAHI jadi ketua yang adil, yang melihat dua MATA menjadi Hafiz Kalamullah, yang melihat dua KENING jadi tukang lukis, lihat dua TELINGA jadi orang yang suka dengar dan terima, lihat dua PIPI  jadi org yang suka buat baik dan berakal, lihat BIBIR mulut jadi orang besar raja-raja, lihat HIDUNG jadi HAKIM, DOKTOR dan Penjual minyak wangi. Lihat MULUT jadi orang suka berpuasa. Lihat KAKI jadi elok kacak rupa dari lelaki dan perempuan, lihat LIDAH maka jadi penyampai kepada raja-raja. Lihat HALKUM jadilah orang yang suka nasihat dan tukang azan. Lihat JANGGUT  jadilah tentera perang fi sabilillah. Lihat TENGKUK jadi saudagar, lihat DUA LENGAN maka jadilah pandai menunggang dan bermain senjata, lihat LENGAN KANAN sahaja jadilah tukang bekam, lihat LENGAN KIRI sahaja jadilah jahil bodoh,  lihat TAPAK TANGAN KANAN jadi orang jual emas, perak dan tukang sukat, lihat TAPAK TANGAN KIRI jadi pandai buat sukatan dan kira-kira, lihat DUA TAPAK TANGAN jadi orang pemurah dan kepujian, lihat belakang TAPAK TANGAN KIRI jadi bakhil kedekut, lihat belakang TAPAK TANGAN KANAN jadi tukang memasak, orang yang lihat RUAS ANAK JARI KIRI jadi juru tulis, lihat RUAS ANAK JARI KANAN jadi tukang jahit, lihat ANAK JARI KIRI jadilah tukang besi, orang yang melihat DADA maka jadilah Alim, mulia dan mujtahid, lihat BELAKANG jadilah rendah diri dan suka berbuat TAAT pekerjaan syarak. Melihat akan dua LAMBUNG maka jadilah orang berperang sabil, lihat dua LUTUT maka jadi orang yang rukuk dan sujud, lihat dua KAKI jadi pandai memburu, lihat BAWAH DUA TAPAK KAKI jadi orang musafir, lihat BAYANG sahaja jadilah tukang nyanyi dan bermain alat muzik, jika tidak melihat langsung maka jadilah NASORA, YAHUDI, KAFIR MUSYRIK dan MAJUSI, jika tidak langsung tahu dan lihat maka jadilah orang yang dakwa dirinya TUHAN seperti FIRAUN dan NAMRUD.

Allah menyuruh makhluk dengan SOLAT atas rupa nama AHMAD dan MUHAMMAD maka berdiri itu umpama ALIF, rukuk itu seperti HA KECIL dan sujud itu seperti MIM dan duduk itu seperti DAL. Kemudian dijadikan manusia atas rupa nabi MUHAMMAD s.a.w. maka kepala makhluk bulat seperti MIM yang pertama, dua tangan seperti HA KECIL dan perut seperti MIM yang kedua dan dua kaki seperti DAL. Allah tidak membakar seorang KUFAR dengan rupanya di dunia tetapi digantikan rupa mereka atas rupa babi kemudian baru dibakar dengan api neraka kerana memuliakan kejadian kekasihNya Muhammad s.a.w.

Firman Allah dalam hadis Qudsi;

خلقت الأشياء لأجلك وخلقتك لأجلى

"Mafhumnya: Aku jadika segala sesuatu yang ada itu untuk dikau ya MUHAMMAD dan aku jadikan dikau untuk aku."

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لأعرف

"Mafhumnya: Adalah Aku perbendaharaan tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenalkan Daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalkan akan Daku."

Kesimpulannya, apabila kita melihat kepada asal kejadian kita maka kita akan sedia mengetahui setiap sesuatu yang berlaku atas diri kita ini adalah Maqadir ketentuan Allah Taala. Beruntunglah mereka yang melihat akan NUR MUHAMMAD itu keseluruhannya. Semoga dengan iktibar dan pengajaran dari kisah ini kita jadikan motivasi dalam memohon doa kepada Allah dipulangkan semula kita ke alam asal iaitu alam di mana kita dalam  keadaan sebaik-baik kejadian. Wassalam~~~

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
"Mafhumnya; sesungguhnya kami menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian"
(Nukilan dari; Kasyful Ghaibiah  dan  Daqa-iqul Akhbar)

~~~Hukum Dalam Agama~~~

Assalamualaikum w.b.t.

Syukran hamdan da-iman. Segala pujian khusus kembali semuanya kepada Dia zat Wajibal Wujud yang terkaya Dia, tiap-tiap suatu daripadaNya dan akan kembali semula kepadaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan Muhammad s.a.w. semoga berselawat Allah dan para malaikatNya kepada kita berlipat ganda.

Pada kesempatan kali ini, suka saya kongsikan hukum atau kategori hukum yang terdapat dalam agama Islam yang wajib FARDHU AIN setiap mukallaf mengetahui akannya bagi menyempurnakan perkerjaan Taabud(kehambaan) kepada Allah. Tanpa mengetahui hukum-hukum ini maka kita tidak dapat melaksanakan pekerjaan Ibadah dengan sempurna seterusnya membuatkan ibadah-ibadah zahiriah(nyata) kita menjadi perbuatan sia-sia di sisi Allah.

Kategori hukum yang pertama ialah HUKUM AKAL. Hukum ini wujud bertujuan untuk membicarakan ilmu AQIDAH atau nama lain baginya Tauhid, Usuluddin, Kalam, Makrifah dan nama-nama yang berkaitan lainnya. Terdapat 3 jenis hukum akal iaitu;
  1. WAJIB pada akal = Barang yang tidak diterima pada akal akan ketiadaannya. Seperti WAJIB ada Tuhan yang menjadikan Alam.
  2. MUSTAHIL pada akal = Barang yang tidak diterima pada akal akan adanya. Seperti MUSTAHIL tuhan itu berbilang-bilang.
  3. HARUS pada akal = Brang yang diterima pada akal adanya atau tiadanya. Seperti Allah menjadikan sekalian makhluk. 
Kategori yang kedua ialah HUKUM SYARAK. Bahagian-bahagian HUKUM SYARAK(TAKLIFI) pula ada lima iaitu hukum hakam yang diturunkan Allah kepada setiap mukallaf atas lidah rasulnya Muhammad s.a.w. Hukum ini digunakan dalam bab SYARIAT iaitu bab IBADAH, MUNAKAHAH, JENAYAH dan MUAMALAH. Berikut senarai hukum syarak:
  1. WAJIB
  2. SUNAT
  3. HARUS
  4. MAKRUH
  5. HARAM 
Kemudian hukum Syarak diikuti lima perkara HUKUM WADHA-I iaitu hukum yang ditentukan oleh manusia bagi menyempurnakan pekerjaan hukum syarak;
  1. SYARAT
  2. SEBAB
  3. SAH
  4. MANI'(PENGHALANG)
  5. BATAL
Hukum yang ketiga dan terakhir ialah HUKUM ADAT iaitu hukum yang menetapka ada atau tiada suatu perkara dengan ada atau tiadanya suatu perkara yang lain.
  1. ADA dengan ADA; ADA kenyang dengan ADA makan.
  2. TIADA dengan TIADA; TIADA kenyang dengan TIADA makan.
  3. ADA dengan TIADA; ADA lapar dengan TIADA makan.
  4. TIADA dengan ADA; TIADA lapar dengan ADA makan.
Setiap asas hukum-hukum di atas perlulah diketahui dan diteliti oleh setiap individu mukallaf kerana hukum-hukum di atas iaitu AKAL, SYARAK dan ADAT adalah asas bagi mempelajari ilmu AQIDAH, SYARIAT dan AKHLAK. kata Imam Haramain;

"Barang siapa yang tidak mengetahui ia akan hukum akal maka samalah dia dengan haiwan-haiwan."
                                                                                                         (nukil dari Aqidatun Najin)

Sabtu, 23 Februari 2013

~~~MURAH REZEKI~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan kelapangan dan kesempatan menulis di sini untuk sama-sama kita berkongsi ilmu-ilmu manfaat sebagai bekalan untuk kita pulang ke negeri asal kita iaitu negeri LAHUT. Selawat dan salam juga atas junjungan nabi yang mulia pemberi syafaat kepada semua.

Pada kesempatan kali ini suka saya kongsikan sebuah kisah mengenai betapa sukanya Allah taala akan hambaNya yang menghubungkan silaturahim selepas pekerjaan menTAUHIDkan akan Allah. Ditanya kepada nabi s.a.w apakah amal yang terlebih kasih akan Allah taala akannya dan apa amalan yang terlebih dimurkai Allah akannya maka sabda nabi s.a.w.

"Mafhumnya; Amal yang terlebih kasih Allah akannya ialah beriman mentauhidkan Allah kemudian menghubungkan silaturrahim, amal yang terlebih dimurkai akannya oleh Allah iaitu mensyirikkan akan Allah dan memutuskan silaturrahim."  

Maka terjadi suatu kisah pada Zaman Nabi Allah Daud a.s menjadi raja pemerintah kepada kaum Bani Israel, telah datang kepada baginda dua orang lelaki kemudian dikhabarkan oleh Malaikat Maut iaitu Izrail a.s. bahawa salah seorang daripada mereka akan dicabut nyawanya selepas tujuh hari dari hari ini. Selepas berlalu suatu tempoh masa yang lama iaitu 20 tahun lamanya, berjumpa pula Nabi Daud a.s. dengan lelaki sama yang dikhabarkan akan mati dalam tempoh tujuh hari 20 tahun yang lalu, menjadi hairanlah baginda kerana lelaki itu masih panjang umurnya berlawanan daripada pengkhabaran Malaikat Izrail kepada baginda. Tanya baginda kepada malaikat Izrail kenapakah gerangan lelaki itu masih hidup sehingga menjangkaui 20 tahun lamanya. maka jawab malaikat Izrail, "Tatkala lelaki itu keluar selepas mengadap denganmu, dia menghubungkan Silaturrahim dengan kenalannya maka Allah menambah UMUR baginya dan dilimpahkan REZEKI kepadanya."

Berkata seorang arif, seseorang yang tinggal umurnya 3 hari apabila menghubungkan silaturrahim maka Allah panjangkan usianya sehingga 30 tahun dan seorang yang umurnya 30 tahun apabila memutuskan silaturrahim maka dipendekkan usianya menjadi 3 hari. Firman Allah dalam surah ar-Ra'du; 39 

 يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُ‌ۖ وَعِندَهُ ۥۤ أُمُّ ٱلۡڪِتَـٰبِ 

"Mafhumnya; Allah menghapuskan(mengubah) apa jua yang dikehendakiNya dan Dia jugalah yang menetapkan apa jua yang dikehendakiNya dan ingatlah pada sisNya ada "ibu segela suratan" iaitu Luh Mahfuz"

Ketahuilah saudara/i bahawasanya Allah melimpahkan kurniaNya dalam bentuk rekezi yang banyak, umur yang panjang dalam ketaatan dan keadaan kesihatan yang baik adalah melalui penyebab-penyebab yang terjadi. Sesungguhnya amalan menghubungkan SILATURRAHIM ini merupakan perkara yang Allah taala terlebih suka selepas mentauhidkannya. Marilah bersama beramal dengannya, hubungkan silaturrahim, maafkan kesalahan segala makhluk dan doakan pengampunan bagi diri kita dan seluruh umat Muhammad s.a.w. Selamat beramal. Wassalam~~~




Jumaat, 22 Februari 2013

NUR MUHAMMAD

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam menjadi penunjuk jalan bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam atas junjungan Muhammad s.a.w. penghulu segala kejadian. Sebelum meneruskan penulisan saya, saya ingin memohon kemaafan kerana kelemahan diri ini dalam istiqamah(berterusan) menulis dalam laman blog ini. Syukur kepada Allah kerana membuka peluang menggerakkan jari jemari bagi menulis dan meneruskan sisa-sisa perjuangan sebagai bekalan ke akhirat kelak.

Pada kali ini suka saya berkongsi kisah permulaan segala kejadian iaitu NUR MUHAMMAD S.A.W.  yang dijadikan daripada cahaya "Jamal Allah" Firman Allah dalam Hadis Qudsi;

خلقت روح محمد من نور وجهي
"Mafhumnya; Aku jadikan Ruh Muhammad daripada cahaya zat-Ku"

Nabi s.a.w juga bersabda;

اول ما خلق الله روحي واول ما خلق الله نوري واول ما خلق الله القلم واول ما خلق الله العقل
"Mafhumnya; Seawal-awal dijadikan Allah ialah Ruhku, seawal-awal dijadikan Allah ialah cahayaku, seawal-awal dijadikan Allah ialah Qalam dan seawal-awal dijadikan Allah ialah Akal."

Hakikat kejadian Muhammad disebut "nur" kerana bersih dari segala kegelapan yang menjadi halangan untuk dekat kepada Allah. Firman Allah s.w.t;

"Mafhumnya; telah datang kepada kamu semua cahaya(Muhammad) dan kitab penerang dari Allah."

Hakikat Muhammad juga disebut "Akal" kerana akal inilah yang mampu mengenali dan menemukan sesuatu, iaitu akal sebagai elemen mengenal segala kejadian dan memakmurkan kejadian tersebut bagi melahirkan tanda kesyukuran iaitu ulul albab.

Hakikat Muhammad juga disebut "Qalam" kerana hakikat itulah menjadi penyebab kepada perpindahan ilmu dari Luh Mahfuz kepada makhluk bernama manusia.

Ruh Muhammad s.a.w. adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk. Sabda nabi s.a.w. lagi;

"Mafhumnya; Aku dari Allah dan seluruh mukmin dariku."

Allah menjadikan segala ruh makhluk daripada Ruh Muhammad s.a.w. dalam keadaan terbaik yang hakiki di Alam Lahut (Alam asal segala ruh). Setelah 4000 tahun akhirat kemudiannya baru Allah menjadikan arasyh dari cahaya zat Muhammad s.a.w. juga.

Sekadar itu dahulu perkongsian kita pada kali ini, semoga diberikan kesempatan untuk menyambung kisah nur Muhammad ini lagi di kemudian hari. InsyaAllah~~~Wassalam.




Jumaat, 16 Mac 2012

ABJAD Aku Mempernamakan Jalanku Ini

Assalamualaikum w.b.t para sahabat dan pembaca semua. Bersyukur kehadrat Ilahi dengan limpah kurnianya masih diberikan kesempatan menulis dalam Blog ini setelah sekian lama penulisan tertangguh. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi s.a.w penghulu segala kejadian Saiyidul Akwan Muhammad s.a.w. Pada hari jumaat yang barakah ini saya ingin berkongsi mengenai bagaiman timbulnya perkataan ABJAD.

kata Barmawi dalam Syarah Hadis Bukhari, ketika Saiyidah Maryam mengandungkan Nabi Allah Isa a.s. adalah umurnya Maryam 13 tahun dan umurnya Maryam sehingga 112 tahun iaitu hidup selepas Isa a.s diangkat ke langit selama 60 tahun pula. Ketika umur Isa 9 bulan Saiyidah Maryam membawa Isa a.s. kepada tempat mengaji dan diringkaskan cerita kata gurunya seorang pendita bani Israel "kata olehmu Bismillah maka berkata Isa a.s "Bismillahir Rahmanir Rahim". Maka kata lagi gurunya "kata olehmu ABJAD". Tanya Isa a.s kepada gurunya "adakah tahu olehmu akan makna ABJAD". Maka kata gurunya "Tiada pula aku ketahui". Maka Hurai Isa a.s.

ABJAD
Alif itu Allah
Ba' itu Baha'ullah
Jim Jalalullah
Dal Dinullah
HAWWAZ
Ha' itu Hawiyah Jahannam
Wau itu wail iaitu telaga ahli an-Nar dalam neraka
Zai itu Zafir Jahannam iaitu suara apinya
HUTTHI
Ha' (ha kecil) itu Hutathil Khotoya iaitu digugurkan kesalahn bagi yang meminta ampun
KALIMAN
Iaitu Kalam bukan Makhluk
SA'FASH
iaitu Sha' dengan sha' yakni segantang dengan segantang
QARASYAT
Yakni Taqrisyuhum iaitu dihasyarkan makhluk sekaliannya

Maka berkata pendita gurunya tersebut " Hai Maryam, ambil olehmu anak engkau bahawasanya anak engkau tiada berhajat kepada seorang Guru".

Maka berkat kisah tersebut Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Uthmani mempernamakan madrasah tarbiyahnya dengan ABJAD semoga tidak berguru muridnya kepada selain daripada KALIMAN iaitu KALAM BUKAN MAKHLUK

Selasa, 10 Januari 2012

Ustaz Azhar Idrus Sesat???


........................................................
................................................
.....................................
.............................
..................
.......
...
.

Ustaz Azhar Idrus Sesat sekiranya beliau mengajak manusia menyembah beliau bukan menyembah Allah. Namun sebaliknya terjadi, beliau mencipta fenomena baru menarik golongan muda mengenali Allah.

Dewasa ini kita lihat bagaimana tercetusnya fenomena Ustaz Azhar Idrus dalam youtube dan dvd2 kuliah beliau. Kaedah penyampaian kuliah beliau mampu menarik minat pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat dan berjaya meruntuhkan tembok halangan golongan muda untuk berkunjung ke masjid2 bagi diisi dengan slot menuntut ilmu. Penyampaian yang bersahaja dan unsur-unsur jenaka sepanjang penyampaian kuliah beliau membuatkan kita tidak jemu dan mampu mengikuti kuliah sehingga selesai berbeza dengan sistem-sistem pengajian pondok sebelum ini.

Saya bukan berniat menghurai panjang kaedah penyampaian beliau yang memang sedia maklum menarik dan tidak bosan namun saya tertarik untuk menghurai bagaimana beliau menjawab pelbagai soalan2 yang dikemukakan orang ramai kepada beliau.

Pada pandangan saya, beliau merupakan Ulama yang lebih kepada Disiplin Ilmu Feqah, kerana banyak persoalan2 yang ditanya adalah mengenai ibadah, muamalah, jenayah, siasah dan munakahah. Jarang kita mendengar soalan2 yang berkaitan Tauhid dan Tasawwuf dikemukakan. Kaedah jawapan yang diberikan beliau juga amat menarik kerana beliau berbeza dengan ulama-ulama kontemporari yang lain. Setiap permasalahan Feqah beliau sandarkan kepada Imam2 Feqah seperti Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanbali, Imam Hanafi, Imam Nawawi dan sebagainya. Jarang sekali kita mendengar beliau menghurai sendiri Al-Quran dan Hadis melainkan beliau bersandar kepada Ijmak dan Qias. Sandaran kepada Ijmak dan Qias ini semakin PUDAR dalam kalangan Ulama2 Kontemporari kerana pengajian Ulama2 kini lebih kepada sistem Universiti yang mengajar para mahasiswa mengkaji sendiri ayat2 al-Quran dan hadis2 nabawi. Berbeza dengan sistem pondok lama yang mengasuh dan mendidik para penuntut berpegang kepada ULAMA2 MUKTABAR yang lebih arif tentang Al-Quran, Hadis dan Kaedah Bahasa Arab dalam menghurai sumber hukum islam tersebut.

Serangan WAHABI atau SALAFI dalam kalangan masyarakat Malaysia Muslim wajib dibendung dan dilawan habis-habisan. Kemunculan Da'e seperti Al-Fadhil Ust Azhar Idrus ini merupakan satu sinar baru harapan agar sistem PONDOK dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diasaskan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-fathoni, Syeikh Ahmad Al-Fathoni dan Tok Kenali ini mampu diteruskan dan kita sebagai manusia awam tidak terjebak dengan akidah yang sesat dan amalan yang BIDAAH DHOLALAH HARAM dan BIDAAH DHOLALAH KARAHAH yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dasawarsa ini.