Isnin, 25 Februari 2013

~~~Hidayah dan Anjing dengan Kucing~~~

Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan limpah kurniaNya digerakkan jari jemari bagi meneruskan penulisan ini. Selawat dan salam atas junjungan besar nabi MUHAMMAD S.A.W pemberi syafaat Uzhma di Mahsyar kelak. Semoga Allah memberi pengampunan kepada diriku, kedua ibu bapaku dan seluruh umat Muhammad s.a.w.

Hari ini Allah memberi kesempatan selepas saya selesai muzakarah dengan sahabat-sahabat berkenaan ilmu tauhid dan feqah solat kemudian sebelum saya melelapkan mata suka saya berkongsi isi muzakarah itu berkenaan hidayah dan Anjing dengan Kucing.

Ketahuilah wahai saudaraku, HIDAYAH Allah itu dikategorikan kepada lima bahagian iaitu;

  • Hidayah Hawwaz (Rasa)
  • Hidayah Panca Indera
  • Hidayah Akal
  • Hidayah Agama
  • Hidayah Taufiq
Kepada keseluruhan manusia Allah kurniakan hidayah Akal dan bagi manusia yang bernasib baik Allah kurniakan hidayah Agama. Manusia-manusia yang mendapat keuntungan Allah kurniakan hidayah Taufiq iaitu hidayah yang tertinggi di sisiNya. Hidayah AGAMA itu boleh keluar dari diri individu itu atas nama Fasik, Zalim, Murtad dan Munafik sekiranya individu itu tidak mencapai hidayah TAUFIQ.

Hidayah HAWWAZ atau RASA Allah kurniakan kepada semua makhluk dari kalangan tumbuhan, haiwan dan manusia iaitu rasa inginkan selamat dan PUAS. Manakala hidayah Panca Indera hanya dikurniakan kepada Haiwan dan Manusia namun haiwan tidak memperolehi Hidayah AKAL maka haiwan tidak mampu membezakan baik dan buruk seperti mana manusia.

(Hikayat) Terjadi satu kisah ketika semua haiwan dalam keadaan berpasang-pasangan dalam BAHTERA NUH A.S. maka wasiatlah Nabi Nuh a.s. kepada semua manusia dan haiwan agar jangan berjimak *Mengawan ketika bahtera itu berlayar takut tidak mampu menampung jumlah muatan yang berlebihan. Hendak dijadikan cerita sangkar kurungan Anjing bersebelahan dengan sangkar kurungan kucing. Anjing dicampak RASA hendak yang amat-amat sehingga tidak mampu mengawal diri lalu *mengawan dengan anjing betina. Hal ini dilihat jelas oleh kucing, maka apabila datang Nabi Nuh a.s. berhampiran sangkar kedua-dua haiwan tersebut mengadulah sang kucing kepada Nabi Nuh a.s. akan perilaku sumbang anjing itu.  Anjing menerima hukuman atas tindakan yang tidak dapat mengawal RASA dirinya itu. Pada satu ketika yang lain, kucing pula datang RASA hendak kepada kucing betina maka jadilah episod yang sama dan dilihat oleh anjing. Namun anjing tidak boleh mengadu kepada Nabi Nuh a.s. kerana dia adalah tertuduh pertama dan rasa malu. Dari dendam tok nenek itulah sehingga ke hari ini anjing dan kucing bermusuh.

Iktibar dari kisah di atas janganlah mengadu-domba dan janganlah berdendam. Semoga beroleh manfaat. Wassalam~~~





Ahad, 24 Februari 2013

sambungan~~~NUR MUHAMMAD~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas limpahan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Selawat dan salam atas junjungan besar MUHAMMAD S.A.W. penghulu dan asal segala kejadian. Aku memohon pengampunan daripada Allah atas segala dosa-dosaku dan pengampunan ke atas seluruh muslimin dan muslimat. Amma Baqdu.

Kesempatan kali ini, kita akan mendalami dan lebih jauh menyelusuri kisah NUR MUHAMMAD S.A.W. iaitu asal segala kejadian. Mungkin ini suatu yang baru bagi sesetengah pembaca namun dalil-dalil dari al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias jelas menunjukkan perkara ini adalah HAKIKAT sebenar yang wajib kita ketahui untuk pulang ke alam LAHUT iaitu alam asal segala RUH dalam keadaan sebaik-baik kejadian.

Awal-awal Allah bagi jadi ialah Nur nabi kita Muhammad s.a.w. kemudian Allah jadikan satu jenis pohon dinamakan Syajaratul Muttaqin atau Syajaratul Yaqin yang mepunyai empat cabang. Kemudian Allah menjadikan Nur Muhammad dalam hijab daripada permata yang tersangat putih murni seumpama  rupa seekor  burung merak kemudian dihantarkan hinggap di atas pohon kayu tersebut. Maka Allah menjadikan cermin yang berkilauan kemudian apabila NUR itu menilik wajahnya ke hadapan cermin maka menjadi malu NUR itu kerana terlebih elok perhiasan dan kelakuannya maka berpeluhlah ia menjadi enam titisan peluh. Titik peluh pertama itu Allah bagi jadi ruh Abu Bakar, titik peluh kedua dijadikan ruh Umar, titik peluh ketiga dijadikan ruh usman, titik peluh keempat dijadikan ruh Ali, titik peluh kelima dijadikan pohon mawar dan titik peluh keenam dijadikan bijirin dan padi.

Kemudian NUR itu sujud lagi 5 kali maka difardhukan umat Muhammad 5 kali fardhu solat. Apabila Allah tilik kepada nur itu pada kali yang ke seterusnya maka berpeluh lagi nur itu kerana malu.

  •  Peluh hidung Allah menjadikan malaikat
  •  Daripada peluh muka dijadikan arasy, luh, kursi, qalam,    matahari, bulan dan bintang dan yang ada di langit.
  •  Daripada peluh dada dijadikan ruh mursalin, anbia, aulia, solehin, ulama, dan syuhada’
  •  Daripada  peluh belakang dijadikan Allah baitul Makmur, Baitullah, baitul Maqdis dan segala masjid di dunia.
  •  Daripada peluh dua kening dijadikan ruh segala umat Muhammad s.a.w. mukmin dan mukminat.
  •  Daripada peluh dua telinganya dijadikan ruh yahudi, nasora, majusi dan mulhidin serta munafiqin dan jahidin.
  •  Peluh dua kakinya Allah bagi jadi bumi timur dan barat dan segala isinya. 


Kemudian Allah firman kepada Nur Muhammad itu. “Tilik olehmu pada hadapanmu maka tiliklah oleh Nur itu hadapannya bercahaya, belakangnya bercaya, kanannya bercahaya dan kirinya bercahaya maka  Nur(cahaya) dari hadapan, belakang, kanan dan kiri itu ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali dan nur-nur itu mengucap tasbih kepada Allah 70 ribu tahun. Kemudian dijadikan Nur nabi-nabi daripada Nur Muhammad s.a.w maka dijadikan ruh umat-umat nabi-nabi itu daripada peluh nabi masing-masing dan ruh umat Muhammad s.a.w.  yang BERIMAN daripada peluh nur nabi Muhammad s.a.w. maka ucaplah ruh-ruh tersebut “La ilaha Illallah Muhammadur rasulullah”.

لا اله الا الله محمد رسول الله

Kemudian dijadikan Allah sebuah Qandil(Lampu) daripada aqik yang merah, kemudian dirupakan nur itu menjadi rupa nabi Muhammad s.a.w yang zahir di dunia ini dan dihantarkan nur berupa nabi kita yang zhahir di atas Qandil itu. Berdirilah nur itu dalam Qandil itu seperti berdiri di dalam sembahyang. Maka berkeliling seumpama Tawaf ruh nabi-nabi 124 000 ruh dengan mengucap tasbih dan tahlil berkeliling ruh itu seratus ribu tahun. Kemudian Allah buka hijab bagi Ruh-ruh itu lihat nur Muhammad dalam Qandil itu, dari situ siapa yang lihat KEPALA maka jadi Sultan dan khalifah, Yang melihat DAHI jadi ketua yang adil, yang melihat dua MATA menjadi Hafiz Kalamullah, yang melihat dua KENING jadi tukang lukis, lihat dua TELINGA jadi orang yang suka dengar dan terima, lihat dua PIPI  jadi org yang suka buat baik dan berakal, lihat BIBIR mulut jadi orang besar raja-raja, lihat HIDUNG jadi HAKIM, DOKTOR dan Penjual minyak wangi. Lihat MULUT jadi orang suka berpuasa. Lihat KAKI jadi elok kacak rupa dari lelaki dan perempuan, lihat LIDAH maka jadi penyampai kepada raja-raja. Lihat HALKUM jadilah orang yang suka nasihat dan tukang azan. Lihat JANGGUT  jadilah tentera perang fi sabilillah. Lihat TENGKUK jadi saudagar, lihat DUA LENGAN maka jadilah pandai menunggang dan bermain senjata, lihat LENGAN KANAN sahaja jadilah tukang bekam, lihat LENGAN KIRI sahaja jadilah jahil bodoh,  lihat TAPAK TANGAN KANAN jadi orang jual emas, perak dan tukang sukat, lihat TAPAK TANGAN KIRI jadi pandai buat sukatan dan kira-kira, lihat DUA TAPAK TANGAN jadi orang pemurah dan kepujian, lihat belakang TAPAK TANGAN KIRI jadi bakhil kedekut, lihat belakang TAPAK TANGAN KANAN jadi tukang memasak, orang yang lihat RUAS ANAK JARI KIRI jadi juru tulis, lihat RUAS ANAK JARI KANAN jadi tukang jahit, lihat ANAK JARI KIRI jadilah tukang besi, orang yang melihat DADA maka jadilah Alim, mulia dan mujtahid, lihat BELAKANG jadilah rendah diri dan suka berbuat TAAT pekerjaan syarak. Melihat akan dua LAMBUNG maka jadilah orang berperang sabil, lihat dua LUTUT maka jadi orang yang rukuk dan sujud, lihat dua KAKI jadi pandai memburu, lihat BAWAH DUA TAPAK KAKI jadi orang musafir, lihat BAYANG sahaja jadilah tukang nyanyi dan bermain alat muzik, jika tidak melihat langsung maka jadilah NASORA, YAHUDI, KAFIR MUSYRIK dan MAJUSI, jika tidak langsung tahu dan lihat maka jadilah orang yang dakwa dirinya TUHAN seperti FIRAUN dan NAMRUD.

Allah menyuruh makhluk dengan SOLAT atas rupa nama AHMAD dan MUHAMMAD maka berdiri itu umpama ALIF, rukuk itu seperti HA KECIL dan sujud itu seperti MIM dan duduk itu seperti DAL. Kemudian dijadikan manusia atas rupa nabi MUHAMMAD s.a.w. maka kepala makhluk bulat seperti MIM yang pertama, dua tangan seperti HA KECIL dan perut seperti MIM yang kedua dan dua kaki seperti DAL. Allah tidak membakar seorang KUFAR dengan rupanya di dunia tetapi digantikan rupa mereka atas rupa babi kemudian baru dibakar dengan api neraka kerana memuliakan kejadian kekasihNya Muhammad s.a.w.

Firman Allah dalam hadis Qudsi;

خلقت الأشياء لأجلك وخلقتك لأجلى

"Mafhumnya: Aku jadika segala sesuatu yang ada itu untuk dikau ya MUHAMMAD dan aku jadikan dikau untuk aku."

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لأعرف

"Mafhumnya: Adalah Aku perbendaharaan tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenalkan Daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalkan akan Daku."

Kesimpulannya, apabila kita melihat kepada asal kejadian kita maka kita akan sedia mengetahui setiap sesuatu yang berlaku atas diri kita ini adalah Maqadir ketentuan Allah Taala. Beruntunglah mereka yang melihat akan NUR MUHAMMAD itu keseluruhannya. Semoga dengan iktibar dan pengajaran dari kisah ini kita jadikan motivasi dalam memohon doa kepada Allah dipulangkan semula kita ke alam asal iaitu alam di mana kita dalam  keadaan sebaik-baik kejadian. Wassalam~~~

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
"Mafhumnya; sesungguhnya kami menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian"
(Nukilan dari; Kasyful Ghaibiah  dan  Daqa-iqul Akhbar)

~~~Hukum Dalam Agama~~~

Assalamualaikum w.b.t.

Syukran hamdan da-iman. Segala pujian khusus kembali semuanya kepada Dia zat Wajibal Wujud yang terkaya Dia, tiap-tiap suatu daripadaNya dan akan kembali semula kepadaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan Muhammad s.a.w. semoga berselawat Allah dan para malaikatNya kepada kita berlipat ganda.

Pada kesempatan kali ini, suka saya kongsikan hukum atau kategori hukum yang terdapat dalam agama Islam yang wajib FARDHU AIN setiap mukallaf mengetahui akannya bagi menyempurnakan perkerjaan Taabud(kehambaan) kepada Allah. Tanpa mengetahui hukum-hukum ini maka kita tidak dapat melaksanakan pekerjaan Ibadah dengan sempurna seterusnya membuatkan ibadah-ibadah zahiriah(nyata) kita menjadi perbuatan sia-sia di sisi Allah.

Kategori hukum yang pertama ialah HUKUM AKAL. Hukum ini wujud bertujuan untuk membicarakan ilmu AQIDAH atau nama lain baginya Tauhid, Usuluddin, Kalam, Makrifah dan nama-nama yang berkaitan lainnya. Terdapat 3 jenis hukum akal iaitu;
  1. WAJIB pada akal = Barang yang tidak diterima pada akal akan ketiadaannya. Seperti WAJIB ada Tuhan yang menjadikan Alam.
  2. MUSTAHIL pada akal = Barang yang tidak diterima pada akal akan adanya. Seperti MUSTAHIL tuhan itu berbilang-bilang.
  3. HARUS pada akal = Brang yang diterima pada akal adanya atau tiadanya. Seperti Allah menjadikan sekalian makhluk. 
Kategori yang kedua ialah HUKUM SYARAK. Bahagian-bahagian HUKUM SYARAK(TAKLIFI) pula ada lima iaitu hukum hakam yang diturunkan Allah kepada setiap mukallaf atas lidah rasulnya Muhammad s.a.w. Hukum ini digunakan dalam bab SYARIAT iaitu bab IBADAH, MUNAKAHAH, JENAYAH dan MUAMALAH. Berikut senarai hukum syarak:
  1. WAJIB
  2. SUNAT
  3. HARUS
  4. MAKRUH
  5. HARAM 
Kemudian hukum Syarak diikuti lima perkara HUKUM WADHA-I iaitu hukum yang ditentukan oleh manusia bagi menyempurnakan pekerjaan hukum syarak;
  1. SYARAT
  2. SEBAB
  3. SAH
  4. MANI'(PENGHALANG)
  5. BATAL
Hukum yang ketiga dan terakhir ialah HUKUM ADAT iaitu hukum yang menetapka ada atau tiada suatu perkara dengan ada atau tiadanya suatu perkara yang lain.
  1. ADA dengan ADA; ADA kenyang dengan ADA makan.
  2. TIADA dengan TIADA; TIADA kenyang dengan TIADA makan.
  3. ADA dengan TIADA; ADA lapar dengan TIADA makan.
  4. TIADA dengan ADA; TIADA lapar dengan ADA makan.
Setiap asas hukum-hukum di atas perlulah diketahui dan diteliti oleh setiap individu mukallaf kerana hukum-hukum di atas iaitu AKAL, SYARAK dan ADAT adalah asas bagi mempelajari ilmu AQIDAH, SYARIAT dan AKHLAK. kata Imam Haramain;

"Barang siapa yang tidak mengetahui ia akan hukum akal maka samalah dia dengan haiwan-haiwan."
                                                                                                         (nukil dari Aqidatun Najin)

Sabtu, 23 Februari 2013

~~~MURAH REZEKI~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan kelapangan dan kesempatan menulis di sini untuk sama-sama kita berkongsi ilmu-ilmu manfaat sebagai bekalan untuk kita pulang ke negeri asal kita iaitu negeri LAHUT. Selawat dan salam juga atas junjungan nabi yang mulia pemberi syafaat kepada semua.

Pada kesempatan kali ini suka saya kongsikan sebuah kisah mengenai betapa sukanya Allah taala akan hambaNya yang menghubungkan silaturahim selepas pekerjaan menTAUHIDkan akan Allah. Ditanya kepada nabi s.a.w apakah amal yang terlebih kasih akan Allah taala akannya dan apa amalan yang terlebih dimurkai Allah akannya maka sabda nabi s.a.w.

"Mafhumnya; Amal yang terlebih kasih Allah akannya ialah beriman mentauhidkan Allah kemudian menghubungkan silaturrahim, amal yang terlebih dimurkai akannya oleh Allah iaitu mensyirikkan akan Allah dan memutuskan silaturrahim."  

Maka terjadi suatu kisah pada Zaman Nabi Allah Daud a.s menjadi raja pemerintah kepada kaum Bani Israel, telah datang kepada baginda dua orang lelaki kemudian dikhabarkan oleh Malaikat Maut iaitu Izrail a.s. bahawa salah seorang daripada mereka akan dicabut nyawanya selepas tujuh hari dari hari ini. Selepas berlalu suatu tempoh masa yang lama iaitu 20 tahun lamanya, berjumpa pula Nabi Daud a.s. dengan lelaki sama yang dikhabarkan akan mati dalam tempoh tujuh hari 20 tahun yang lalu, menjadi hairanlah baginda kerana lelaki itu masih panjang umurnya berlawanan daripada pengkhabaran Malaikat Izrail kepada baginda. Tanya baginda kepada malaikat Izrail kenapakah gerangan lelaki itu masih hidup sehingga menjangkaui 20 tahun lamanya. maka jawab malaikat Izrail, "Tatkala lelaki itu keluar selepas mengadap denganmu, dia menghubungkan Silaturrahim dengan kenalannya maka Allah menambah UMUR baginya dan dilimpahkan REZEKI kepadanya."

Berkata seorang arif, seseorang yang tinggal umurnya 3 hari apabila menghubungkan silaturrahim maka Allah panjangkan usianya sehingga 30 tahun dan seorang yang umurnya 30 tahun apabila memutuskan silaturrahim maka dipendekkan usianya menjadi 3 hari. Firman Allah dalam surah ar-Ra'du; 39 

 يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُ‌ۖ وَعِندَهُ ۥۤ أُمُّ ٱلۡڪِتَـٰبِ 

"Mafhumnya; Allah menghapuskan(mengubah) apa jua yang dikehendakiNya dan Dia jugalah yang menetapkan apa jua yang dikehendakiNya dan ingatlah pada sisNya ada "ibu segela suratan" iaitu Luh Mahfuz"

Ketahuilah saudara/i bahawasanya Allah melimpahkan kurniaNya dalam bentuk rekezi yang banyak, umur yang panjang dalam ketaatan dan keadaan kesihatan yang baik adalah melalui penyebab-penyebab yang terjadi. Sesungguhnya amalan menghubungkan SILATURRAHIM ini merupakan perkara yang Allah taala terlebih suka selepas mentauhidkannya. Marilah bersama beramal dengannya, hubungkan silaturrahim, maafkan kesalahan segala makhluk dan doakan pengampunan bagi diri kita dan seluruh umat Muhammad s.a.w. Selamat beramal. Wassalam~~~




Jumaat, 22 Februari 2013

NUR MUHAMMAD

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam menjadi penunjuk jalan bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam atas junjungan Muhammad s.a.w. penghulu segala kejadian. Sebelum meneruskan penulisan saya, saya ingin memohon kemaafan kerana kelemahan diri ini dalam istiqamah(berterusan) menulis dalam laman blog ini. Syukur kepada Allah kerana membuka peluang menggerakkan jari jemari bagi menulis dan meneruskan sisa-sisa perjuangan sebagai bekalan ke akhirat kelak.

Pada kali ini suka saya berkongsi kisah permulaan segala kejadian iaitu NUR MUHAMMAD S.A.W.  yang dijadikan daripada cahaya "Jamal Allah" Firman Allah dalam Hadis Qudsi;

خلقت روح محمد من نور وجهي
"Mafhumnya; Aku jadikan Ruh Muhammad daripada cahaya zat-Ku"

Nabi s.a.w juga bersabda;

اول ما خلق الله روحي واول ما خلق الله نوري واول ما خلق الله القلم واول ما خلق الله العقل
"Mafhumnya; Seawal-awal dijadikan Allah ialah Ruhku, seawal-awal dijadikan Allah ialah cahayaku, seawal-awal dijadikan Allah ialah Qalam dan seawal-awal dijadikan Allah ialah Akal."

Hakikat kejadian Muhammad disebut "nur" kerana bersih dari segala kegelapan yang menjadi halangan untuk dekat kepada Allah. Firman Allah s.w.t;

"Mafhumnya; telah datang kepada kamu semua cahaya(Muhammad) dan kitab penerang dari Allah."

Hakikat Muhammad juga disebut "Akal" kerana akal inilah yang mampu mengenali dan menemukan sesuatu, iaitu akal sebagai elemen mengenal segala kejadian dan memakmurkan kejadian tersebut bagi melahirkan tanda kesyukuran iaitu ulul albab.

Hakikat Muhammad juga disebut "Qalam" kerana hakikat itulah menjadi penyebab kepada perpindahan ilmu dari Luh Mahfuz kepada makhluk bernama manusia.

Ruh Muhammad s.a.w. adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk. Sabda nabi s.a.w. lagi;

"Mafhumnya; Aku dari Allah dan seluruh mukmin dariku."

Allah menjadikan segala ruh makhluk daripada Ruh Muhammad s.a.w. dalam keadaan terbaik yang hakiki di Alam Lahut (Alam asal segala ruh). Setelah 4000 tahun akhirat kemudiannya baru Allah menjadikan arasyh dari cahaya zat Muhammad s.a.w. juga.

Sekadar itu dahulu perkongsian kita pada kali ini, semoga diberikan kesempatan untuk menyambung kisah nur Muhammad ini lagi di kemudian hari. InsyaAllah~~~Wassalam.




Jumaat, 16 Mac 2012

ABJAD Aku Mempernamakan Jalanku Ini

Assalamualaikum w.b.t para sahabat dan pembaca semua. Bersyukur kehadrat Ilahi dengan limpah kurnianya masih diberikan kesempatan menulis dalam Blog ini setelah sekian lama penulisan tertangguh. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi s.a.w penghulu segala kejadian Saiyidul Akwan Muhammad s.a.w. Pada hari jumaat yang barakah ini saya ingin berkongsi mengenai bagaiman timbulnya perkataan ABJAD.

kata Barmawi dalam Syarah Hadis Bukhari, ketika Saiyidah Maryam mengandungkan Nabi Allah Isa a.s. adalah umurnya Maryam 13 tahun dan umurnya Maryam sehingga 112 tahun iaitu hidup selepas Isa a.s diangkat ke langit selama 60 tahun pula. Ketika umur Isa 9 bulan Saiyidah Maryam membawa Isa a.s. kepada tempat mengaji dan diringkaskan cerita kata gurunya seorang pendita bani Israel "kata olehmu Bismillah maka berkata Isa a.s "Bismillahir Rahmanir Rahim". Maka kata lagi gurunya "kata olehmu ABJAD". Tanya Isa a.s kepada gurunya "adakah tahu olehmu akan makna ABJAD". Maka kata gurunya "Tiada pula aku ketahui". Maka Hurai Isa a.s.

ABJAD
Alif itu Allah
Ba' itu Baha'ullah
Jim Jalalullah
Dal Dinullah
HAWWAZ
Ha' itu Hawiyah Jahannam
Wau itu wail iaitu telaga ahli an-Nar dalam neraka
Zai itu Zafir Jahannam iaitu suara apinya
HUTTHI
Ha' (ha kecil) itu Hutathil Khotoya iaitu digugurkan kesalahn bagi yang meminta ampun
KALIMAN
Iaitu Kalam bukan Makhluk
SA'FASH
iaitu Sha' dengan sha' yakni segantang dengan segantang
QARASYAT
Yakni Taqrisyuhum iaitu dihasyarkan makhluk sekaliannya

Maka berkata pendita gurunya tersebut " Hai Maryam, ambil olehmu anak engkau bahawasanya anak engkau tiada berhajat kepada seorang Guru".

Maka berkat kisah tersebut Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Uthmani mempernamakan madrasah tarbiyahnya dengan ABJAD semoga tidak berguru muridnya kepada selain daripada KALIMAN iaitu KALAM BUKAN MAKHLUK

Selasa, 10 Januari 2012

Ustaz Azhar Idrus Sesat???


........................................................
................................................
.....................................
.............................
..................
.......
...
.

Ustaz Azhar Idrus Sesat sekiranya beliau mengajak manusia menyembah beliau bukan menyembah Allah. Namun sebaliknya terjadi, beliau mencipta fenomena baru menarik golongan muda mengenali Allah.

Dewasa ini kita lihat bagaimana tercetusnya fenomena Ustaz Azhar Idrus dalam youtube dan dvd2 kuliah beliau. Kaedah penyampaian kuliah beliau mampu menarik minat pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat dan berjaya meruntuhkan tembok halangan golongan muda untuk berkunjung ke masjid2 bagi diisi dengan slot menuntut ilmu. Penyampaian yang bersahaja dan unsur-unsur jenaka sepanjang penyampaian kuliah beliau membuatkan kita tidak jemu dan mampu mengikuti kuliah sehingga selesai berbeza dengan sistem-sistem pengajian pondok sebelum ini.

Saya bukan berniat menghurai panjang kaedah penyampaian beliau yang memang sedia maklum menarik dan tidak bosan namun saya tertarik untuk menghurai bagaimana beliau menjawab pelbagai soalan2 yang dikemukakan orang ramai kepada beliau.

Pada pandangan saya, beliau merupakan Ulama yang lebih kepada Disiplin Ilmu Feqah, kerana banyak persoalan2 yang ditanya adalah mengenai ibadah, muamalah, jenayah, siasah dan munakahah. Jarang kita mendengar soalan2 yang berkaitan Tauhid dan Tasawwuf dikemukakan. Kaedah jawapan yang diberikan beliau juga amat menarik kerana beliau berbeza dengan ulama-ulama kontemporari yang lain. Setiap permasalahan Feqah beliau sandarkan kepada Imam2 Feqah seperti Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanbali, Imam Hanafi, Imam Nawawi dan sebagainya. Jarang sekali kita mendengar beliau menghurai sendiri Al-Quran dan Hadis melainkan beliau bersandar kepada Ijmak dan Qias. Sandaran kepada Ijmak dan Qias ini semakin PUDAR dalam kalangan Ulama2 Kontemporari kerana pengajian Ulama2 kini lebih kepada sistem Universiti yang mengajar para mahasiswa mengkaji sendiri ayat2 al-Quran dan hadis2 nabawi. Berbeza dengan sistem pondok lama yang mengasuh dan mendidik para penuntut berpegang kepada ULAMA2 MUKTABAR yang lebih arif tentang Al-Quran, Hadis dan Kaedah Bahasa Arab dalam menghurai sumber hukum islam tersebut.

Serangan WAHABI atau SALAFI dalam kalangan masyarakat Malaysia Muslim wajib dibendung dan dilawan habis-habisan. Kemunculan Da'e seperti Al-Fadhil Ust Azhar Idrus ini merupakan satu sinar baru harapan agar sistem PONDOK dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diasaskan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-fathoni, Syeikh Ahmad Al-Fathoni dan Tok Kenali ini mampu diteruskan dan kita sebagai manusia awam tidak terjebak dengan akidah yang sesat dan amalan yang BIDAAH DHOLALAH HARAM dan BIDAAH DHOLALAH KARAHAH yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dasawarsa ini.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Mahmud Ghazni, Sultan Alam Jasmani Ruhani Pertama


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan segala limpahan rahmat dan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya yang duduk dalam jahat namun segera keluar dari lembah kehinaan itu atas limpah perkenanNya jua. Selawat dan salam atas junjungan nabi SAW dan para sahabat serta tabiin.

Pada kali ini, setelah sekian lama menyepi, ana menggerakkan jari jemari, menaip papan kekunci bagi menghasilkan ilmu untuk dikongsi. Di atas permintaan beberapa orang sahabat, tajuk Mahmud Ghazni dipilih bagi mengisi kolum blog pada kali ini.

Mahmud Ghazni ada juga mengenalinya Sultan Mahmud Ghazni/Ghaznawi adalah seorang sultan Turkment sekarang wilayah tersebut dikenali sebagai Turkmenistan. Mahmud Ghazni tidak perlu kita membahaskan mengenai bagaimana baginda menakluk negara India dan meluaskan Empayar Islam. Perkara yang wajib kita ambil pengajaran ialah BAGAIMANA ALLAH MEMBERI KEMENANGAN KEPADA SEORANG RAJA YANG ZALIM INI.

Terkenal dengan sikap kaki perempuan, kaki judi, kaki botol dan pelbagai jenis kaki lagi tidak menghalang Mahmud Ghazni menyimpan perasaan ingin mengubah kehidupan menjadi hamba yang soleh. Begitu juga manusia kebanyakkan kini yang semacam hanyut dalam gelora ombak kemaksiatan juga tidak terlepas dari naluri suci asal manusia yang dambakan kepada KEBAIKAN YANG HAKIKI.

Pada satu masa, terdetik di hati sang raja ingin menakluk dan meluaskan empayarnya. Baginda berhasrat menakluk negara India dan menjadikan negara tersebut di bawah kekuasaan ISLAM. Dalam usaha meluaskan empayar kerajaannya, Mahmud Ghazni mengumpulkan 12,000 orang bala tentera bagi melanggar dan menakluk India. Beliau meminta 12 orang Ulama yang serban tebal, janggut lebat yang hafal al-Quran dan Hadis Sunan Sittah bagi memimpin bala tenteranya. setiap seorang ulama dibekalkan dengan 1000 orang tentera yang dilatih khas dengan peperangan gerila dan tempur dalam keadaan puasa pada siang hari dan bangun bertahajjud pada malam hari. Manakala sang raja yang banyak dosa merantau mencari guru Mursyid yang sampai kepada Murabbi di tempat terpencil. Nama guru tersebut Abu Hasan al-Khalqani seorang Ulama yang mendapat keilmuan bukan dengan mempelajari dari mana-mana Ulama lain melainkan hanya menjadi seorang penjaga kepada Makam Wali terkenal iaitu Abu Yazid al-Bisthami selama 48 tahun sejak berusia 8 tahun. Hal keadaan cara Syeikh Abu Hasan al-Khalqani mendapat ilmu itu pelik bin ajaib, maka ramai ulama-ulama duniawi yang tidak kenal darjah dan makam syeikh Abu Hasan al-khalqani ini memulau dan meminggirnya. Mahmud Ghazni berjumpa Abu Hasan al-Khalqani bertujuan menjadi murid kepada Wali yang mustajab doa tersebut semoga dengan harapan segala dosa-dosanya yang lepas diampunkan oleh Allah dan niatnya menawan negara India dimakbulkan Allah. Sebelum berpisah gurunya memberi secebis keratan jubah gurunya sebagai ingatan dan tautan kasih sayang antara murid dan guru tersebut.

Selama 40 hari tenteranya dilatih 12 orang ulama dan selama itu juga Mahmud Ghazni dilatih oleh gurunya Syeikh Abu Hasan al-Khalqani. Selepas menjalani latihan tersebut, berjumpalah semula Mahmud Ghazni dengan bala tenteranya di tempat yang dijanjikan. Mereka berkumpul dan sama-sama berbaiah tidak akan lari dari medan peperangan melainkan dengan menang atau syahid. 12000 ribu tentera tersebut yang dilatih dengan bertempur dalam keadaan berpuasa siang hari dan bertahajjud di malam hari itu akan berdepan dengan 200000 tentera Sami Hindu yang handal dalam sihir-sihir peringkat tinggi seperti yang dilihat dalam ritual perayaan thaipusam.

Selama 6 bulan berturut-turut berlaku pertempuran sehinggalah kelihatan tentera di sebelah pihak Islam mengalami kekalahan yang teruk. Maka berkumpul semula 12 orang ulama tadi dan mengeluarkan fatwa bahawa mereka hanya mencampak diri dalam kebinasaan sekiranya meneruskan lagi peperangan. Mustahil kemenangan di pihak Islam dan mencadangkan kepada Sultan Mahmud Ghazni supaya berundur berdasarkan ayat;

"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan"

Sultan tidak bersetuju kerana pada awalnya sudah sama-sama menetapkan Syahid atau Kemenangan sahaja yang akan membawa mereka pulang. Oleh kerana sudah ramai tentera yang termakan dengan hasutan untuk pulang, maka Sultan memerintah setiap tenteranya meninggalkan segala kelengkapan peperangan dan senjata dan biarkan Sultan mereka seorang diri memerangi tentera Sami Hindu tersebut. Apabila segala kelengkapan ditinggalkan maka Sultan Mahmud Ghazni menghampar permaidani sejadah lalu mengeluarkan cebisan jubah gurunya, lalu solat hajat dua rakaat dan berdoa;

" Ya Allah, dengan berkat dan doa yang tidak pernah putus dari si pemilik cebisan jubah ini, berilah aku kemengangan ke atas tentera hindu Majusi ini"

Selesai sahaja berdoa, Allah menghantar ribut salji yang menenggelamkan tentera sami hindu tersebut dan kemengangan dicapai Sultan Mahmud Ghazni seorang diri. Maka terbukalah kota-kota seperti New Delhi, Islamabad dan Ahmedabad yang dibuka oleh Sultan Mahmud Ghazni dan populasi Muslim di India sekarang adalah warisan daripada generasi Sultan Mahmud Ghazni tersebut.

Apabila pulang semula ke Turkment, maka bertanyalah Ulama 12 orang tersebut apa yang didoakan Sultan Mahmud Ghazni sehingga Allah memberi kemenangan sedangkan mereka juga berdoa namun tidak dikurniakan kemenangan. Jawab Sultan Mahmud Ghazni, beliau diDOAkan oleh Gurunya Syeikh Abu Hasan al-Khalqani dengan Seluruh hati dan jasad manakala kamu wahai para Ulama hanya berdoa kepada Allah dengan hujung lidah. Mana sama dengan DOA gurunya Abu Hasan al-Khalqani.

Nilai pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini, Allah menyediakan pengampunan seumpama bayi yang baru dilahirkan kepada hambaNya sekiranya hamba tersebut benar-benar menyesali walau dosa-dosa seperti Mahmud Ghazni. Doa yang diucap dibibir juga tidak dimakbulkan Allah melainkan Doa-doa yang menyerahkan seluruh jiwa dan jasad kepada Allah. Dalam peperangan tidak ada jalan pulang melainkan Syahid atau kemenangan dan perit dalam peperangan adalah bentuk ujian bagi melatih hamba itu sendiri.

"Berapa banyak tentera yang jumlah sedikit yang mendapat kemenangan dengan izin Allah?"

قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ ٱللَّهِ ڪَم مِّن فِئَةٍ۬ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةً۬ ڪَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ


Khamis, 1 September 2011

TIADA YANG MUSTAHIL


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur dan puji hanya selayaknya kepada Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. penghulu segala kejadian dan kepada ahli keluarganya serta para sahabat semuanya.

TIADA YANG MUSTAHIL adalah tajuk yang ana rasa terpanggil untuk dikongsi bersama kerana keadaan salah seorang sahabat ana yang diuji dengan berat oleh Allah. Apakah kamu mengira kamu akan dilepaskan begitu sahaja berseronok suka di dunia selepas kamu mengaku beriman tanpa diuji. Tanya Allah kepada semua hambaNya terdiri dari manusia dan jin yang dipertanggungjawabkan dengan agama.

Allah menguji hamba-hambaNya kerana ingin menilai sejauh mana cinta dan kasih hambaNYa kepadaNya. Bukan ujian itu bertujuan merampas segala pemberianNya kepada kita. Segala yang diuji ketika proses ujian mampu dikembalikan kepada kita seperti sediakala sekiranya kita redha dan tabah menghadapi segala masalah disamping Allah tidak pernah Zalim dengan membiarkan kita BERSENDIRIAN melainkan pasti ada yang dihantarNya untuk MENEMAN.

Mari kita menyelak semula lembaran-lembaran sirah. Lelaki atau wanita yang hebat dilahirkan kemudian setelah mengharungi ujian dengan tabah. Mungkin keperitan yang dilalui golongan lelaki kerap kali diperdengarkan kepada kita namun kali ini suka ana kongsikan beberapa kisah Srikandi Islam yang berat diuji tapi TIADA YANG MUSTAHIL selepas ujian untuk memotivasikan wanita yang selalu dikatakan lemah apatah lagi lelaki yang kononnya mengaku gagah kadang-kadang tewas dalam medan ujian.

Siapakah Maryam binti Imran. Anak perempuan ini dilahirkan dari rahim seorang perempuan yang dikatakan MANDUL. Ibu Maryam merupakan saudara ipar kepada nabi Zakaria a.s yang juga tidak dikurniakan anak kerana masalah serupa iaitu isteri nabi Zakaria a.s yang mandul. Ibu Maryam bernazar kepada Allah, jika dikurniakan seorang anak kelak, dia akan menyerahkan anak itu supaya dididik menjadi hamba yang soleh. Seboleh-bolehnya suami isteri itu mengharapkan anak lelaki supaya mudah diasuh menjadi seorang Ulama dalam kalangan Bani Israel kelak. Keinginan yang membuak-buak ingin mendapat zuriat membuatkan ibu kepada Maryam ini cemburu sekiranya terlihat burung yang member makan anak-anaknya atau kucing yang menyusukan anak-anaknya. Pada satu ketika, pada waktu uban penuh dikepala, pada usia wanita sudah putus haid, Allah yang Maha Mendengar mengurniakan Isteri Imran yang dikatakan mandul mengandungkan seorang bayi yang masik belum pasti jantina. Ketika isterinya mengandung dan dalam seronok suka ingin menimang cahaya mata, Allah menguji lagi wanita tabah ibu kepada Maryam ini dengan memanggil pulang Imran ke sisiNya. Walau dalam keadaan sedih berduka, ketabahan banyak membantu Ibu Maryam sehingga selamat melahirkan bayi perempuan. Walau bagaimanapun hajat untuk menimang bayi lelaki tidak kesampaian namun nazar harus ditunaikan. Maka diserahkan Maryam untuk dijaga kepada Alim Ulama Bani Israel. Ramailah yang ingin menjaga dan mendidik Maryam sehingga terpaksa dilakukan undian. Akhirnya undian jatuh kepada Zakaria a.s iaitu bapa saudara Maryam sendiri. Zakaria yang tidak mempunyai anak amat menyayangi anak saudaranya Maryam. Ditempatkan Maryam di atas Loteng yang memerlukan tangga untuk sampai ke tempat tersebut dan tidak dibenarkan mana-mana lelaki berjumpa Maryam melainkan Nabi Zakaria a.s. Kisah ini diceritakan dalam Surah ali-Imran ayat 33-42 seperti mafhumnya di bawah;

“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Mereka berkembang-biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan). Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh. Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi. Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

Lahir Yahya a.s juga dari perempuan yang dikatakan Mandul dan Allah menguji setiap hambaNya dengan ujian yang berat-berat supaya hamba itu nyata kasih dan cinta kepada Allah apabila Tuhannya itu memberi jalan kelapangan setelah dadanya disempitkan dengan ujian. Nabi Ishak a.s. juga dilahirkan Allah melalui rahim siti Sarah yang dikatakan Mandul. Maka Allah menguji hambaNya dalam satu bentuk Ujian supaya kita kembali dan berdoa kepadaNya. Tidak perlu risau dan gentar kepada Ujian apabila sudah memilik cinta Penguji.

Begitu juga soal jodoh, Allah menzahirkan empat jenis wanita yang menjadi ketua kepada wanita-wanita lain di Syurga. Allah zahirkan Maryam binti Imran, seorang yang tidak berkahwin, tidak sempat berbakti kepada kedua ibu-bapanya secara zahir walaupun tetap berbakti sebagai anak solehah melalui doa. Maka Saiyyidah Maryam ini ketua kepada wanita yang tidak berkahwin seumur hidupnya. Kemudian Allah zahirkan Asiah isteri Firaun, walau dalam keperitan bersuamikan seorang lelaki yang zalim iaitu Firaun, Asiah sabar dalam melayan karenah suaminya dan redha dengan ketentuan Allah tersebut. Sehingga setiap permintaan Asiah ditunai segera oleh Firaun kerana kasih dan cinta kepada isteri yang taat berbakti tersebut. Maka jadilah Asiah ketua wanita solehah yang ketika di dunia dijodohkan dengan lelaki yang zalim sebagai suaminya. Kemudian Siti Khadijah Khuwailid. Contoh wanita yang dijodohkan dengan lelaki yang Soleh iaitu Rasulullah s.a.w . Walaupun bersuamikan dengan lelaki yang soleh, Khadijah tetap melalui tempoh getir diuji oleh Allah namun setiap ujian Allah janjikan kelepasan. Inilah ketua kepada Wanita syurga yang bersuami dengan lelaki yang soleh kemudian si isteri turut sama melatih diri menjadi Solehah. Bagi wanita yang mati ketika usia muda belia dan tidak sempat berkahwin, maka Nabi s.a.w menjadikan Fatimah az-Zahra ketua baginya di Syurga. Seorang anak solehah kepada Nabi s.a.w yang taat dan berbakti tanpa belah bahagi kepada bapanya yang terkenal dengan keperitan menempuhi pelbagai ujian dalam menyebarkan dakwah Islam. Hanya empat golongan ini sahaja ujian Allah kepada wanita mengenai jodoh mereka dan harungilah dengan tabah dengan menjadikan contoh-contoh yang terpelihara daripada dosa di atas sebagai teladan dalam melaksanakan urusan kita di dunia.

Kembali semula kepada TIADA YANG MUSTAHIL. Allah menguji kita sebagai hamba dalam pelbagai bentuk. Mahu atau tidak kita terpaksa atau rela menghadapi ujian tersebut. Jika dalam keadaan terpaksa maka sia-sia ujian tersebut dan tidak memperoleh apa-apa. Jika kita rela, iaitu redha dengan ujian tersebut, badan Nabi Ayub a.s yang hanya tinggal otak dan hati Allah kembalikan dalam keadaan asal. Sham’un al-Ghazi dikurniakan sekejip mata selepas redha dengan ketentuan. TIADA YANG MUSTAHIL di sisi Allah maka jadikan diri kita bersama Allah atau bersama dengan mereka yang bersama Allah. Pasti jua sampai kepada Allah.



Lailatul Qadar meninggalkan kita,

Pergi juga bulan Ramadhan,

Redha ujian oleh hamba,

Pasti untung empunya badan

Sabtu, 27 Ogos 2011

LAILATUL QADAR dan SHAM'UN AL-GHAZI


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah segala puji kepada Allah. Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. para sahabat dan yang mengikut mereka sehingga saat kiamat.



Lailatul Qadar ialah malam yang LEBIH BAIK dari 1000 bulan. Maka pendapat pertama mengatakan malam Lailatul Qadar sama dengan ganjaran 70 000 bulan dan pendapat kedua pula sama dengan 100 000 bulan. Suka di sini ana memilih 100 000 ribu bulan mengenangkan RAHMAT Allah yang LUAS TAK BERTEPI DALAM TAK TERPERI.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Al-Qadr 1,2,3)

Merujuk ayat di atas, pertamanya turunnya al-Quran ke Langit dunia dan keduanya malam al-Qadr ini lebih baik dari seribu bulan. SERIBU BULAN ini ana ingin ajak sahabat-sahabat sama-sama bermuzakarah dan menghayati sebuah kisah yang menjadi asbabun(sebab) Nuzul(turun) ayat 1 hingga 3 surah al-Qadr ini.

Sham'un al-Ghazi adalah seorang wali Allah yang hidup semasa zaman Bani Israel. Umur Sham'un ini dikhabarkan adalah 83 tahun dan 4 bulan iaitu bersamaan 1000 bulan. Sham'un ialah jaguh, panglima perang yang tak terkalah. Itulah karamah yang Allah kurniakan kepada Sham'un bagi mengalahkan segala kekufuran dalam Bani Israel. Senjata Sham'un bukan pedang atau batang lembing. Allah mengurniakan RAHANG UNTA sebagai senjata Sham'un untuk mengalahkan musuh-musuh Allah. Dari RAHANG tersebut Allah mempamerkan lagi kemuliaan kekasihNya yang bernama Sham'un ini dengan keluar makanan dari syurga melalui gigi di RAHANG UNTA tersebut. Dari situlah Sham'un memperoleh rezekinya. Sham'un adalah panglima dan jaguh perang yang berpuasa siang hari dan berjaga tahajjud di malam hari sepanjang usianya iaitu 1000 bulan.

Pada satu ketika, Yahudi dalam kalangan Bani Israel ini berasa cemas dan rimas dengan ketegasan yang ditunjukkan Sham'un dalam memerangi kekufuran. Maka berbincanglah YAHUDI sesama mereka bagaimana kaedah yang boleh menghentikan Sham'un dari mengganggu mereka bersuka ria dengan dunia. Isteri Sham'un adalah seorang wanita yang tidak teguh IMAN seteguh Sham'un dan dari lubang inilah Sham'un akan diserang oleh Yahudi. Pengajarannya, lelaki mestilah mencari seorang yang solehah atau mendidik seorang sehingga menjadi solehah sebagai isteri supaya tidak menjadi penghalang dalam JIHAD AGAMA. Isteri Sham'un ditaburkan dengan pelbagai janji-janji manis dan intan permata yang menyilau mata bagi mengaburi hati dan IMAN isterinya itu. Isteri Sham'un bersetuju bersekongkol dengan Yahudi bagi mengkhianati suaminya sendiri akibat pujuk rayu dari Yahudi alaihi laknat tersebut.

Pada suatu malam, isteri Sham'un mengikat suaminya untuk diserahkan kepada Yahudi dengan rantai besi. Sham'un yang terkenal gagah perkasa hanya dengan satu pekikan berjaya memutuskan rantai besi itu. Tanya Sham'un kepada isterinya, siapa yang mengikatnya dengan rantai besi itu. Jawab isteri Sham'un dialah yang mengikatnya untuk menguji kekuatan suaminya yang terkenal handal, gagah di medan tempur. Malam kedua isteri Sham'un menambah jumlah rantai besi kepada tiga dan perkara sama tetap berulang iaitu Sham'un dengan mudah dapat memutuskan rantai besi tersebut.

Pada malam kedua, Sham'un bertanya kepada isterinya. Kenapa masih mahu cuba dan uji kekuatan suamimu wahai isteriku. Jawab isteri Sham'un mungkin dengan 3 rantai besi Sham'un tak mampu melepaskan diri. Jangkaan isterinya meleset sama sekali. Kemudian Sham'un tidak teragak-agak membuka RAHSIA Allah kepada isterinya. Wahai isteriku, aku mempunyai tujuh helai rambut di kepalaku, jika berkehendak kamu mengikatku tanpa lepas maka tujuh helai rambut itu sahaja yang mampu. Itu lah kemuliaan Allah kepadaku sebagai waliNya. Bagi mereka yang berjalan di jalan Allah, WAJIB menjaga SIR(rahsia) Allah kepadanya.

Pada malam ketiga, isteri Sham'un berjaya menjerat suaminya dengan rahsia 7 helaian rambut suaminya sendiri. Digunting rambut itu, kemudian diikat suaminya dan diserahkan kepada Yahudi yang menanti untuk menyiksa Sham'un. Sham'un diseksa dalam sebuah bangunan penyembelihan. Dipotong telinga, dibutakan mata, dikerat lidah, dikudungkan tangan dan kaki namun Sham'un dengan kelebihan seorang yang gagah dan berani. Sham'un tidak marah, tidak melenting hanya diam dan redha dengan ujian Allah tersebut. Kemudian selepas menerima seksaan yang dahsyat sebegitu rupa Allah yang MAHA KASIH kepada HambaNya yang redha akan ujianNya terus mengilhamkan Sham'un supaya memohon apa-apa hajat nescaya diperkenankan dalam sekejip mata. Maka Sham'un pon memohon supaya Allah mengembalikan kesihatan dan kekuatan seperti sediakala. Dia juga meminta Allah meranapkan rumah sembelihan itu. Maka ranaplah rumah sembelihan itu bersama isteri Sham'un yang khianat di dalam rumah sembelihan tersebut.

Sham'un berazam, selepas mendapat semula kekuatan dan kesempurnaan jasmani daripada Allah untuk terus beribadat tidak putus-putus dengan berperang menentang kekufuran dan berpuasa pada siang harinya dan membangun malamnya dengan bacaan Quran dan solat-solat sunat selama 83 tahun dan 4 bulan bersamaan 1000 bulan umur atau hayat Sham'un al-Ghazi.

kemudian tanya para sahabat kepada Rasulullah, tidakkah umatmu wahai Rasulullah memperoleh ganjaran serupa dengan Sham'un al-Ghazi itu. Jawab Rasulullah, dengan turunnya Jibril a.s bahawa umat Muhammad pada malam Lailatul Qadar akan dapat lebih dari 1000 bulan( lebih dari usia kehidupan Sham'un) ganjaran yang dilipat gandakan. MasyaAllah.