Isnin, 22 Ogos 2011

UMARA DAN ULAMA


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah Syukur. Segala Puji Bagi Allah. Selawat dan Salam atas Rasulullah, sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin ajmain ila yaumiddin.

Umara dan Ulama adalah satu tajuk yang ringkas namun amat panjang perbahasan dan kupasa sekiranya kita memperhalusi perbincangan. Umara membawa maksud pemimpin, ketua atau pemerintah manakala Ulama member maksud mereka yang memiliki ilmu dan WAJIB mewarisi ilmu tersebut daripada Rasulullah s.a.w secara berSANAD.

Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kalian." (An-Nisa': 59).

Melalui ayat di atas, apa yang dapat kita fahami ialah, Rasulullah wajib kita taati dan baginda juga berperanan sebagai ULAMA. Manakala manusia yang berilmu kemudian mewarisi ilmu daripada baginda pula disebut ULAMA WARASATUL ANBIA yang berperanan seumpama rasul. Umara atau pemimpin disebut Ulil Amri iaitu penguasa yang wajib juga kita TAAT bersesuaian perintah Allah di atas.

Di Malaysia, rakyat selalu keliru siapakah Ulil Amri atau Umara yang wajib kita taati. Ada yang mengatakan Perdana Menteri serta Kabinetnya dan ada juga yang mengatakan SULTAN. Pihak ketiga terus menolak sama ada SULTAN atau Perdana Menteri kerana kedua-duanya tidak mempunyai ciri-ciri agama yang membolehkan kita taat. Menolak mentaati pemimpin yang Allah tentukan sama seperti menolak ayat Allah di atas, tidakkah kita menyedari.

"Barang siapa tidak menyukai sesuatu pada pemimpin, hendaklah ia bersabar, kerana barangsiapa keluar dari pemimpin sejengkal saja, ia mati dalam keadaan mati jahiliyah." (Muttafaq Alaih).

SULTAN merupakan Amirul Mukminin yang wajib kita TAAT kerana mereka merupakan penjaga kesucian agama ISLAM di sini. Sultan dari kalimah Arab dan merupakan gelaran yang dikurniakan kepada pemerintah. Menurut sejarah, manusia pertama memakai gelaran sultan pada pangkal nama ialah Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani, kemudian dipakai oleh Sultan Mahmud Ghaznavi/Ghazni raja ISLAM yang meluaskan empayar ke India. Kemudian dipakai pula oleh Sultan Muzaffar Syah I iaitu sultan bagi kerajaan Kedah Tua. Sultan keempat ialah Sultan Salahuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammed Fateh sultan kelima. Kalimah Sultan ini adalah pengganti kepada khalifah dan Allah masih memelihara kalimah ini di Negara Malaysia dan Brunei sahaja di dunia manakala Turki Uthamaniah dan kerajaan-kerajaan lain tidak lagi dapat mengekalkan gelaran pemimpin mereka dengan Sultan.

Secara ringkas cerita, Sultan Melayu yang popular ialah Sultan Abdul Hamid Halim Shah iaitu nenenda kepada Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (gambar atas) merupakan sultan yang diakui karamah sehinggakan banyak kedai-kedai sekitar kedah khususnya menggantung gambar baginda di dinding-dinding kedai KONONnya boleh melariskan jualan. Sultan Abdul hamid ini ialah Umara yang didamping oleh Ulama iaitu Tok Shafie Kedah sebagai penasihat dan Mufti. Maka Sultan tersebut memakai semula gelaran “Zillahu fil ‘alam” atau bayangan pemerintahan Allah di bumi. Menurut kisah, British membina jambatan atau titi bagi merentasi sebuah sungai, british meyakinkan baginda Sultan Abdul Hamid bahawa titi tersebut kukuh dan mampu menampung berat bertan-tan. Kemudian Sultan Abdul Hamid menghentak kaki atas titi tersebut bagi menguji kata-kata pihak British sehingga titi itu menjadi serong. Maka terkenal tempat tersebut dengan gelaran TITI SERONG. Kemudian Karamah yang dikurniakan Allah ini disalah erti oleh segelintir Melayu dengan mengatakan TULAH iaitu ancaman sekiranya kita derhaka kepada SULTAN. Namun awas, sekiranya sultan tersebut ada Ulama Warasatul Anbia sebagai pendamping maka KARAMAH itu pasti wujud kerana SULTAN itu ialah WALI dan siapa yang memerangi WaliKU kata Allah, Allah akan memeranginya.

Persoalan timbul, kenapa SULTAN atau Umara pada masa kini tidak menjaga hukum hakam agama. Hal ini disebabkan, Ulama gagal menjalankan peranan sebagai penasihat, Ulama bertelagah sesama ulama dan Ulama Ussuu’(jahat) yang menasihati SULTAN. Pada masa pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq sebagai Khalifah, Saidina Ali k.w.h berperanan sebagai Ulama pakar rujuk begitu juga zaman kegemilangan Islam dibawah Sultan Salahuddin al-Ayubi atau Sultan Muhammed Fateh, ada ulama sebagai penasihat. Namun kita wajib taat kepada SULTAN kerana PANGKAT tersebut dikurniakan oleh Allah dan masih DIJAGA oleh Allah. Mentaati pemerintah yang tidak menyeru kita kepada MAKSIAT adalah WAJIB. Sebab itu kata Saidina Ali k.w.h. “lihatlah kamu kepada apa yang diperkatakan atau dinasihatkan jangan kamu lihat kepada orang yang menasihati”.

Sabda Rasulullah saw., "Barangsiapa taat kepadaku, ia taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat kepadaku, ia bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada pemimpinku, ia taat kepadaku. Dan barangsiapa bermaksiat kepada pemimpinku, ia bermaksiat kepadaku." (Muttafaq Alaih)





Rabu, 27 Julai 2011

Dimakan Sumpahan


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, segala puji kembali kepada Allah. Selawat dan salam atas penghulu mursalin dan atas segala sahabat serta tabiin.

Sekurang-kurangnya ada sepuluh sifat yang harus dimiliki oleh orang-orang yang berada dalam perjuangan kerohanian, yang sedang memeriksa diri sendiri dan yang berusaha mencapai tujuan kerohanian serta yang menginginkan kekal berada dalam keadaan itu. Apabila Allah telah mengizinkan mereka untuk tetap berada dalam keadaan itu dan berdiri teguh di dalamnya, maka mereka akan mendapatkan kedudukan yang tinggi. Nasihat Syeikh Abdul Qadir Jilani iaitu Sultan Wali kepada murid-muridnya yang dirakamkan dalam Futuhul Ghaib. Nasihat yang mempunyai angka genap 78 ini banyak memberi panduan kepada kita yang bukan sahaja memakai pakaian agama secara zahir atau jasmani namun perjalanan rohani juga kita wajib tanam menuju kepada Allah dengan hati yang sejahtera yang ada bimbingan.

"Sifat pertama, hendaklah seorang hamba tidak bersumpah dengan menggunakan nama Allah, baik di dalam perkara yang benar mahupun di dalam perkara yang salah, dan baik secara sengaja mahupun tidak. Jika ia telah menyedari hal itu, yakni ia tidak bersumpah dengan menggunakan nama Allah, baik secara sengaja mahupun tidak, maka Allah akan membukakan pintu cahaya-Nya baginya, ia akan menyedari faedahnya di dalam hatinya, pangkatnya di sisi Allah akan ditinggikan, kekuatan dan kesabarannya akan bertambah, sanak-saudaranya akan memujinya dan tetangga-tetangganya akan memuliakan. Kemudian, orang yang kenal kepadanya akan menghormatinya dan orang yang melihatnya akan merasa gentar memandangnya."

Dari petikan kata-kata di atas, sudah kita dapat kesan bahawa sumpahan yang kita lakukan dengan menggunakan nama Allah sengaja mahupun tidak sengaja menyebabkan pintu hati kita tertutup terkunci daripada cahaya atau hidayah Allah. Hilang seri muka dan ditarik iman serta merta, pangkat jawatan di sisi Allah lucut dalam kadar segera dan hilang tanda-tanda manusia menghormatinya. Namun Allah Maha Pengampun sentiasa mendahului rahmat kasih sayangNya kepada Hamba milikNya. Firman Allah dalam Surah al-Maedah ayat ke 89;

لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغۡوِ فِىٓ أَيۡمَـٰنِكُمۡ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُڪُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلۡأَيۡمَـٰنَ‌ۖ فَكَفَّـٰرَتُهُ ۥۤ إِطۡعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِينَ مِنۡ أَوۡسَطِ مَا تُطۡعِمُونَ أَهۡلِيكُمۡ أَوۡ كِسۡوَتُهُمۡ أَوۡ تَحۡرِيرُ رَقَبَةٍ۬‌ۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ كَفَّـٰرَةُ أَيۡمَـٰنِكُمۡ إِذَا حَلَفۡتُمۡ‌ۚ وَٱحۡفَظُوٓاْ أَيۡمَـٰنَكُمۡ‌ۚ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu DIKIRA SALAH olehNya dengan sumpah yang sengaja kamu buat dengan BERSUNGGUH-SUNGGUH. Maka bayaran dendanya(kifarah dosa) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda PENEBUS SUMPAH kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah(peliharalah) sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu bersyukur

Rata-rata manusia hari ini tidak lagi berhati-hati dengan kalimah yang boleh membawa atau menjunamkan manusia ke lembah Fasik, Zalim, Murtad dan Munafik dengan sewenang-wenangnya menggunakan bijak akal fikiran bagi melakukan sesuatu perkara yang nampak pada zahirnya baik. Manusia kebanyakkan atau manusia awam gopoh dan tergesa-gesa menilai sesuatu perkara menggunakan akal pemikiran dan tidak merujuk kepada al-Quran, Hadis, Ijmak ulama dan Qias sebelum melakukan sesuatu perkara.

Apabila diajak melakukan kebaikan, Umat Islam hari ini mesti berSUMPAH sebagai simbol keluar daripada kufur dan maksiat kepada Iman dan Taat. Sedangkan Allah tidak menilai dengan suatu yang berharga SUMPAH-SUMPAH mereka melainkan mengenakan denda jika dilakukan dengan SENGAJA. Allah hanya menilai ucapan dua kalimah syahadah yang diucap dengan niat memfardhukan diri dengan agama lalu Allah menilai setiap titik peluh manusia yang keluar dari lembah KUFUR dan MAKSIAT ini dengan SYURGA dan segera diberi keampunan. Tidak ada sumpah atau bai'ah lain di sisi Allah melainkan DUA KALIMAH SYAHADAH.

Manusia yang terjerumus atau bergelumang dengan amalan jahiliah ini dinasihatkan segera, segera dan segera kembali semula kepada pengampunan sebelum nyawa berada di halkum atau matahari keluar dari pihak barat. Pada ketika itu setiap rintihan dan rayuan pengampunan sudah tertutup dan sia-sia segala-galanya. Kerana perjalanan Rohani manusia dikawal dan dijaga oleh Malaikat tentera Allah seperti Rasulullah dijaga oleh Jibril a.s. semasa Isra' Mikraj namun apabila BERSUMPAH kawalan dan jagaan tentera malaikat ini diganti oleh Azazil, Iblis dan Jin yang menenggelamkan manusia dalam lautan khayal, angan-angan, Waham, Syak dan Zhan iaitu karam dalam lautan tipu daya syaitan. Manakala yang masih mencari ilmu agama, elakkan dari ditipu Ustaz-ustaz gelaran yang bertopengkan agama namun hanya membawa barangan tiruan dan hanya memperdagangkan nama Allah semata-mata dengan harga dunia yang murah. Hati-hati dengan golongan ULAMA JAHAT (Ularma sebutan betul-lidah bercabang) ini. Wallahua'lam...

Khamis, 14 Julai 2011

SERING Bertanya Sesat Jalan


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, segala puji khas kepada Allah yang memberikan kesempatan demi kesempatan kepada hambaNya bercucuk tanam dalam negeri dunia bagi dituai di negeri akhirat yang kekal. Selawat dan salam atas rasul junjungan Muhammad s.a.w sebaik-baik kejadian dan sebaik-baik contoh teladan.Tajuk kali ini bertentangan dengan pepatah yang selalu kita dengar iaitu "MALU BERTANYA SESAT JALAN".

Sering kita dengar apabila ingin mendalami sesuatu ilmu kita perlu banyak bertanya bagi memudahkan proses pemahaman. Tapi sedarkah kita bahawa kadang-kadang kita memperolehi ilmu bukan hanya dengan teori namun dengan praktikal iaitu merasai. Konklusi awalnya ILMU bukan hanya diperolehi dengan cara MENGETAHUI namun ilmu juga diperolehi dengan cara MERASAI.

Banyak bertanya ini mempunyai sejarah tersendiri. Bangsa yang paling banyak bertanya adalah Bani Israel. Apabila nabi Musa a.s. meminta mereka mencari seekor lembu atau sapi mereka bertanya warnanya. Lalu dijawab Allah warnanya kekuningan lalu mereka bertanya lagi, yang bunting atau tidak bunting, maka Allah jawab yang tidak bunting. Pertanyaan dan pertanyaan terus diajukan Yahudi kepada nabi Musa sehingga Allah merakamkan perangai banyak bertanya YAHUDI ini dalam al-Quran sebagai peringatan kepada Umat Muhammad s.a.w.

Allah berfirman dalam surah al-Maedah ayat 101 dan 102 dan mafhumnya;

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَسۡـَٔلُواْ عَنۡ أَشۡيَآءَ إِن تُبۡدَ لَكُمۡ تَسُؤۡكُمۡ وَإِن تَسۡـَٔلُواْ عَنۡہَا حِا ينَ يُنَزَّلُ ٱلۡقُرۡءَانُ تُبۡدَ لَكُمۡ عَفَٱللَّهُ عَنۡہَا‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ۬

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar."


قَدۡ سَأَلَهَا قَوۡمٌ۬ مِّن قَبۡلِڪُمۡ ثُمَّ أَصۡبَحُواْ بِہَا كَـٰفِرِينَ

"Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu da mereka tidak menerima, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, merekanya)"

Nabi yang diutuskan kepada Bani Israel ialah nabi Musa a.s. Baginda pernah mengaku kepada umatnya bahawa baginda adalah manusia yang paling alim yang hidup di dunia ketika itu. Kemudian Allah yang bersifat dengan berkata-kata menegur nabi Musa a.s. dan mempertemukan Nabi Musa a.s. dengan seorang lagi nabi iaitu nabi Khidir a.s. Kemudian nabi Musa a.s. diperkenan oleh Allah untuk bersahabat dengan nabi Khidir a.s. dan nabi Khidir a.s. memberi hanya satu syarat utama kepada nabi Musa a.s.

قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعۡتَنِى فَلَا تَسۡـَٔلۡنِى عَن شَىۡءٍ حَتَّىٰٓ أُحۡدِثَ لَكَ مِنۡهُ ذِكۡرً۬ا

"Dia menjawab: Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu."

Diringkaskan cerita kedua-dua nabi di atas. Apabila mereka dalam pelayaran nabi Khidir a.s. merosakkan perahu yang mereka tumpangi lalu nabi Musa a.s. hairan dan terus bertanya kenapa kamu rosakkan perahu ini sedangkan pemiliknya bermurah hati menumpangkan kita. Nabi Khidir a.s. memperingatkan nabi Musa a.s bahawa syarat ingin mengikutinya dalam perjalanan tersebut ialah jangan bertanya apa-apa. Kemudian dalam perjalanan itu, apabila berjumpa dengan seorang kanak-kanak, nabi Khidir membunuh kanak-kanak tersebut lalu nabi Musa a.s. yang lupa akan syarat awal tadi terus bertanya kepada nabi Khidir a.s. kenapa membunuh kanak-kanak yang bersih tidak berdosa itu. Hal ini terus berlaku walaupon sudah diingatkan oleh nabi Khidir a.s. bahawa jangan bertanya jika ingin MENGIKUTInya namun nabi Musa a.s tetap bertanya apabila mereka berdua melalui sebuah perkampungan lalu mereka meminta sedikit makanan kepada penduduk di kampung tersebut akan tetapi permintaan mereka tidak dilayan. Apabila nabi Khidir a.s. ternampak sebuah tembok yang hampir runtuh di kampung tersebut nabi Khidir a.s terus membantu mengukuhkan tembok tersebut tanpa meminta apa-apa ganjaran dan nabi Musa a.s. tetap terus bertanya. Maka berpisahlah dua sahabat ini kerana tidak mematuhi syarat persahabatan supaya jangan banyak bertanya.

Perahu yang dipecahkan oleh nabi Khidir a.s. adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Nabi khidir a.s. mencacatkan perahu tersebut kerana kemudiannya akan datang seorang raja untuk merampas perahu-perahu yang tidak cacat. Kanak-kanak tersebut pula, ibubapanya adalah orang beriman dan kanak-kanak tersebut akan mempengaruhi ibubapanya melakukan perbuatan zalim dan kufur. Manakala tembok yang dibina dan diperkukuhkan oleh nabi Khidir a.s. itu ada di bawahnya harta milik dua orang anak yatim dan ayah mereka adalah orang-orang soleh. Allah mentakdirkan mereka sendiri yang akan mendapat harta-harta itu apabila sudah cukup umur. Lalu nabi Khidir a.s. menegaskan baginda tidak melakukan sesuatu perkara menurut kehendak akal fikirannya melainkan ketentuan Allah jua.


Rabu, 13 Julai 2011

Wasiat Takwa

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah dapat ana meneruskan lagi penulisan di sini bagi dikongsi bersama pembaca-pembaca setia. selawat dan salam atas junjungan nabi s.a.w. penghulu segala kejadian seperti mafhum hadis Qudsi;

"Aku(Allah) jadikan sekalian alam ini kerana engkau ya Muhammad dan Aku(Allah) jadikan engkau untuk Aku(Allah)"

Apabila anak Adam sampai had akil baligh, perempuan 9 tahun atau datang tanda baligh dan lelaki 15 tahun atau datang tanda baligh mengikut Mazhab Syafie Sunat Muakkad(sangat dituntut) memperbaharui ucapan dua kalimah syahadah bagi memfardhukan agama Islam atas makna sekaliannya dan juzuk-juzuknya seumpama Rasulullah s.a.w. memfardhukan Islam atas dirinya di HATI, LIDAH dan ANGGOTA. Mulai saat itu berpindahlah tanggungjawab mukallaf(dipertanggungjawabkan agama) daripada ibu bapa kepada diri masing-masing sepertimana firman Allah;

وَأَلۡزَمَهُمۡ ڪَلِمَةَ ٱلتَّقۡوَىٰ وَكَانُوٓاْ أَحَقَّ بِہَا وَأَهۡلَهَا‌ۚ

Mafhumnya;

"Lazimkanlah kamu semua mewasiat akan KALIMAH TAKWA dan kamulah sebenar-benar orang yang sangat berhak dengan KALIMAH TAKWA itu lalu menjadi AHLI mewarisinya"

Si bapa yang mewarisi Kalimah Takwa iaitu syahadah perlu memanggil anak-anak yang sudah sampai had Taklif(dipertanggungjawabkan) Syarak lalu mewasiat. "Hei anakku, Fulan bin Fulan, pada ketika ini sudah tiba masanya, aku mewasiatkan kepadamu kalimah takwa iaitu dua kalimah syahadah bagi memfardhukan agama atas dirimu. Selepas selesai penyaksianmu maka berpindahlah tanggungjawab menanggung dosa dari pundak bapamu kepadamu sendiri dan ucapan itu bukanlah paksaan kerana tiada paksaan dalam beragama". Maka menyebutlah si bapa kemudian diikuti oleh si anak akan dua kalimah syahadah itu maka berpindahlah Mukallaf dari bapa kepada anak tersebut.

Namun amalan wasiat dengan kebenaran ini sudah lama dilupakan dalam masyarakat kita. Agama yang zahir adalah agama Baka atau diistilahkan ISLAM BAKA. Apabila ditanya mengenai agama mereka akan menjawab, "aku pon Islam JUGA". JUGA tersebut seolah-olah kita menumpang pada sesuatu dan tidak mewarisi dan memilik agama itu. Mengikut Mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki wasiat takwa atau wasiat dua kalimah syahadah ini WAJIB dan BUKAN SUNAT MUAKKAD seterusnya menunjukkan bahawa amalan ini amalan terpenting bagi melahirkan MODAL INSAN yang mempunyai Integriti dalam Akidah, Syariat dan Akhlak serta Jihad Diri dan Harta. Tidak mudah goyah kepada anasir-anasir luaran seterusnya menjamin pembentukkan nilai-nilai agama pada diri. InsyaAllah.

Khamis, 26 Mei 2011

Jarak Dosa dan Pengampunan

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi satu semangat untuk menulis walau penulisan-penulisan ana hanya sedikit jika nak dibandingkan nikmat masa yang Allah kurniakan kepada ana.

Pada kali ini suka ana membawakan sebuah kisah teladan yang mampu dijadikan panduan kepada kita kerana merekalah golongan yang wajib kita jadikan contoh ikutan bagi merebut cinta yang hakiki milik Allah dan Rasulullah s.a.w.

Fudhail Bin Iyad merupakan seorang ketua perompak. Kerjanya pada setiap hari adalah mengetuai anak-anak buahnya bagi merompak kafilah-kafilah pedagang yang melalui kawasan-kawasan strategik bagi melakukan operasi rompakan. Pada satu hari aktiviti rompakan dijalankan seperti biasa di satu kawasan yang sunyi. Satu rombongan kafilah pedagang habis ditawan oleh anak-anak buah Fudhail. Namun ketua kafilah yang masih bebas berjaya melarikan diri dan menemui seorang pemuda yang asyik melakukan solat sunat kepada Allah. Lalu ketua kafilah tersebut terus merayu meminta pertolongan kepada pemuda tersebut dengan linangan air mata ketakutan. Pemuda itu dengan tenang pergi kepada kumpulan perompak tersebut lalu berkata;

Pemuda Soleh: "Banyakkah hasil rompakan kita kali ini?"

Jawab perompak-perompak tersebut: "Agak banyak bos."

Terkejutlah ketua kafilah tersebut kerana orang soleh dijumpainya tadi adalah ketua kepada perampok-perampok tersebut. Lalu berlakulah dialog diantara ketua kafilah (KK) dan Fudhail bin Iyad (FI);

KK : "Kenapa tuan yang ku lihat sebentar tadi rukuk dan sujud kepada Allah tapi masih sanggup merompak dan melakukan perkara yang ditegah Allah?"

FI :" Aku Fudhail bin Iyad, perompak yang digeruni. Kenapa aku merompak dan dalam masa sama melakukan ibadah kepada Allah?'

KK :"Ya, kenapa kau mencampuri urusan baik dan jahat dalam satu masa yang sama?"

FI :"Aku terbaca sepotong ayat yg berbunyi;

وَءَاخَرُونَ ٱعۡتَرَفُواْ بِذُنُوبِہِمۡ خَلَطُواْ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk dengan bersangka baik mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

At-Taubah (102)


dan dengan ayat ini aku sentiasa memohon kepada Allah agar dikeluarkan aku dari lembah hina ini dan menjadi lebih dekat di sisiNya."

KK : "Inilah kali pertama aku berjumpa perompak aneh sebegini sepanjang hidupku, semoga Allah mengampuni kamu dan pengikut kamu sekiranya kamu membebaskan kami."

Dengan tiba-tiba hati Fudhail menjadi sayu dan dengan rasa bersalah yang amat sangat sehingga air mata membasahi kedua-dua pipinya. Dengan nada yang sayu beliau berkata.

" Wahai kafilah sekalian, hari ini kamu bersaksi bahawa aku Fudhail bin Iyad meninggalkan tabiat jahatku yang suka memeras dan merompak. Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah dan meninggalkan dengan jazam(keazaman) yang putus tidak akan mengulangi lagi perkara keji ini aku juga memohon maaf kepada kamu semua atas kekasaran aku dan pengikutku"

Maka selepas peristiwa itu terkenallah di kota ilmu Baghdad bahawa seorang perompak, Allah telah mengangkat menjadi wali dengan nama Syeikh Fudhail bin Iyad yang harum semerbak hingga kini.

Sahabat-sahabat sekalian. Allah s.w.t. menguji kita dengan pelbagai ujian yang dinamakan Qadha. Ada manusia yang hanyut dengan ujian kenikmatan dan kesenangan dek kerana lupa REDHA dan BERSYUKUR. Ada manusia yang tenggelam dalam noda dan dosa dek kerana lupa REDHA dan TAUBAT dan ada manusia yang gelisah tidak tenteram hatinya dalam menempuhi musibah dek kerana hati yang tidak REDHA dan SABAR. Allah memberi ujian bukan bertujuan menzalimi manusia, melainkan Dia menguji mulut-mulut yang lancang mengaku beriman, mendambakan cinta Tuhan, adakah layak diberi pangkat dan jawatan di sisiNYa. Namun kita alpa, kita hanyut, kita tenggelam malah kita karam dalam ujian-ujian tersebut kerana meninggalkan Rahmat(kasih sayang) yang dibawa Muhammad s.a.w.

Allah menyeru dengan firmanNya;

صِبۡغَةَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬‌ۖ وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ

Celupan(Acuan) Allah (Nabi-nabi dan Rasul-rasul), dan siapakah lebih sempurna dari Celupan(Acuan) Allah (Nabi-nabi dan Rasul-rasul); dan kepadanyalah kami menyembah.

al-Baqarah (138)

وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

Dan bersegera, segera, segera masuk kepada pengampunan daripada Tuhan kamu dan Syurga yang luasnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi yang disediakan kepada orang yang bertakwa.

Ali Imran (133)

وَمَن يَعۡمَلۡ سُوٓءًا أَوۡ يَظۡلِمۡ نَفۡسَهُ ۥ ثُمَّ يَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا

Dan siapa yang melakukan suatu kejahatan atau menzalimi dirinya sendiri; kemudian dia memohon pengampunan kepada Allah nescaya didapatinya Allah maha Pengampun dan penuh kasih sayang.

An-Nisa (110)

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah wahai Muhammad; Wahai hamba-hambaku yang melampaui diri mereka dengan melakukan dosa, janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah; Sesungguhnya Allah mengampuni serta membersihkan segala, segala, segala dosa dan kesalahan; Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’

(Az-Zumar (53


Nasihat kepada saya terutamanya, tanya semula kepada diri kita, Kenapa masih menggunakan akal dan logik kepala, sedangkan Rasul sudah menyelesai seGALA-GALA. Kenapa kita harus tunggu dan leka sedangkan Allah menyeru SEGERA. Kenapa kita ragu-ragu pengampunan sedangkah sudah dijanjikan Tuhan.




Sabtu, 7 Mei 2011

Tahlil

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih menggerakkan jari-jemari ana menaip sesuatu bagi dikongsi bersama. Sebelum ana meneruskan penulisan, suka ana berkongsi bagaimana ana dapat tajuk di atas bagi dijadikan perbincangan. Tajuk di atas merupakan tajuk yang diusulkan oleh sahabat ana kerana pada pendapat beliau, Isu TAHLIL ini selalu diputar belitkan sesetengah pihak biadap bagi meracuni UMAT MELAYU di Nusantara. Ana memohon kemaafan atas kelemahan diri ana. Namun ilmu yang sedikit ini ingin ana kongsikan juga supaya jadi manfaat diri ini dan sahabat-sahabat semua.

Seperti yang sedia kita maklum, setiap HIZIB dan AURAD(jamak bagi wirid) yang sampai kepada kita mestilah mempunyai seorang penyusun yang diakui di dalam THABAQAT SUFIYYAH iaitu satu muafakat dalam kalangan ULAMA MUKTABAR memperakui kebenaran penyusun tersebut setelah melalui ujian-ujian tertentu bagi menentukan bahawa Penyusun tersebut adalah Aulia(Wali) Allah dan bukan Aulia Syaitan.

Hizib yang terkenal seperti Hizib Nasri, Hizib Bahri disusun oleh Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili, Hizib Nawawi pula disusun oleh Imam Nawawi, Selawat Quraniyyah, Selawat Fatih disusun oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani, Selawat Anwar disusun oleh Syeikh Ahmad Badawi dan banyak lagi nama-nama Aurad dan Hizib yang disusun oleh Ulama Muktabar yang sampai kepada kita hari ini.

Bagi Umat Melayu Nusantara, pada asalnya nama Ulama ini amat sinonim di mulut-mulut kaum tua dahulu kala. Akibat penjajahan British silibus pengajian Melayu Nusantara dirombak sehinggakan silibus Agama yang diajar di Sekolah(sekular) sudah tidak mampu membentuk Akhlak pelajar membuatkan namanya sudah jarang-jarang didengar. Syeikh Ahmad Khasasi al-Madani yang saya maksudkan itu adalah Ulama penyusun kepada zikir TAHLIL yang selalu kita baca bagi dihadiahkan kepada mereka yang dahulu meninggalkan kita bagi dijadikan amalan anak-anak soleh kepada kedua ibu bapa.

Selain Tahlil yang menjadi amalan Umat MELAYU NUSANTARA, aurad Madaniah yang masih diamalkan di masjid dan surau juga merupakan hasil susunan ulama yang saya maksudkan. Selain itu ayat 33 yang amat mujarabah juga merupakan hasil susunan Syeikh Ahmad Khasasi al-Madani.

Persoalan
yang timbul, dalam sebuah pusat pengajian yang besar terdapat seorang pengetua yang bertindak sebagai kuasa yang memantau kelancaran pentadbiran di pusat tersebut. Matematik tidak diajar hanya oleh seorang guru, namun ada sebuah bilik matematik yang menempatkan beberapa orang guru matematik. Kita ibaratkan guru matematik tersebut adalah Ulama Fekah. Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanafi dan Imam Hanbali.

Manakala
dihujung blok bangunan tersebut juga ada sebuah bilik Bahasa Arab yang menempatkan beberapa orang guru bahasa Arab yang mahir. Kita umpamakan ustaz-ustaz ini sebagai Ulama Sufi, Imam Abu Hasan Syazili, Imam Ahmad Khabir Rifai, Imam Ahmad Badawi, Imam Abi Madyan al-Maghribi dan Imam Ahmad Khasasi al-Madani.

Ahmad pula merupakan seorang pelajar yang lemah dalam Bahasa Arab. Kemudian tanpa dipimpin dan bertanya kepada mereka yang lebih senior terus melajukan kakinya ke bilik matematik. Dengan memberi salam dia terus bertanya; " Cikgu isim isyarah ni macam mana?". Cikgu matematik tersebut mungkin pernah belajar bahasa Arab jadi dijawabnya; " Saya boleh hurai masalah kamu, tapi lebih manis kalau kamu boleh rujuk masalah ini terus kepada ustaz dan ustazah di bilik Bahasa Arab". Namun bagi guru matematik yang tidak tahu bahasa Arab mesti terpinga-pinga dengan soalan Ahmad tersebut.

Kesimpulannya ada sesetengah pihak mengatakan Tahlil(Bahasa Arab) ini Imam Shafie(guru Matematik) melarang kita dari melakukannya. Jadi salah siapa kalau berlaku begini. Salah guru Matematik atau salah Ahmad yang tidak bertanya jalan ke bilik Bahasa Arab.

Bagi Masalah Fekah
-Jangan menggunakan Imam Bukhari dan Muslim untuk penghuraian. Kerana Mereka Ulama Hadis.
- Masalah Tauhid jangan jadikan Imam Shafie atau Maliki sebagai sandaran. Kerana beliau Ulama Fekah.
-Masalah aurad(wirid) WAHABI memang hilang punca dalam senarai ilmu mereka. Kerana mereka tidak mewarisi ilmu melainkan menceduk mengikut akal fikiran. Sedangkan Aurad perlukan sanad dalam Amalan.

Khamis, 28 April 2011

Suka Dipuji Sukar Memuji

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala PUJI hanya kembali kepada Allah, zat wajibal wujud yang terkaya Dia, setiap sesuatu daripadaNya kepadaNya. Selawat dan salam ke atas penghulu segala kejadian, Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruhNya yang tertinggi martabat di sisiNya. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan kepada ana bagi terus menulis sebagai bekalan di dunia dan akhirat kepada kita semua.

Pernah ana terbaca dalam satu artikel di akhbar mengenai "Suka dipuji Sukar memuji". Secara umumnya artikel tersebut memberi fokus kepada golongan wanita. Menurutnya lagi, golongan wanita adalah golongan yang "SUKA DIPUJI" jadi ramailah dalam kalangan wanita mengenakan perhiasan yang indah-indah supaya dipuji sebagai cantik, kemas, dan bergaya. Bukan menjadi suatu kesalahan apabila kita menampilkan identiti kemas, cantik dan bergaya tetapi apabila kita menampilkan bertujuan untuk DIPUJI adalah menjadi kesalahan.

Jadi di sini, ana cuba menumpukan segala PUJIAN itu diberikan selayaknya kepada yang berhak iaitu ALLAH, Tuhan pemilik segala PUJIAN. Bagaimana kita boleh mengalih pujian tersebut daripada kita hanya memuji kosong kepada MEMUJI yang Allah beli dengan Syurga. Sesuai dengan Firman Allah Mafhumnya;

"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman diri-diri mereka dan harta benda mereka dengan membayar mereka ganjaran SYURGA"

Bagi menjual diri dan harta kita kepada Allah, wajib bagi kita memuji sesuatu dengan mengetahui MAKSUD, JENIS dan RUKUN bagi pujian tersebut.

Maksud Pujian

Perbuatan pada memberitahu bagi membesarkan Pemberi(Allah) nikmat kerana kita merasai nikmat tersebut atau orang lain merasainya juga, melalui perbuatan, perkataan dan niat hati.

Jenis Pujian
  1. Qadim(Allah) memuji Qadim(Allah)
  2. Qadim(Allah) memuji Hadis(Makhluk)
  3. Hadis(Makhluk) memuji Qadim(Allah)
  4. Hadis(Makhluk) memuji Hadis(Makhluk)
Rukun Pujian
  1. Hamid (si pemuji)
  2. Mahmud (penerima pujian)
  3. Mahmudu bihi (Sifat yang dipuji)
  4. Mahmudun a'laihi (nikmat kepada kita)
  5. Lafaz Pujian
Selamat beramal dengan maklumat ini. Semoga setiap amalan kita termasuk memuji dibeli Allah dengan SYURGA. InsyaAllah.



Khamis, 14 April 2011

Kita Selalu Hairan

Assalamualaikum w.b.t.

"Kita Selalu Hairan" merupakan tajuk bagi entri ana kali ini. Selepas melawat beberapa blog dan membincangkan topik yang sama dengan sahabat-sahabat dunia sebenar, ana mengambil tajuk ini sebagai perbincangan bersama kali ini. InsyaAllah.

"Kenapa aku yang beriman namun mereka-mereka di atas yang kufur menjadi KAYA." Mungkin itu merupakan persoalan yang selalu bermain di minda peniaga-peniaga Muslim. Pelbagai aktiviti perniagaan dijalankan namun selalu menemui kebuntuan. Banyak projek terbengkalai "Pending" dari projek-projek yang lancar.



Bagi minda pelajar pula, selalu pertanyaan ini bermain-main di fikiran. "kenapa Amoi ni pulak yang dapat anugerah? mengucap pon tak pernah apatah lagi solat." Bagi menyedapkan hati, kita kadang-kadang bermonolog sendirian. "Siapa yang usaha lebih pasti Allah memberi kejayaan. Mungkin si Amoi tu usaha lebih. Jadi aku mesti lebih berusaha."

Tidak menjadi kesalahan kita bermonolog sebegitu rupa atas dasar memotivasikan diri. Siapa yang lebih berhak memotivasikan diri kita selain dari kita. Namun persoalannya, bagaimanakah sifat Rahman(pemurah) dan sifat Rahim(penyayang) Allah, apakah yang dimaksudkan sebagai Asbab dan Tajrid, dan bagaimana pula istidraj, karamah dan maunah?

Allah bersifat dengan Ar-Rahman iaitu pemurah kepada seluruh hamba-hambaNya tidak kira beriman, fasik, munafik atau kafir. Sifat Ar-Rahman Allah itu diberikan atas dasar Asbab(usaha) yang kita lakukan. Tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit Allah melayan serupa pada bab Ar-RahmanNya. Apabila kena pada ASBABNYA(usaha) pasti berhasil sesuatu kerja. Bukan semua Cina dan India pandai. Bagi yang rajin ada kelebihan dalam pelajaran dan bagi yang malas belajar sama sahaja tidak kira bangsa. Allah Ar-Rahman dan memberi dengan ASBAB(usaha).

Kemudian Ar-Rahim Allah ini khusus dan disediakan hanya kepada orang-orang beriman di dalam negeri AKHIRAT atau yang sudah melepasi Barzah. Mungkin di sini memerlukan kupasan lebih mendalam, harap para pembaca yang ingin memahami sila rujuk kepada mereka-mereka yang ahli. Namun bagi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta tabiin mereka sudah memperolehi RAHIM atau Tajrid Allah sejak di dunia lagi. Ana juga bercita-cita seperti ini, namun kita hamba yang hanya merancang dan Allah Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Bagi kita orang yang beriman kita wajib meyakini bahawa segala sesuatu kurniaan Allah itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti IRHAS, MUKJIZAT, KARAMAH, MAUNAH, ISTIDRAJ, IHANAH, SYAQWAZAH, dan SIHIR. Istilah-istilah ini perlu didalami lebih lagi namun bagi kali ini cukuplah ana menjelaskan istilah ISTIDRAJ dan MAUNAH. ISTIDRAJ ini apabila dibahaskan secara pengajian Pondok membawa maksud suatu kurniaan dari Allah kepada hambaNya dengan bertujuan menambah lagi kelalaian dan kealpaan. Seperti seorang penternak ayam memberi makan kepada ayamnya dengan bertujuan menangkap dan menyembelih. Maunah pula satu istilah yang digunakan bagi menunjukkan makbul doa oleh Allah dengan membawa kebaikan kepada hambaNya dengan berkat Nabi-Nabi dan Wali-Wali yang lebih hampir di sisi Allah.

Kadang-kadang manusia melihat suatu kurniaan Allah itu merupakan keajaiban seperti yang dikurniakan kekayaan kepada Tokoh-tokoh billionaire di atas. Kita selalu lupa bahawa Allah yang sebenar Maha Kaya yang patut kita taa'jub dan patut kita mendambakan cintaNya. Kurniaan Allah kepada puak-puak kafir, munafik dan fasik tidak lebih merupakan satu jerat dari Allah bagi melalaikan mereka. Mahukah kita kekayaan meliputi langit dan bumi seperti Namrud, Qarun dan Bakhtanazar namun mati dalam kemurkaan? atau kita cukup seperti Saidina Ali yang fakir dalam rupa dunia namun kaya di sisiNya. Kita juga boleh berdoa supaya kaya seperti Sulaiman a.s., Iskandar Zulkarnain atau Abdul Rahman bin Auf namun kita bukan Tuhan nak memakbulkan doa kita sendiri.

Ada satu kisah, apabila makbulnya doa Bal'am Ba'urak supaya disesatkan nabi Allah Musa di Lembah Sinai, setiap hari Musa a.s. berdoa supaya Allah mengeluarkan dia dan Bani Israel dari sesat yang lama itu. Selepas 40 tahun kemudian baru Allah memakbulkan doanya kemudian Musa a.s. dan Bani Israel berjaya menawan Baitul Maqdis. Musa a.s. merupakan Nabi, lagi Rasul, lagi Ulul Azmi, lagi Kalamullah. Allah menangguhkan makbul doa selama 40 tahun. Inikan pula kita manusia biasa. Kenapa kita manusia biasa gopoh dan tidak sabar dengan janji-janji Allah.

Nasihat ana untuk diri ana dan sahabat-sahabat semua. Kita wajib menerima ketentuan Allah dan redha denganNya.

Apabila ditimpa Musibah,
Redha dan sabarlah.
Jika melakukan dosa,
Redha dan Taubat nasuha.
Suka dengan nikmat dariNya,
Redha dan syukur kepadaNya.




Sabtu, 9 April 2011

Adam Hawa

Assalamualaikum w.b.t.

Pada kali ini ana memilih tajuk yang sinonim dengan kita, iaitu nama datuk dan nenek sekalian manusia. Sebelum meneruskan bacaan ana mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat semua dengan diberikan kesihatan dan rezeki melimpah ruah insyaAllah. Tajuk ini dipilih setelah bertanya kepada sahabat ana, mungkin kerana fikiran ana buntu dengan isu-isu semasa remaja. Kata beliau, "Cuba selidik sejarah, bagaimana lelaki boleh berkawan dengan perempuan tanpa ada batas-batas pergaulan". Dari kata-kata beliau ana memutuskan menulis "post" ini bermula dari permulaan segala sejarah iaitu ADAM dan HAWA sehingga sampai kepada kita.

Mungkin semua sudah tahu asal kejadian Adam tersebut dari tanah dan asal kejadian Hawa dari rusuk kiri Adam iaitu sisi kiri Adam a.s. setelah baginda meminta kepada Allah dikurniakan seorang peneman kepada Baginda di Syurga. Allah dengan QudrahNya menjadikan Hawa kepada Adam sebagai peneman. Bermula dari situ Adam dan Hawa tidak boleh berpisah. Adam perlukan Hawa sebagai peneman dan Hawa perlukan Adam sebagai pembimbing dan perlindungan. Jika diukur kecantikan Hawa kepada Adam tersebut sahabat semua boleh lihat kuku yang masih tinggal kepada kita. Itulah rupa kulit Hawa betapa cantik dan indahnya rupa yang Allah kurnia.

Ringkaskan cerita, Adam dan Hawa ditendang dari Syurga akibat termakan Hasutan AZAZIL (nama bagi Iblis) supaya memakan Buah KHULDI. Adam terdampar di Serindib(kata Kitab) iaitu di Sri Lanka manakala Hawa di Jeddah (Arab Saudi). Pada waktu dan ketika itu Adam tidak langsung terus mencari Hawa kerana tidak mahu ditipu kali kedua. Cukuplah sekali sahaja Azazil berjaya memperdaya baginda. Adam a.s menangis menyesali perbuatan memakan Khuldi itu selama 300 tahun sehingga bumi Sri Lanka dan India jadi Bumi Rempah Ratus kerana mengalirnya air mata Adam a.s. sehingga menjadi subur. menurut kitab "Kasyful Ghaibiah" jasad Adam a.s. adalah setinggi 60 hasta dan lebar 7 hasta Hasyimi. Begitulah saiz manusia beriman apabila dibangkitkan kelak dalam Syurga.

Balik kepada topik asal, Adam(lelaki) tidak terburu-buru mencari Hawa(perempuan) setelah diturunkan di tempat yang rendah iaitu bumi, melainkan Adam a.s. mencari satu kaedah atau formula bagi memperolehi kehidupan bahagia sehingga sampai ajal. Pertama Adam mengaku salah, walaupun nabi-nabi tidak pernah melakukan kesalahan namun sebagai formula manusia nabi Muhammad s.a.w. juga bertaubat dan mengaku salah sehingga 70 kali sehari mengikut riwayat walaupun baginda MAKSUM daripada dosa. Kedua, Semak selidik diri. Sebelum melakukan sesuatu anak keturunan Adam a.s. wajib menyemak diri sendiri dan menyelidiki adakah perbuatan atau diri manusia itu di bawah pengaruh Azazil iaitu musuh manusia yang nyata. Ketiga menyesali dahulu setiap perbuatan, kerana dengan menyesal manusia tidak akan berada dalam keadaan rugi seperti pepatah Melayu "sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya". Keempat Segera bertaubat, taubat merupakan satu bentuk Allah s.w.t mempamerkan lautan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Taubat juga merupakan suatu kaedah manusia belajar dari kesilapan yang lalu dan kesilapan itu Allah ubah menjadi kebaikan yang kekal melalui proses pembelajaran tersebut. Kelima, Tidak Putus Asa Rahmat Allah, kerana lautan kasih sayang rahmat Allah itu Maha Luas sehinggakan seorang pelacur yang bertaubat kepada Allah masih boleh melahirkan zuriat yang menjadi Wali (setengah riwayat menjadi nabi) dari rahim yang pada asalnya begitu jijik.

Kemudian tugas Adam a.s. ini diteruskan oleh Nabi Idris a.s. dan masih berjalan dengan sempurna. Apabila lelaki pembimbing iaitu Idris a.s. diangkat ke Syurga maka mulalah manusia meraba-raba kemudian Mahlil seorang nabi yang soleh dan kacak rupanya dibuat patung lalu disembah. Apabila sampai kepada Nuh, pada ketika ini kaum Hawa mengkhianati kaum Adam. Isteri Nuh a.s. tidak beriman kepada Allah maka Allah s.w.t menegur Nuh a.s. yang masih sayang kepada isterinya dengan berkata "Hidayah itu milik mutlak Allah dan diberikan kepada mereka-mereka yang mahu sahaja". Lalu Nuh a.s dengan rela dan redha meninggalkan isterinya tenggelam bersama kaum derhaka. Kali pertama kaum Hawa mengkhianati kaum Adam angkara hasutan Iblis laknatullah. Manusia-manusia Nubuwwah(nabi) terus membimbing kaum Hawa sehingga ramai diangkat menjadi Wali (pangkat tertinggi seorang Hawa di sisi Allah) seperti Hajar dan Sarah dilatih Ibrahim a.s., Asiah dilatih Musa a.s., Maryam dibimbing Zakaria a.s., Khadijah dan Fatimah dilatih Rasulullah sehingga jadi kuat dan kental jiwa srikandi Islam tersebut. Tugas Nubuwwah(nabi) melatih kaum Adam dan Hawa tamat, dan disambung Wilayah(wali) yang Warasah(pewaris) membimbing anak-anak Adam. Bermula Hasan Basri membimbing Rabiah Adawiyyah sehingga Makam(kedudukan) Rabiah Adawiyyah lebih tinggi dari Hasan al-Basri. Tugas ini disambung dan terus disambung sehingga akhir zaman InsyaAllah.

Amanah mula dikhianati oleh anak cucu Adam dan Hawa apabila kerja-kerja mendidik ini tidak diwarisi. Ilmu-ilmu diambil dan dicedok terus dari kitab-kitab. Penjajah mengubah silibus Allah dan mengajar silibus Orientalis. Akidah kebanyakkannya dibuang dan sedikit sahaja yang ditinggal, Syariat dilacur dari sistem kehakiman hingga pentadbiran. Pada sangkaan manusia syariat hanya perlu dalam bab Nikah kahwin dan ibadah sahaja. Akhlak dibuang hampir keseluruhan dan hanya tinggal yang ringan-ringan sahaja. Perbahasan dibiarkan berleluasa sehingga orang jahil bijak mengeluarkan fatwa.

Tanda-tanda penghujung zaman kian jelas terpampang, cuma yang tinggal manusia yang kebanyakkannya tidak lagi dibimbing oleh cahaya Wilayah dan Nubuwwah. Meraba-raba dalam gelap mahupun cerah.

Adam itu pembimbing Hawa,
Selagi diguna formula manusia,
Azazil itu musuh yang nyata,
setiap kata semuanya dusta.




Jumaat, 8 April 2011

DUNIA SEMAKIN NAZAK

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama ana tidak menjenguk ke laman Blog milik ana ini, maaf atas kekurangan diri sendiri yang tidak mampu istiqamah dalam berkongsi ilmu. Harapan ana, semua pembaca kekal dalam kesihatan yang sempurna, dan masih berterusan istiqamah di jalan Allah. InsyaAllah.

Allah s.w.t Maha Berkuasa. Shuluhi Qadim dan Tanjizi Hadis berlaku serentak membuatkan jari jemari ana menekan papan "keyboard" menaip apa-apa yang dirasakan wajib dikongsi berdasarkan tajuk yang diberi. Ana dahulukan ucapan terima kasih kepada Sahabat yang menyumbangkan idea untuk ana meneruskan penulisan di sini. Ana juga mendoakan sahabat-sahabat yang bersama beliau ke Jepun dikawal dan dipelihara oleh Allah sesuai dengan firmanNya:
وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيًّ۬ا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ نَصِيرً۬ا

" Cukuplah Allah sebagai Penjaga dan cukuplah Allah sebagai Penolong"

Dunia semakin nazak. Nazak ini adalah istilah yang digunakan kepada manusia yang menunggu saat Izrail datang mengambil nyawa. Begitulah dunia, yang semakin nazak menunggu Israfil meniup Sengkakala. Manusia dikejutkan dengan bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Jepun baru-baru ini, dan inilah sebab utama sahabat ana yang akan berangkat ke Jepun menyarankan agar topik ini dibincangkan. Semoga sama-sama mendapat manfaat. Jika diambil iktibar dengan kisah-kisah terdahulu, manusia bukan satu makhluk yang belajar dari bala bencana. Sebelum kejadian yang berlaku di Jepun, satu masa dahulu Allah s.w.t sudah mengazabkan Umat Nabi Nuh a.s. sehingga menenggelamkan bumi. Namun apabila sampai kepada Kaum A'd Umat Nabi Hud a.s. manusia sekali lagi alpa dan lalai kepada Allah dek kerana 700 tahun nikmat Allah kepada mereka. Tidak ada satu pon manusia yang bersin apatah lagi sakit dan demam. Sehinggakan generasi manusia ketika itu lupa akan istilah "MATI". Kemudian Allah datangkan Azab dengan angin "SHORSHOR" maka habis hancurlah umat Hud a.s. yang gagah dan membina perumahan dalam batu itu. Kemudian datang Umat Nabi Soleh a.s. Umat ini juga lupa, sehinggalah kepada kita dan kita masih juga lupa.

Mengikut sejarah, manusia tidak akan sesekali belajar dari bala bencana melainkan bencana tersebut membawa sedikit sahaja gerun dan takut dalam diri manusia dalam tempoh yang paling singkat. Dunia semakin Nazak, dan istilah ini bukan sahaja dipakai oleh mereka yang beriman dengan hari Akhirat, tetapi diguna pakai oleh semua ahli-ahli pemikir dari pelbagai agama sehinggakan ada teori kehancuran dunia pada tahun 2012. Ingatlah wahai sahabat-sahabat pembaca sekalian. Keinsafan yang hakiki, yang dituntut oleh Allah kepada manusia bukan didatangkan melalui akal fikiran. Namun Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. bagi dijadikan contoh ikutan teragung kepada kita. Walaupun saya berbahas panjang mengenai bala bencana yang sedang berlaku ini. Hanya sebesar zarah sahaja keinsafan yang akan timbul. Oleh itu saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat semua perkemaslah ilmu fardhu Ain, bermula ilmu TAUHID, kepada ilmu SYARIAT dan ilmu AKHLAK. Di sana baru berjumpa dengan kemanisan dan keinsafan yang hakiki. Sebab Allah itu "KANZAN MAKHFIAN" perbendaharaan yang tersembunyi, yang wajib kita kenali. Jika benar kamu beriman buktikan keimanan kamu. Itulah keadaan manusia rata-rata yang mengaku ISLAM, jika diuji dengan fardhu ain ramai yang tidak mampu menjawab. Dari Hukum Akal, kepada Rukun Syahadah apatah lagi perkara-perkara QAWADEH, AWARIDH dan QADHA. Bukan niat saya merendahkan saudara/ri namun katakanlah benar walau ia amat pahit, merupakan saranan dari rasul yang dicintai.

Jadilah Saidina Umar yang bengis pada rupa,
yang kasar pada kata,
namun bila dicurah air agama,
tunduk sayu dirinya.

Benarlah kata Tuan Minal dalam Aqidatun Najin, Manusia beriman dalam kalangan lelaki pada akhir zaman hanya 12000 orang sahaja dan beriman dalam kalangan perempuan hanya 7000 orang sahaja. Tepuk dada tanya diri sendiri. Dimanakah kedudukan aku. Allah tidak menentukan semua yang bekerjaya USTAZ itu beriman, namun Allah memilih pemilik hidayah itu bagi sesiapa sahaja yang mahu. Pada diri manusia itu wajib ada 5 formula nabi Adam a.s. ini;

  1. Mengaku Salah kepada Allah
  2. Semak selidik diri sendiri
  3. Menyesali salah-salah yang lalu
  4. Segera bertaubat
  5. Tidak berputus asa dengan rahmat Allah yang maha dalam tak terperi maha luas tak bertepi
Wallahua'lam

"KEINSAFAN HAKIKI BAGI MEREKA YANG MENGENALI ALLAH SAHAJA"
"DATANGKAN BURHAN(BUKTI) JIKA KAMU ORANG YANG BENAR"
"AMAL TANPA ILMU IBARAT ORANG YANG GILA"