Sabtu, 29 Januari 2011

Muslimah, Peranan dan Tanggungjawab

بِسمِ ٱللهِ ٱلرَّحمَـنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamualaikum w.b.t.

Pada kesempatan kali ini insyaAllah ana suka berkongsi dengan sahabat-sahabat satu tajuk yang tidak asing lagi dalam kalangan kita yang semakin meningkat dewasa. Tajuk ini dipilih bagi memberi seribu satu penjelasan kepada mereka yang memerlukan dan tidak menimbulkan perbahasan semula jika berlapang dada menerima.

Sabda Nabi s.a.w. mafhumnya;

“ Tiada patut sekali-kali jika seorang manusia itu sujud ia bagi manusia lain, jikalau patut sujud itu bagi seorang manusia nescaya aku (Nabi Muhammad s.a.w.) suruh akan perempuan itu bahawa sujud ia akan suaminya.”

Hadis dari Abu Hurairah r.a.

Daripada Hadis di atas, amat jelas kedudukan dan ketinggian suami atas isterinya. Namun rata-rata hari ini kita lihat golongan Hawa semacam kehilangan punca dan meraba-raba mencari tempat berpaut. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat ke-13;

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

Mafhumnya;

“Wahai manusia, sesungguhnya kami jadikan kamu semua dari kalangan lelaki dan perempuan dan kami menjadikan kamu bersuku-suku puak dan bangsa supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang lebih takwanya. Sesungguhnya Dialah Allah yang Maha mengetahui dan Maha Dalam PengetahuanNya.”

Menurut ayat di atas jelaslah kejadian Adam dan Hawa serta perbezaan atau khilaf yang terdapat dalam kejadian manusia merupakan satu rahmat (Kasih Sayang) Allah kepada hambaNya. Jika seseorang hamba itu dapat Taaruf (mengenali) sesama manusia lain mengikut kehendak Allah pasti banyak manfaat yang bakal diperolehi kelak.

Kemudian Allah berfirman lagi bagi menguatkan hubungan manusia sesama manusia dengan sepotong ayat ke-2 dalam surah al-Maedah;

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ

Mafhumnya;

“ Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan Takwa dan Jangan kamu Kompromi dalam dosa dan permusuhan.”

Permasalahan yang timbul mengenai hubungan atau persahabatan di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim diselesaikan dengan dua ayat tersebut. Cuba kita selongkar kisah-kisah terdahulu. Syeikh Hasan al-Basri merupakan sahabat kepada Saiyidatuna Rabiah Adawiyah, namun persahabatan mereka berkisar kepada tolong-menolong dalam kebajikan dan Takwa dan terbina sempadan dalam dosa dan permusuhan. Ayat di atas dikemukakan bukanlah sebagai penerangan kepada hadis tetapi memperjelaskan betapa pentingnya lelaki(Rijal) dalam kehidupan muslimah. Lelaki pertama yang dijadikan Allah ialah Adam a.s. manakala perempuan pertama dijadikan Allah ialah ibu manusia Siti Hawa dari rusuk kiri Adam a.s. Maka menjadi suatu yang maklum “Ashabul Yamin” (Pihak Kanan) sebagai mereka yang mendapat nikmat manakala “Ashabush Syimal” (Pihak Kiri) mereka yang mendapat Azab. Dan diketahui bahawa Adam (Lelaki) mempunyai 9 Akal 1 Nafsu manakala Hawa (Perempuan) 1 Akal 9 Nafsu. Dari situ kita dapat mengambil kesimpulan, di sisi Allah mereka yang bermujahadah (melatih) diri melakukan taat dan meninggalkan maksiat kemudian ada bimbingan murabbi namanya LELAKI (RIJAL), kerana berjaya menjadikan diri sebagai lelaki (9 Akal 1 Nafsu). Akal di sini bukan bermakna kecerdikan. Di sini kita dapat mengambil iktibar. Jika mahu dinilai sebagai lelaki (9 Akal 1 Nafsu) di sisi Allah, manusia lelaki dan perempuan wajib memainkan peranan masing-masing bagi menzahirkan patuh tunduk kepada Allah di tempat bernama Bumi.

Tugas muslimah menurut Hadis Nabi s.a.w. di atas adalah taat sepenuh taat kepada lelaki bernama suami. Malah hak suami ke atas isteri melebihi hak kedua ibubapa. Namun dewasa ini kita lihat perempuan rata-rata tampil berani memperjuangkan hak masing-masing sehingga tokoh ilmuan terpaksa akur dan senyap dalam menyatakan pendapat dan fatwa terutama bila melibatkan isu poligami. Kenapa boleh jadi sebegini sehingga timbul gejala suami takutkan isteri sedangkan hal itu amat dimurkai Allah. Isu poligami bagi lelaki tidak menjadi suatu yang seronok-suka. Bila kita mengimbau kisah Firaun dan Isterinya Asiah kita dapat lihat sikap lelaki. Asiah amat disayangi Firaun kerana Asiah adalah seorang manusia yang mujahadah diri menunaikan hak kepada suami. Firaun yang dikenali dengan kezaliman dan kekejaman tetap dilayan sempurna oleh Asiah. Tidak mengeluh melayan suaminya yang ditakdirkan Allah. Malah Firaun mengikut riwayat tidak gemar kepada perempuan lain kecuali Asiah. Itulah penangan seorang isteri kepada suami jika kena layanan dan ketaatan. Jika kita lihat junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w., baginda tidak berpoligami ketika bersama Siti Khadijah, malah ketika bersama Aishah isteri muda belia, baginda masih memuji Khadijah. Sepertimana maklum, Khadijah memberi zuriat kepada Nabi s.a.w. manakala Aishah tidak dapat memberi zuriat. Pelaburan Khadijah dalam perjuangan juga sukar dicari ganti. Kita lihat pula kepada Nabi Ibrahim Khalilullah a.s. Baginda menikahi Siti Sarah dan tidak dikurniakan zuriat barulah baginda menikahi Siti Hajar dan dikurniakan Nabi Ismail a.s. kemudian daripada itu barulah lahir Nabi Ishak a.s. dari zuriat Siti Sarah. Pengorbanan Siti Hajar apabila ditinggal di Makkah tempat kering kontang seharusnya jadi azimat kesabaran bagi muslimah. Jika dinilai melalui akal pemikiran ( Timbangan) nabi Ibrahim tidak berlaku adil dalam rumah tangga. Namun Redha Hajar kepada suaminya membuatkan Siti Hajar sabar dan tabah menjalani ujian di bumi kering kontang.

Melalui teladan di atas, keadilan dalam rumah tangga bukan secara mutlak terletak ke atas suami sahaja. Namun peranan dimainkan isteri amatlah besar dalam mengekalkan institusi rumah tangga tersebut.

Nasihat saya kepada sahabat muslimah “Jika tidak mahu dipoligami, jadilah seperti Asiah dan Khadijah. Jangan harapkan suami sebaik Muhammad s.a.w. jika sudah rasa diri semulia Asiah. Sedarlah Jodoh ditentukan Allah. Kehidupan abadi kita di syurga. Jika semulia Asiah dijodohkan dengan Firaun. Siapakah kita nak mempertikaikan ketentuanNya.”

Wassalam...

Isnin, 10 Januari 2011

JIHAD WARGA MELAYU


Berjihad ke jalan Allah dari kalangan manusia mukallaf itu adalah terdiri daripada mereka yang memiliki persediaan untuk menjual diri dan hartanya kepada Allah dan rasulNya nabi Muhammad s.a.w. dengan menerima agama Islam dan syariatnya secara talaqqi melalui talqin Dua Kalimah Syahadah dan pegang amal dua larian serentak (ilmu dan amalan Ruhani/Jasmani) segera menuju ke tempat tunai amanah Addin, lalu mujahadah diri menurut keadaan setempat mengawal, menjaga dan memelihara dengan baik segala kehendak nalurinya menurut acuan Allah bagi menyempurnakan agenda kehidupan di semua tempat dan masa sepertimana firman Allah surah al-Maidah ayat: 35

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱبۡتَغُوٓاْ إِلَيۡهِ ٱلۡوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُواْ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تُفۡلِحُونَ

Mafhumnya;

“ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan menjunjung perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dan berjihadlah pada jalan Allah kerana menegakkan agama Islam supaya beroleh kejayaan”

Pengajian asas bagi jihad ke jalan Allah itu dengan kefahaman diambil daripada iktibar yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan jelas dan terang serta berbetulan dengan dalil sebenar daripada al-Quran, Hadis dan Ijma’ Ulama Muktabar yang ahli pada babnya atau makna makni yang tersirat dan tersurat pada babnya (ahli-ahli yang berada dalam iman dan taat) iaitu mereka yang menyerah diri dan menurut perintah Allah serta mengaku menerima Hukum Taklifi yang lima (Hukum Syarak) menurut kaedah Fiqh dengan memaksa diri mendahulukan tiga yang wajib sebelum melaksanakna sesuatu yang wajib dan yang sunat menjadi tetamu kepada yang wajib.

Pertama: wajib memaksa diri menerima dan melaksanakan perintah Allah.

Kedua: wajib memaksa diri memelihara Hukum Allah.

Ketiga: wajib redha dengan Qada’ dan Qadar Allah.

Sebelum melaksanakan perintah sesuatu yang lain supaya nyata dan terang akan kaifiatnya sehingga lahir perenggan-perenggan, sempadan-sempadan yang jelas di dalam amalan mereka yang berada di dalam Iman dan Taat dengan mereka yang berada di dalam Kufur dan Maksiat, iaitu dengan erti kata yang lain mengikuti sepenuhnya Sunnah nabi Muhammad S.A.W dan menjauhi perkara bidaah sehingga lahir cita-cita yang teguh di hati, lidah dan anggotanya melazimi pada babnya dan menanggung beban sebagai khalifah Allah yang berusaha menuntut dengan harta kekayaan yang dikurnia oleh Allah Ta’ala kepadanya dengan tidak melakukan kerosakan di muka bumi ( iaitu terhindar diri dari segala bentuk provokasi kepentingan masing-masing melalui agenda sivik dan sivil) Firman Allah dalam Surah al-Qashas ayat: 77

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَٮٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَ‌ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَأَحۡسِن ڪَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَ‌ۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ

Mafhumnya;

“ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu, keperluan dan bekalanmu hari dunia dan berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Ketahuilah wahai saudara-saudara bahawa rezeki itu berada dalam jaminan Allah lalu iapun menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah dan tidak tamak melainkan kepadaNya, sepertimana firman Allah surah Hud ayat: 6

وَمَا مِن دَآبَّةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا وَيَعۡلَمُ مُسۡتَقَرَّهَا وَمُسۡتَوۡدَعَهَا‌ۚ كُلٌّ۬ فِى ڪِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬

Mafhumnya;

“ Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan, semuanya itu tersurat di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan)”

Yakni sekalian makhluk telah dijamin rezekinya oleh Allah Ta’ala dalam pada itu kita semua disuruh berusaha dan berikhtiar menurut SunnahNya (asbab) kerana langit tidak menurunkan hujan emas dan perak.

Di sinilah tempat kita mengambil pelajaran berjihad ke jalan Allah zahir mahupun batin keperluan melazimi babnya supaya tidak mardud (tidak dirasuk) tidak bersusah payah dengan ilmu dan amalan sunat yang banyak-banyak dan jauh-jauh, memadai memulakannya dengan menerima talkin ucapan Dua Kalimah Syahadah (Kalimah Takwa) yang disertai dengan niat memfardhukan agama Islam dan segala syariatnya atas makna sekaliannya dan juzuk-juzuknya ke atas diri Ruhani/Jasmani secara berhak kepada seorang guru mursyid (Yang mempunyai wasilah sumber ilmu dan amalan kehidupan yang tidak putus daripada nabi Muhammad s.a.w.) dan mengaku murid Sultan Aulia Saiyyid Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani serta membenar dan mengikuti akan dia sehingga seberapa banyak dosa dan kesalahan sekalipun pohon diterima menjadi murid baginya selama-lamanya.

Sesunguhnya inilah martabat tertinggi salasilah yang terkuat terlebih takut akan Allah Taala, pegangan yang teguh dengan mengaku murid Sultan Aulia Saiyyid Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani, Syaikhi, Syaikhon Wamurabbiyan sepertimana wasiatnya.

“ Bahawasanya manusia pertama yang ingin jalan dekat dan terunggul, terselamat serta mudah menanggung beban agama Islam dan menjadi hamba kepada Allah Ta’ala setiap masa berjalan, ialah Saidina Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah, kerana meminta kepada baginda nabi Muhammad s.a.w. “Talqin” kewajipan Kalimah Takwa diterima secara berhak sebelum dia memulakan sesuatu perkerjaan Agama.

Sebaliknya baginda tidak menjawab, baginda menunggu wahyu daripada Allah Ta’ala, maka datanglah Saidina Jibril a.s, kemudian dia “Talqin” akan Dua Kalimah Syahadah sebanyak tiga kali, kemudian baginda Rasulullah s.a.w mengikuti sebanyak tiga kali, kemudian baginda Rasulullah s.a.w. mendatangi para sahabatnya kemudian “Talqin” dia secara berjemaah. Maka para sahabat pun mengikutinya kemudian baginda nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

Mafhumnya;

“ Sesungguhnya telah kembali kita dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar.”