Ahad, 8 Ogos 2010

Shamsiah dan Qamariah

Ramadhan akan kunjung tiba tidak lama lagi. InsyaAllah pada rabu ini kita akan memulakan rutin tahunan kita sebagai muslim iaitu berpuasa pada Ramadhan. Banyak Fadhilat yang disebut rasulullah sepanjang Ramadhan yang boleh kita kecapi jika melaksanakan rukun Islam tersebut dengan sempurna lakonan Zahiriahnya dan bebas dari syirik dan dosa pada Ruhaninya.

Pada kali ini saya begitu tertarik membincangkan Shamsiah dan Qamariah. Dua gelaran ini tidak ada kena mengena dengan nama wanita walaupun kedua-dua kalimah diakhiri dengan "Ta' marbuthoh".

Shamsiah bermaksud Matahari dan gelaran ini diguna pakai oleh orang-orang dahulu bagi menggelar bulan-bulan yang terdapat dalam kalender Masihi. Manakala Qamariah membawa maksud Bulan dan diguna pakai orang-orang dahulu mengungkap bulan-bulan dalam Kalender Hijrah.

Menjadi satu topik perbualan hangat apabila ramai yang mengatakan bahawa Masihi atau Shamsiah ini adalah tahun Kristian atau Nasara dan Muslim tidak boleh menggunakannya dan perlu kembali segera kepada penggunaan Qamariah atau Tahun Hijrah.

Bagi ana pula, ana amat tertarik dengan sepotong ayat al-Quran yang berbunyi;

وَلَبِثُواْ فِى كَهۡفِهِمۡ ثَلَـٰثَ مِاْئَةٍ۬ سِنِينَ وَٱزۡدَادُواْ تِسۡعً۬ا

Mafhumnya;
"Dan mereka telah lelap di dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (Masihi) dan ditambah sembilan (Hijrah)"

Ayat ini menunjukkan secara terang penggunaan tahun Masihi dalam al-Quran dan kenapa kita sebagai Muslim yang mengaku berpegang teguh dengan Kitabullah menolak penggunaannya dan ada yang memfitnah tahun Masihi itu tahun kepunyaan Kristian sedangkan tahun Masihi digunakan nabi-nabi dan ahli kitab terdahulu.

Tahun Masihi atau Shamsiah digunakan bagi urusan dunia kita seperti pertanian, pelayaran dan sebagainya kerana Shamsiah bermaksud matahari, siang atau cerah. Pada waktu sianglah kita bersibuk-sibuk dengan urusan dunia. Pertukaran musim boleh dijadikan satu contoh ketepatan tahun Masihi dalam menentukan kitaran di bumi. Contoh-contoh lain seperti musim padi dan musim buah-buahan.

Tahun Hijrah atau Qamariah pula digunakan lebih kepada urusan-urasan ibadah dan akhirat. Contoh paling tepat apabila puasa sunat hari-hari Abyad (putih) tepat jatuh pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan-bulan Hijrah. Permulaan puasa dan raya juga ditentukan dengan menggunakan Bulan-bulan Hijrah. Hampir keseluruhan penggunaan tahun Hijrah lebih simbolik kepada urusan ibadah dan agama.

Kesimpulan dan pengajarannya kita sebagai muslim perlu lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu. Jangan mudah terpedaya dengan propaganda Kuffar.






1 ulasan: