Assalamualaikum w.b.t
TIADA YANG MUSTAHIL adalah tajuk yang ana rasa terpanggil untuk dikongsi bersama kerana keadaan salah seorang sahabat ana yang diuji dengan berat oleh Allah. Apakah kamu mengira kamu akan dilepaskan begitu sahaja berseronok suka di dunia selepas kamu mengaku beriman tanpa diuji. Tanya Allah kepada semua hambaNya terdiri dari manusia dan jin yang dipertanggungjawabkan dengan agama.
Allah menguji hamba-hambaNya kerana ingin menilai sejauh mana cinta dan kasih hambaNYa kepadaNya. Bukan ujian itu bertujuan merampas segala pemberianNya kepada kita. Segala yang diuji ketika proses ujian mampu dikembalikan kepada kita seperti sediakala sekiranya kita redha dan tabah menghadapi segala masalah disamping Allah tidak pernah Zalim dengan membiarkan kita BERSENDIRIAN melainkan pasti ada yang dihantarNya untuk MENEMAN.
Mari kita menyelak semula lembaran-lembaran sirah. Lelaki atau wanita yang hebat dilahirkan kemudian setelah mengharungi ujian dengan tabah. Mungkin keperitan yang dilalui golongan lelaki kerap kali diperdengarkan kepada kita namun kali ini suka ana kongsikan beberapa kisah Srikandi Islam yang berat diuji tapi TIADA YANG MUSTAHIL selepas ujian untuk memotivasikan wanita yang selalu dikatakan lemah apatah lagi lelaki yang kononnya mengaku gagah kadang-kadang tewas dalam medan ujian.
Siapakah Maryam binti Imran. Anak perempuan ini dilahirkan dari rahim seorang perempuan yang dikatakan MANDUL. Ibu Maryam merupakan saudara ipar kepada nabi Zakaria a.s yang juga tidak dikurniakan anak kerana masalah serupa iaitu isteri nabi Zakaria a.s yang mandul. Ibu Maryam bernazar kepada Allah, jika dikurniakan seorang anak kelak, dia akan menyerahkan anak itu supaya dididik menjadi hamba yang soleh. Seboleh-bolehnya suami isteri itu mengharapkan anak lelaki supaya mudah diasuh menjadi seorang Ulama dalam kalangan Bani Israel kelak. Keinginan yang membuak-buak ingin mendapat zuriat membuatkan ibu kepada Maryam ini cemburu sekiranya terlihat burung yang member makan anak-anaknya atau kucing yang menyusukan anak-anaknya. Pada satu ketika, pada waktu uban penuh dikepala, pada usia wanita sudah putus haid, Allah yang Maha Mendengar mengurniakan Isteri Imran yang dikatakan mandul mengandungkan seorang bayi yang masik belum pasti jantina. Ketika isterinya mengandung dan dalam seronok suka ingin menimang cahaya mata, Allah menguji lagi wanita tabah ibu kepada Maryam ini dengan memanggil pulang Imran ke sisiNya. Walau dalam keadaan sedih berduka, ketabahan banyak membantu Ibu Maryam sehingga selamat melahirkan bayi perempuan. Walau bagaimanapun hajat untuk menimang bayi lelaki tidak kesampaian namun nazar harus ditunaikan. Maka diserahkan Maryam untuk dijaga kepada Alim Ulama Bani Israel. Ramailah yang ingin menjaga dan mendidik Maryam sehingga terpaksa dilakukan undian. Akhirnya undian jatuh kepada Zakaria a.s iaitu bapa saudara Maryam sendiri. Zakaria yang tidak mempunyai anak amat menyayangi anak saudaranya Maryam. Ditempatkan Maryam di atas Loteng yang memerlukan tangga untuk sampai ke tempat tersebut dan tidak dibenarkan mana-mana lelaki berjumpa Maryam melainkan Nabi Zakaria a.s. Kisah ini diceritakan dalam Surah ali-Imran ayat 33-42 seperti mafhumnya di bawah;
“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Mereka berkembang-biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan). Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh. Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi. Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
Lahir Yahya a.s juga dari perempuan yang dikatakan Mandul dan Allah menguji setiap hambaNya dengan ujian yang berat-berat supaya hamba itu nyata kasih dan cinta kepada Allah apabila Tuhannya itu memberi jalan kelapangan setelah dadanya disempitkan dengan ujian. Nabi Ishak a.s. juga dilahirkan Allah melalui rahim siti Sarah yang dikatakan Mandul. Maka Allah menguji hambaNya dalam satu bentuk Ujian supaya kita kembali dan berdoa kepadaNya. Tidak perlu risau dan gentar kepada Ujian apabila sudah memilik cinta Penguji.
Begitu juga soal jodoh, Allah menzahirkan empat jenis wanita yang menjadi ketua kepada wanita-wanita lain di Syurga. Allah zahirkan Maryam binti Imran, seorang yang tidak berkahwin, tidak sempat berbakti kepada kedua ibu-bapanya secara zahir walaupun tetap berbakti sebagai anak solehah melalui doa. Maka Saiyyidah Maryam ini ketua kepada wanita yang tidak berkahwin seumur hidupnya. Kemudian Allah zahirkan Asiah isteri Firaun, walau dalam keperitan bersuamikan seorang lelaki yang zalim iaitu Firaun, Asiah sabar dalam melayan karenah suaminya dan redha dengan ketentuan Allah tersebut. Sehingga setiap permintaan Asiah ditunai segera oleh Firaun kerana kasih dan cinta kepada isteri yang taat berbakti tersebut. Maka jadilah Asiah ketua wanita solehah yang ketika di dunia dijodohkan dengan lelaki yang zalim sebagai suaminya. Kemudian Siti Khadijah Khuwailid. Contoh wanita yang dijodohkan dengan lelaki yang Soleh iaitu Rasulullah s.a.w . Walaupun bersuamikan dengan lelaki yang soleh, Khadijah tetap melalui tempoh getir diuji oleh Allah namun setiap ujian Allah janjikan kelepasan. Inilah ketua kepada Wanita syurga yang bersuami dengan lelaki yang soleh kemudian si isteri turut sama melatih diri menjadi Solehah. Bagi wanita yang mati ketika usia muda belia dan tidak sempat berkahwin, maka Nabi s.a.w menjadikan Fatimah az-Zahra ketua baginya di Syurga. Seorang anak solehah kepada Nabi s.a.w yang taat dan berbakti tanpa belah bahagi kepada bapanya yang terkenal dengan keperitan menempuhi pelbagai ujian dalam menyebarkan dakwah Islam. Hanya empat golongan ini sahaja ujian Allah kepada wanita mengenai jodoh mereka dan harungilah dengan tabah dengan menjadikan contoh-contoh yang terpelihara daripada dosa di atas sebagai teladan dalam melaksanakan urusan kita di dunia.
Kembali semula kepada TIADA YANG MUSTAHIL. Allah menguji kita sebagai hamba dalam pelbagai bentuk. Mahu atau tidak kita terpaksa atau rela menghadapi ujian tersebut. Jika dalam keadaan terpaksa maka sia-sia ujian tersebut dan tidak memperoleh apa-apa. Jika kita rela, iaitu redha dengan ujian tersebut, badan Nabi Ayub a.s yang hanya tinggal otak dan hati Allah kembalikan dalam keadaan asal. Sham’un al-Ghazi dikurniakan sekejip mata selepas redha dengan ketentuan. TIADA YANG MUSTAHIL di sisi Allah maka jadikan diri kita bersama Allah atau bersama dengan mereka yang bersama Allah. Pasti jua sampai kepada Allah.
Lailatul Qadar meninggalkan kita,
Pergi juga bulan Ramadhan,
Redha ujian oleh hamba,
Pasti untung empunya badan
Benar... Tiada Apa Yang Mustahil.. INsyaAllah.
BalasPadamSemoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada HambaNya yang berada dalam ujian.
Kepada Sahabat saudara, saya doakan agar dapat lalui semua ujian dengan redha dan tabah.
Maaf saudara, saya rasa ada sedikit khilaf dalam entry kali ni, mengenai Ibu Nabi IShak. Setahu saya ibunya Siti Sarah bukan Siti HAjar. Siti Hajar merupakan bonda kepada Naibi Ismail A.S.
Maaf jika saya mencelah disini.
Papepun saya percaya perkongsian saudara pada kali ini mencetus semangat kepada semua pembaca terutamanya 'Muslimah'.
Syukran dan Tahniah.
Ya betul..saya terkeliru..:)
BalasPadam