Sememangnya menjadi kehendak semula jadi naluri manusia berusaha menuntut keperkasaan bagi mendapatkan kelebihan dalam ilmu dan amal sama ada dibangsakan kepada dunia mahupun akhirat. Menjadi kelaziman dalam kehidupan manusia tanpa mengira tempat dan zaman, usaha dan perjuangan ke arah keperkasaan untuk diri sendiri mahupun satu organisasi sama ada keluarga atau kumpulan yang membawa sesuatu fahaman sudah menjadi teras dalam kehidupan.Pada zaman ini, perkembangan sains dan teknologi maklumat yang meliputi keperluan manusia seperti pertanian, ketenteraan dan lain-lain timbul hasil daripada usaha zahir manusia ke arah keperkasaan. dalam bidang ketenteraan semua negara di dunia berlumba-lumba mencipta, membuat atau membeli senjata-senjata canggih sebagai sumbeer kekuatan mereka.Negara yang berupaya memperolehi senjata nuklear dengan sendirinya mencapai status yang dihormati oleh negara-negara lain.
Diselang-selangi usaha-usaha berbentuk zahir, manusia sering mengambil kaedah-kaedah bukan zahiriah untuk memperolehi perkara-perkara yang mencarik adat bagi menyelesaikan masalah atau menuanaikan sesuatu hajat. Perkara mencarik adat adalah sesuatu yang terkeluar dari logik akal, yang mana ianya berlaku bukan dari sumber yang zahiriah tetapi dari sumber yang ghaib (tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak dapat dicakupi oleh pemikiran biasa).
Masyarakat kita juga tidak ketinggalan dalam ilmu dan amal bukan zahiriah yang menjadi sumber kepada perkara-perkara yang mencarik adat dalam menuntut keperkasaan , terutama sekali dalam perubatan tradisional, pertahanan diri dan wirid-wirid yang membicarakan tentang ketauhidan seseorang terhadap Allah (membicarakan tauhid Zat, sifat dan Af'al Allah).
Sebahagian daripada ilmu dan amal perubatan tradisional, selain daripada menggunakan kaedah zahir seperti herba melibatkan penzahiran perkara yang mencarik adat, contohnya pembedahan "batin". Begitu juga dalam pertahanan diri, selain daripada latihan jasmani, terdapat juga kaedah kerohanian untuk menzahirkan kekuatan, ketangkasan, kekebalan dan lain-lain. Dalam ilmu ketuhanan pula, seseorang menunutut "makrifah", kasyaf, karamah atau seumpamanya.
Terdapat banyak kekeliruan mengenai isu perkara-perkara yang mencarik adat ini, sama ada ia dibenarkan atau tidak dari segi hukum syarak. Berikut adalah beberapa contoh yang timbul:-
- Orang yang mendakwa bahawa semua ilmu dan amal adalah dari Allah dan hajat yang dihasilkan juga daripada Allah, maka atas dasar ini pengamalnya menganggap semua ilmu dan amal harus kesemuanya asalkan bersesuaian dengan keperluan.
- Ilmu dan amal yang menggunakan jampian dan ayat-ayat Al-Quran.
Adalah menjadi suatu gejala yang besar bagi umat Islam di mana kebanyakannya secara sedar atau tidak sedar telah memansuhkan tiga perkara yang menjadi dasar agama Islam dalam ilmu dan amal mereka iaitu akidah, pengorbanan diri dan pengorbanan harta benda maka yang tinggal pada mereka adalah syariat dan akhlak yang mereka amalkan secar ala kadar bagi menunjukkan diri mereka sebagai muslim.
Hampir kesemua negara Islam di dunia pernah dijajah kuasa-kuasa Kristian Sekular yang memain peranan besar bersama tokoh-tokoh tempatan memansuhkan tiga dasar agama Islam tersebut dan sekali gus melemahkan umat Islam supaya mudah dikawal dan ditadbir. Dari kaca mata agama Islam mereka-mereka ini telah terjebak dalam murtad dan munafik walaupun mereka mempamerkan kehebatan luar biasa dengan membaca ayat-ayat Al-quran, selawat dan lain-lain dan menonjolkan mereka sebagai lebai, haji, ustaz, Tok Guru atau Ulama.
Memang semua kejadian dari Allah, segala yang baik dan segala yang buruk adalah kejadianNya tetapi Allah telah menurunkan syariat agar manusia memilih yang baik dan meninggalkan yang jahat berdasarkan hukum taklif yang lima iaitu Wajib, Haram, Makruh, Sunat dan Harus dan tiap-tiap satu hukum tersebut pula ditarjihkan oleh lima hukum wadhoi iaitu syarat, Sebab, mani', Sah dan Batal sebelum boleh dilaksanakan.
Dalam tulisan ini, penulis akan membincangkan kedudukan perkara-perkara yang mencarik adat dan perhubungannya dengan akidah, syariat dan akhlak serta pengorbanan diri dan pengorbanan harta benda umat Islam. dalam isu ini, satu perbincangan ringkas mengenai kategori perkara-perkara yang mencarik adat akan dipersembahkan bagi tatapan pembaca.
Ada pun perkara mencarik adat terbahagi kepada empat yang dipuji dan empat yang dikeji. empat yang terpuji ialah yang zahir pada golongan iman dan taat.:-
- IRHAS
- MUKJIZAT
- KARAMAH
- MA'WANAH
mencarik adat yang terkeji pula mempunyai hubung kait dengan pemujaan yang ditumpukan sebagai penyembahan atau penghormatan sebagai syarat mekbul hajat. Ia dikenali sebagai:-
- ISTIDRAJ
- SIHIR
- IHANAH
- SYA'WAZAH
Keempat-empat ini zahir pada golongan kufur dan maksiat yang terdiri daripada orang-orang fasik, zalim, munafik, murtad dan kafir. Jelas bahawa penzahiran mencarik adat bergantung kepada keadaan manusia pula bergantung kepada ilmu dan amalnya sama ada berada dalam tauhid uluhiyah dan tauhid rububiyah bagi mendapat keredhoan Allah dan tiada berada dalam syirik uluhiyah dan syirik rububiyah yang dimurkai Allah.
Manusia pada keseluruhannya boleh berada dalam salah satu dari dua keadaan, iaitu tauhid uluhiyah dan tauhid rububiyah atau syirik uluhiyah dan syirik rububiyah terhadap Allah. Tauhid bermaksud mempunyai "jazam yang putus" terhadap ketuhanannya Allah dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. "Jazam yang putus" bermaksud telah mengambil keputusan muktamad sehingga timbul keyakinan kukuh pada diri, tiada lagi syak, zhon atau waham dan tanpa boleh diubah-ubah lagi, walau dalam apa keadaan sekalipun.
Syirik pula ertinya menyengutukan atau mencampur aduk pembulatan hati, anggota dan lidah tentang Allah dan rukun Iman yang enam, dalam ilmu akidah, syirik bermaksud menyengutukan perbuatan, sifat atau zat Allah dengan sesuatu selain daripada Allah.
Dalam erti kata yang lain, syirik adalah menyamakan Allah dengan sesuatu sama ada pada ZatNya, SifatNya, PerbuatanNya atau menerima bercampur aduk kefahaman ketuhananNya Allah dan rukun iman yang enam.
Yang tercetus dari tauhid adalah akidah, iaitu pegangan kukuh yang tidak boleh dirombak rungkai hasil daripada keputusan muktamad yang telah dibuat sama ada pada lidah, anggota dan hati seseorang tentang ketuhananNya Allah dan rukun iman yang enam.
Bagi setiap manusia terdapat dua hadap atau penumpuan, iaitu hadap hadapan dan hadap diri. Bagi orang-orang soleh, hadap hadapan dan hadap diri mereka adalah semata-mata kepada Allah dalam ubudiyah dan memohon pertolongan dalam ilmu dan amal. (Ukuran buruk dan baik yang dihisab dosa atau pahala dikira melalui penumpuan tersebut) dosa dan pahala dikira melaluinya, dan begitu juga kufur dan maksiat.
Hadap diri adalah kanan, kiri, depan, belakang, atas, bawah dan dalam, sesuai dengan manusia yang mempunyai dimensi menghadapkan diri kepada Allah yang tanpa dimensi dalam ubudiyah dan memohon pertolongan.
Syirik berlaku apabila seseorang itu menghadapkan hadapan dan hadap hatinya kepada benda atau separuh kepada benda dalam ubudiyah dan memohon pertolongan. Golongan ini dipanggil golongan kufur dan maksiat. Bagi orang kafir hadap hadapan dan hadap diri mereka semata-mata kepda benda di mana ubudiyah dan memohon pertolongan mereka semata-mata kepada benda.
Akidah Islam di zaman Rasulallah, Para Sahabat, Tabiin dan Tabi' Tabiin sehingga ke kurun kelima hijrah dipanggil Akidah Salaf. Mereka-mereka yang berakidah salaf tidak menghuraikan isu-isu ketuhanan menggunakan akal fikiran mereka, malah mengetahui secara terus dalam erti kata " kami dengar dan kami patuh".
Setelah pemerintahan Islam berkembang, tamadun intelek sekaligus berkembang dan pengaruh pemikiran daripada budaya-budaya jajahan Islam menyerap masuk ke dalam fahaman para ulama. sehingga pada kurun kelima Hijrah timbul berbagai pendapat ulama yang memperkatakan bab akidah dalam suasana pendebatan yang hebat. Daripada berbagai ulama Akidah, dua aliran fahaman akidah yang serupa dengan fahaman Salaf, iaitu aliran Abu Mansur Al maturidi dan Abu Hassan As Syaari, yang menjadi dua mazhab akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diputuskan dan diijmakkan oleh seluruh ulama akidah pada kurun kelima hingga Kiamat dipanggil akidah khalaf.
Seperti yyang telah dinyatakan di atas, Tauhid terbahagi kepada dua bahagian iaitu tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah dan begitu juga syirik.
Tauhid Rububiyah iaitu Tauhid yang meyakini bahawa hanya Allah s.w.t menjadikan sekalian alam atau Al-Kaun yang memberi erti semua kejadian daripada Allah dan bersifat baharu, iaitu ada permulaannya. Ada sebahagian daripada Al-Kaun yang ada permulaan dan ada kesudahannya dan ada juga yang ada permulaan tetapi tiada kesudahannya (baqa) seperti syurga, neraka dan roh manusia.
Orang-orang yang bertauhid Rububiyah meyakini alam ini dijadikan oleh Allah Yang Maha Esa Zat, Sifat dan PerbuatanNya. Malah Penganut-penganut kebanyakan kepercayaan seperti Yahudi, Nasrani, Majusi meyakini seperti demikian.
Mafhum firman Allah:-
"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka:- "siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Tentu mereka menjawab 'Allah'."
(surah Luqman : ayat 25)
Mafhum firman Allah:-
"katakanlah:- 'kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?' Mereka akan menjawab:- 'kepunyaan Allah." Katakanlah:- "maka adakah kamu tidak ingat?"
(surah Al-Mukminun: ayat 84-85)
Mereka memahami Allah sebagai "Rabb" bagi sekalian alam tetapi mereka tidak menyembah Allah dan tidak memohon pertolongan daripada Allah seperti disyariatkan Allah melalui Rasulnya. "Rabb" merangkumi meksud pentadbir dan pentarbiah secara mutlak bagi sekalian alam.
Cabang tauhid kedua adalah Tauhid Uluhiyah, iaitu tauhid yang menjelaskan bahawa hanya Allah s.w.t Tuhan berhak disembah dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam ubudiyah dan memohon pertolongan. Syirik Uluhiyah pula adalah menyembah dan memohon pertolongan selain daripada Allah dan segala yang selain daripada Allah yang disembah dipanggil THOGHUT.
Oleh yang demikian, golongan Nasrani, Majusi dan Arab jahiliyah di zaman Rasulallah adalah golongan Musyrik di zaman Rasulallah, walau pun mereka bertauhid Rububiyah tetapi mereka syirik Uluhiyah. Ini kerana Nasrani mengambil Nabi Isa dan Roh Kudus sebagai penjelmaan Allah, Majusi dan Arab Jahiliyah pula mengambil rupa bentuk yang menggambarkan Allah.
PERSOALANNYA, terdapatkah syirik Rububiyah dan syirik Uluhiyah dalam ilmu dan amal manusia akhir zaman khasnya orang-orang Melayu Islam?
JAWAPANNYA memang banyak sekali. Ilmu dan amal yang berhubung kait dengan pemujaan berbentuk menyembah dan memuliakan selain daripada Allah banyak terdapat dalam masyarakat kita. Penyembahan biasanya dilakukan dalam bentuk syarat amalan iaitu mengadakan perkara-perkara yang wajib, sunat, makruh, harus atau haram mengikut hukum syarak Islam sebagai suatu yang dipaksa ke atas diri seseorang melakukan akan dia oleh seseorang yang lebih tinggi pangkat atau darjat dengan tujuan memperolehi sesuatu dalam bentuk imbuhan atau lainnya walau dalam apa bentuk sekalipun.
Begitu juga ilmu dan amal yang berpegang teguh sehingga menjadi iktikad di lidah, anggota dan hati bahawa wirid, jampi, alat-alat senjata, batu cincin ataulain yang seumpamanya boleh member bekas dengan sendirinya terhadap menunaikan hajat mereka atau mereka mengambil bantuan ghaib daripada rohani jin Islam yang mengikat mereka dengan syarat-syarat tertentu untuk hasilkan hajat.
Isu asas ini sangat penting kerana dalam masyarakat Melayu hari ini terdapat dua cara manusia mengambil Islam sebagai Ad-Din.
1. Manusia yang bertindak dan mengaku dirinya sebagai tuan kepada agama, iaitu sebagai penjaga Agama dan sekaligus meletakkan gelaran-gelaran dan pangkat-pangkat pada diri mereka yang menjadi cirri kumpulan mereka. Oleh kerana agama adalah jagaan atau peliharaan mereka maka penumpuan mereka adalah syariat dan akhlak sahaja tetapi meninggalkan akidah, pengorbanan diri dan harta benda.
2. Manusia yang mengambil serta menerima agama sebagai suatu perintah yang wajib fardhu Ain ditanggung ke atas diri melaksanakan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan bagi ubudiyah diri dan memohon pertolongan hanya kepada Allah melalui lidah, anggota dan hati sebagai hamba Allah. Mereka ini sentiasa berusaha memperbaiki diri mereka sendiri di samping menyeru masyarakat kepada kebaikan. Golongan ini terbahagi kepada tiga puak:-
a) Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang maksum daripada dosa. Mereka adalah golongan yang Allah pelihara daripada dosa dan menjadi contoh teladan bagi sekalian manusia.
b) Orang-orang soleh yang terpelihara daripada dosa besar dan dosa kecil. Walaupun mereka bukan maksum tetapi atas mujahadah diri mereka dikurniakan Allah terpelihara daripada dosa.
c) Orang-orang soleh yang lalai iaitu mereka yang terkena dosa-dosa kecil tetapi segera bertaubat.
Orang-orang soleh pasa kurun khalaf sehingga kiamat yang berada pada Aliran Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil fahaman dari:-
1. Mazhab Akidah.
Ø Aliran Abu Mansur Al-Maturidi atau Abu Hassan Asy-Syaari.
2. Mazhab Fekah.
Ø Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanbali atau Imam Hanafi.
3. Mazhab Akhlak.
Ø Imam Ghazali, Syeikh Junaid Al-Baghdadi, Syeikh Abdul Wahab Syaqrani, Imam Qusyairi atau Ulama Muktabar seumpama mereka.
Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa Allah memberi manusia tiga bentuk usaha.
1. Teguh cita-cita yang tercetus dihati.
2. Gerak kerja (ikhtiar usaha) yang zahir pada anggota jawareh.
3. Rangkaian doa yang zahir di lidah.
Mereka beriktikad iaitu berpegang dengan teguh bahawa ketiga-tiga bentuk usaha mereka itu tidak memberi bekas dengan sendiri dalam menghasilkan sesuatu hajat dan berpegang teguh bahawa yang menghasilkan sesuatu hajat hanya Allah semata-mata. Segala bentuk usaha mereka adalah penzahiran pengabdian diri mereka terhadap Allah yang Maha Agung.
best artikel ni...tima kasih pak syiekh jilani...
BalasPadamMantap.. salam 1 Abjad dari saya
BalasPadam