Jumaat, 23 Januari 2009

TAUHID RUBUBIYAH

Ertinya mengaku dengan lidah dan hati bahawa alam ini ciptaan Allah. Maka Allah sahajalah tuan punya yang mentadbir, mengurus, mengawal, memelihara, memilik, menghidup, memati dan seterusnya. Orang-orang kafir juga mengaku akan tauhid ini di lidah dan di hati mereka. Tetapi mereka tidak ta'abbud (memperhambakan diri) zahir dan batin serta memohon pertolongan kepada Allah dalam hidup dan kehidupan mereka. Sebab itulah mereka dihukum dengan kafir, musyrik dan lain-lain perkataan yang seumpama dengannya. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang percaya tentang hari pembalasan/kebangkitan, hisab, qada dan qadar seperti kafir jahiliah Mekah di zaman Nabi sebelum dibangkitkan menjadi Rasul.

Mafhum Firman Allah s.w.t :-

"Katakanlah siapa yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan. Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan siapakah yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan. Maka mereka menjawab 'ALLAH'. Maka katakanlah oleh itu mengapa kamu tidak bertakwa kepada Allah".

(Surah Yunus : Ayat 31)

Termasuk dalam tauhid ini ialah meyakini bahawa tiap-tiap suatu yang berlaku tidak keluar daripada takluk Qudrat dan Iradat Allah, dengan perkataan lain memberi erti berikrar bahawa zat Wajibal Wujud bernama Allah itu sahajalah fa'il atau pencipta mutlak bagi alam ini , tanpa besertanya oleh suatu yang lain dalam penciptaannya. Tauhid ini adalah asas bagi tauhid bahagian-bahagian yang lain iaitu Tauhid Asma' dan Tauhid Sifat. Segala rupa bentuk ilmu dan amal yang dilaksanakan oleh seseorang hamba dalam ubudiyah dan mintak tolong tidak sah atau tidak tepat atau masih dikira dosa besar atau masih dikira sebagai syirik uluhiyah jika ditujukan kepada zat yang lain yang tidak bersifat sebagai RABB. Oleh kerana itulah kita dapati dalam Al-Quran Allah s.w.t menyebut tauhid Rububiyah ini di makam pujian, makam ibadah, makam tunduk dan menyerah diri, makam penerangan sifat Allah dan nama-namaNya umpamanya:-

DI MAKAM PUJIAN ALLAH BERFIRMAN :

Mafhumnya :

"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam"

(Surah Al-Fatihah : Ayat 1)

DI MAKAM PENYERAHAN DIRI DAN TUNDUK KEPADA ALLAH, ALLAH BERFIRMAN :

Mafhumnya :

"Katakanlah : Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam"

(Surah Al-An'am : Ayat 71)


PADA MAKAM TAWAJJUH ALLAH BERFIRMAN :

Mafhumnya :

"Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku dan hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

(Surah Al-An'am : Ayat 161)

PADA MAKAM IBADAT ALLAH BERFIRMAN :

Mafhumnya :

"Dan apabila ditanya sudahkah engkau menerima agama mereka ? : Maka jawabnya mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku? Dan kepadaNyalah (aku dan kamu) semua dikembalikan".

(Surah Yasin : Ayat 22)


Adapun bagi mereka yang mengaku bahawa zat yang bernama Allah Tuhan yang Maha Mencipta segala-galanya yang baharu. Tetapi tidak mentauhidkan pada uluhiyyahnya, tetap mensyirikkan Allah dengan sesuatu selain Allah dalam ubudiyyah dan minta tolong. Begitulah juga halnya jika seseorang tidak mentauhidkan Allah pada asma'Nya dan sifatNya mereka masih lagi menyerupakan sifat Allah dan nama Allah dengan makhlukNya, pada perkataannya, pada anggotanya, atau qosad hati ataupun mentakwilkannya dengan takwil yang salah.

Sebenarnya tauhid ini masih belum lagi menerima manfaat yang jelas dan nyata kepada mereka yang mentauhidkan akan dia selagi tidak mengambil tauhid uluhiyyah, kerana tidak dapat mengeluarkan seseorang itu daripada kufur kepada iman.

Oleh itu, jelaslah bahawa tiap-tiap mereka yang berikrar rububiyyah Allah bukanlah semestinya mereka itu mengesakan Allah pada uluhiyyahnya atau asma' dan sifat, kerana hadap hadapan dan hadap diri mereka dalam ubudiyyah dan minta tolong masih kepada yang lain(kepada thoghut) walaupun kita dapati lidah mereka menyebut Allah tidak putus-putus dan nyata perkara luar biasa seperti orang zindiq, murtad, dan munafik, mulhid wahdatulwujud dalam iktikad dan lainnya seumpanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan