Sabtu, 31 Julai 2010

REMAJA DAN MASJID

Assalamualaikum w.b.t.

Pada malam jumaat yang lepas ana ada menonton rancangan realiti TV Imam Muda. Tidak dinafikan rancangan tersebut memang menarik dan mampu memberikan variasi baru kepada program-program yang ada di kaca TV darsawarsa kini. Ana bukan lah penggemar kepada rancangan TV sebelum ini namun Imam Muda menarik minat ana apatah lagi Hizburrahman Omar zuhdi merupakan kenalan kampung ana dan berkawan sejak kecil. Ana hanya sempat menonton episod pertama dan terakhir. Bak kata pepatah "jika tiada mula tiada akhirnya".

Ana begitu tertarik dengan soalan mudir kepada dua finalis Imam Muda. Bagaimanakah bakal Imam Muda Terunggul akan lakukan bagi mendekatkan golongan remaja ke masjid. Maka kedua-dua Imam Muda memberikan jawapan berdasarkan pengalaman masing-masing.

Jika soalan itu ditujukan kepada ana yang cetek ilmu agamanya dibandingkan kedua-dua finalis yang masuk bertanding. Ana hanya mampu meniru kata-kata guru ana sahaja tanpa mampu menjana pemikiran sendiri yang bernas. Ana akan menjawab; " Hidayah itu milik Allah dan hatta Rasulullah tidak mampu mengislamkan bapa saudara kesayangannya".

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya;

"Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah pasti Allah menolong kamu dan menetapkan iman kamu"

Ramai pendakwah kini menafsirkan ayat tersebut sewenang-wenangnya tanpa kembali kepada kehendak asal ayat tersebut. Ada yang mengatakan Allah meminta kita sebagai orang-orang beriman menyebarkan agamaNya manakala ayat lain pula Allah menyatakan Hidayah dan petunjuk itu milik mutlakNya. Ada juga yang mengatakan bahawa kita perlu menolong Allah dalam menyabut seruan jihad di lain kejadian Allah memberi kemenangan kepada Mahmud Ghazni seorang diri dalam menawan India tanpa bantuan sesiapa.

Ketahuilah Allah itu Maha mengetahui tetapi ada satu benda yang tidak Allah ketahui. Apabila kenyataan Nasara mengatakan Allah ada Isteri dan Anak. Apabila Yahudi mengatakan Uzair itu Anak Allah. Ilmu Allah meliputi segalanya tetapi Allah tidak mengetahui bahawa Dia ada sekutu bagiNya kerana Allah berdiri dengan sendiri dan Terkaya Allah dari setiap sesuatu.

Pertolongan yang Allah seru itu bermaksud TANZIH (bersih) dari syirik dan dosa. Pada hari ke 120 kita berada di alam Mulki datang Malaikat meniupkan Ruh. Maka ketika itu Allah menentukan rezeki kepada kita namun kita menentukan halal dan haram. Allah menentukan ajal kita namun kita menentukan Husnul Khatimah atau sebaliknya. Allah menentukan kesudahan kita namun kita yang memilih syurga atau neraka. Allah memberi kudrat melakukan sesuatu kepada kita namun kita memilih sendiri melakukan amalan soleh atau kufur.

Pada satu ketika kita mengetahui bahawa Mekah merupakan padang pasir tandus kering kontang tanpa kehidupan. Selepas Nabi Allah Ibrahim mewakafkan tanah Haram Mekah dengan hati yang tulus tanpa ada sebesar zarah syirik kepada Allah maka ketika itu Allah membuka, memaling, menghadap hati-hati manusia berkunjung ke sana bagi melakukan haji.

Contoh terdekat bagi ana apabila mengimbau sejarah tertubuhnya Pondok Lanai kedah. Pada satu ketika dulu orang mempertikaikan Tuan Guru Haji Omar Zuhdi apabila beliau membuka pondok di kawasan 'Jin Bertendang' atau hutan belukar. Kata mereka tidak akan ada orang yang akan menuntut ilmu di situ kerana tidak strategik. Namun kehendak Allah sebaliknya apabila tujuan dan niat membuka pondok tersebut bersih dari syirik dan dosa. Pondok Lanai melahirkan ribuan murid rata-rata alim dalam bidang pengajian masing-masing dan pondok tersebut masih berdiri kukuh sehingga sekarang atas berkat Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Soleh, ayahanda kepada Finalis Imam Muda. Harapnya saudara Hizbur akan menuruti jejak ayahandanya. Amin.

Kesimpulan bagi menarik minat remaja ke masjid atau menghapuskan zionis dari muka bumi bukanlah sukar. Bangkitlah para pejuang agama hapuslah zionis (Syirik dan Dosa) dalam diri jangan tinggal sebesar zarah. Dari situ datanglah segera pertolongan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan