Khamis, 28 April 2011

Suka Dipuji Sukar Memuji

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala PUJI hanya kembali kepada Allah, zat wajibal wujud yang terkaya Dia, setiap sesuatu daripadaNya kepadaNya. Selawat dan salam ke atas penghulu segala kejadian, Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruhNya yang tertinggi martabat di sisiNya. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan kepada ana bagi terus menulis sebagai bekalan di dunia dan akhirat kepada kita semua.

Pernah ana terbaca dalam satu artikel di akhbar mengenai "Suka dipuji Sukar memuji". Secara umumnya artikel tersebut memberi fokus kepada golongan wanita. Menurutnya lagi, golongan wanita adalah golongan yang "SUKA DIPUJI" jadi ramailah dalam kalangan wanita mengenakan perhiasan yang indah-indah supaya dipuji sebagai cantik, kemas, dan bergaya. Bukan menjadi suatu kesalahan apabila kita menampilkan identiti kemas, cantik dan bergaya tetapi apabila kita menampilkan bertujuan untuk DIPUJI adalah menjadi kesalahan.

Jadi di sini, ana cuba menumpukan segala PUJIAN itu diberikan selayaknya kepada yang berhak iaitu ALLAH, Tuhan pemilik segala PUJIAN. Bagaimana kita boleh mengalih pujian tersebut daripada kita hanya memuji kosong kepada MEMUJI yang Allah beli dengan Syurga. Sesuai dengan Firman Allah Mafhumnya;

"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman diri-diri mereka dan harta benda mereka dengan membayar mereka ganjaran SYURGA"

Bagi menjual diri dan harta kita kepada Allah, wajib bagi kita memuji sesuatu dengan mengetahui MAKSUD, JENIS dan RUKUN bagi pujian tersebut.

Maksud Pujian

Perbuatan pada memberitahu bagi membesarkan Pemberi(Allah) nikmat kerana kita merasai nikmat tersebut atau orang lain merasainya juga, melalui perbuatan, perkataan dan niat hati.

Jenis Pujian
  1. Qadim(Allah) memuji Qadim(Allah)
  2. Qadim(Allah) memuji Hadis(Makhluk)
  3. Hadis(Makhluk) memuji Qadim(Allah)
  4. Hadis(Makhluk) memuji Hadis(Makhluk)
Rukun Pujian
  1. Hamid (si pemuji)
  2. Mahmud (penerima pujian)
  3. Mahmudu bihi (Sifat yang dipuji)
  4. Mahmudun a'laihi (nikmat kepada kita)
  5. Lafaz Pujian
Selamat beramal dengan maklumat ini. Semoga setiap amalan kita termasuk memuji dibeli Allah dengan SYURGA. InsyaAllah.



Khamis, 14 April 2011

Kita Selalu Hairan

Assalamualaikum w.b.t.

"Kita Selalu Hairan" merupakan tajuk bagi entri ana kali ini. Selepas melawat beberapa blog dan membincangkan topik yang sama dengan sahabat-sahabat dunia sebenar, ana mengambil tajuk ini sebagai perbincangan bersama kali ini. InsyaAllah.

"Kenapa aku yang beriman namun mereka-mereka di atas yang kufur menjadi KAYA." Mungkin itu merupakan persoalan yang selalu bermain di minda peniaga-peniaga Muslim. Pelbagai aktiviti perniagaan dijalankan namun selalu menemui kebuntuan. Banyak projek terbengkalai "Pending" dari projek-projek yang lancar.



Bagi minda pelajar pula, selalu pertanyaan ini bermain-main di fikiran. "kenapa Amoi ni pulak yang dapat anugerah? mengucap pon tak pernah apatah lagi solat." Bagi menyedapkan hati, kita kadang-kadang bermonolog sendirian. "Siapa yang usaha lebih pasti Allah memberi kejayaan. Mungkin si Amoi tu usaha lebih. Jadi aku mesti lebih berusaha."

Tidak menjadi kesalahan kita bermonolog sebegitu rupa atas dasar memotivasikan diri. Siapa yang lebih berhak memotivasikan diri kita selain dari kita. Namun persoalannya, bagaimanakah sifat Rahman(pemurah) dan sifat Rahim(penyayang) Allah, apakah yang dimaksudkan sebagai Asbab dan Tajrid, dan bagaimana pula istidraj, karamah dan maunah?

Allah bersifat dengan Ar-Rahman iaitu pemurah kepada seluruh hamba-hambaNya tidak kira beriman, fasik, munafik atau kafir. Sifat Ar-Rahman Allah itu diberikan atas dasar Asbab(usaha) yang kita lakukan. Tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit Allah melayan serupa pada bab Ar-RahmanNya. Apabila kena pada ASBABNYA(usaha) pasti berhasil sesuatu kerja. Bukan semua Cina dan India pandai. Bagi yang rajin ada kelebihan dalam pelajaran dan bagi yang malas belajar sama sahaja tidak kira bangsa. Allah Ar-Rahman dan memberi dengan ASBAB(usaha).

Kemudian Ar-Rahim Allah ini khusus dan disediakan hanya kepada orang-orang beriman di dalam negeri AKHIRAT atau yang sudah melepasi Barzah. Mungkin di sini memerlukan kupasan lebih mendalam, harap para pembaca yang ingin memahami sila rujuk kepada mereka-mereka yang ahli. Namun bagi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta tabiin mereka sudah memperolehi RAHIM atau Tajrid Allah sejak di dunia lagi. Ana juga bercita-cita seperti ini, namun kita hamba yang hanya merancang dan Allah Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Bagi kita orang yang beriman kita wajib meyakini bahawa segala sesuatu kurniaan Allah itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti IRHAS, MUKJIZAT, KARAMAH, MAUNAH, ISTIDRAJ, IHANAH, SYAQWAZAH, dan SIHIR. Istilah-istilah ini perlu didalami lebih lagi namun bagi kali ini cukuplah ana menjelaskan istilah ISTIDRAJ dan MAUNAH. ISTIDRAJ ini apabila dibahaskan secara pengajian Pondok membawa maksud suatu kurniaan dari Allah kepada hambaNya dengan bertujuan menambah lagi kelalaian dan kealpaan. Seperti seorang penternak ayam memberi makan kepada ayamnya dengan bertujuan menangkap dan menyembelih. Maunah pula satu istilah yang digunakan bagi menunjukkan makbul doa oleh Allah dengan membawa kebaikan kepada hambaNya dengan berkat Nabi-Nabi dan Wali-Wali yang lebih hampir di sisi Allah.

Kadang-kadang manusia melihat suatu kurniaan Allah itu merupakan keajaiban seperti yang dikurniakan kekayaan kepada Tokoh-tokoh billionaire di atas. Kita selalu lupa bahawa Allah yang sebenar Maha Kaya yang patut kita taa'jub dan patut kita mendambakan cintaNya. Kurniaan Allah kepada puak-puak kafir, munafik dan fasik tidak lebih merupakan satu jerat dari Allah bagi melalaikan mereka. Mahukah kita kekayaan meliputi langit dan bumi seperti Namrud, Qarun dan Bakhtanazar namun mati dalam kemurkaan? atau kita cukup seperti Saidina Ali yang fakir dalam rupa dunia namun kaya di sisiNya. Kita juga boleh berdoa supaya kaya seperti Sulaiman a.s., Iskandar Zulkarnain atau Abdul Rahman bin Auf namun kita bukan Tuhan nak memakbulkan doa kita sendiri.

Ada satu kisah, apabila makbulnya doa Bal'am Ba'urak supaya disesatkan nabi Allah Musa di Lembah Sinai, setiap hari Musa a.s. berdoa supaya Allah mengeluarkan dia dan Bani Israel dari sesat yang lama itu. Selepas 40 tahun kemudian baru Allah memakbulkan doanya kemudian Musa a.s. dan Bani Israel berjaya menawan Baitul Maqdis. Musa a.s. merupakan Nabi, lagi Rasul, lagi Ulul Azmi, lagi Kalamullah. Allah menangguhkan makbul doa selama 40 tahun. Inikan pula kita manusia biasa. Kenapa kita manusia biasa gopoh dan tidak sabar dengan janji-janji Allah.

Nasihat ana untuk diri ana dan sahabat-sahabat semua. Kita wajib menerima ketentuan Allah dan redha denganNya.

Apabila ditimpa Musibah,
Redha dan sabarlah.
Jika melakukan dosa,
Redha dan Taubat nasuha.
Suka dengan nikmat dariNya,
Redha dan syukur kepadaNya.




Sabtu, 9 April 2011

Adam Hawa

Assalamualaikum w.b.t.

Pada kali ini ana memilih tajuk yang sinonim dengan kita, iaitu nama datuk dan nenek sekalian manusia. Sebelum meneruskan bacaan ana mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat semua dengan diberikan kesihatan dan rezeki melimpah ruah insyaAllah. Tajuk ini dipilih setelah bertanya kepada sahabat ana, mungkin kerana fikiran ana buntu dengan isu-isu semasa remaja. Kata beliau, "Cuba selidik sejarah, bagaimana lelaki boleh berkawan dengan perempuan tanpa ada batas-batas pergaulan". Dari kata-kata beliau ana memutuskan menulis "post" ini bermula dari permulaan segala sejarah iaitu ADAM dan HAWA sehingga sampai kepada kita.

Mungkin semua sudah tahu asal kejadian Adam tersebut dari tanah dan asal kejadian Hawa dari rusuk kiri Adam iaitu sisi kiri Adam a.s. setelah baginda meminta kepada Allah dikurniakan seorang peneman kepada Baginda di Syurga. Allah dengan QudrahNya menjadikan Hawa kepada Adam sebagai peneman. Bermula dari situ Adam dan Hawa tidak boleh berpisah. Adam perlukan Hawa sebagai peneman dan Hawa perlukan Adam sebagai pembimbing dan perlindungan. Jika diukur kecantikan Hawa kepada Adam tersebut sahabat semua boleh lihat kuku yang masih tinggal kepada kita. Itulah rupa kulit Hawa betapa cantik dan indahnya rupa yang Allah kurnia.

Ringkaskan cerita, Adam dan Hawa ditendang dari Syurga akibat termakan Hasutan AZAZIL (nama bagi Iblis) supaya memakan Buah KHULDI. Adam terdampar di Serindib(kata Kitab) iaitu di Sri Lanka manakala Hawa di Jeddah (Arab Saudi). Pada waktu dan ketika itu Adam tidak langsung terus mencari Hawa kerana tidak mahu ditipu kali kedua. Cukuplah sekali sahaja Azazil berjaya memperdaya baginda. Adam a.s menangis menyesali perbuatan memakan Khuldi itu selama 300 tahun sehingga bumi Sri Lanka dan India jadi Bumi Rempah Ratus kerana mengalirnya air mata Adam a.s. sehingga menjadi subur. menurut kitab "Kasyful Ghaibiah" jasad Adam a.s. adalah setinggi 60 hasta dan lebar 7 hasta Hasyimi. Begitulah saiz manusia beriman apabila dibangkitkan kelak dalam Syurga.

Balik kepada topik asal, Adam(lelaki) tidak terburu-buru mencari Hawa(perempuan) setelah diturunkan di tempat yang rendah iaitu bumi, melainkan Adam a.s. mencari satu kaedah atau formula bagi memperolehi kehidupan bahagia sehingga sampai ajal. Pertama Adam mengaku salah, walaupun nabi-nabi tidak pernah melakukan kesalahan namun sebagai formula manusia nabi Muhammad s.a.w. juga bertaubat dan mengaku salah sehingga 70 kali sehari mengikut riwayat walaupun baginda MAKSUM daripada dosa. Kedua, Semak selidik diri. Sebelum melakukan sesuatu anak keturunan Adam a.s. wajib menyemak diri sendiri dan menyelidiki adakah perbuatan atau diri manusia itu di bawah pengaruh Azazil iaitu musuh manusia yang nyata. Ketiga menyesali dahulu setiap perbuatan, kerana dengan menyesal manusia tidak akan berada dalam keadaan rugi seperti pepatah Melayu "sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya". Keempat Segera bertaubat, taubat merupakan satu bentuk Allah s.w.t mempamerkan lautan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Taubat juga merupakan suatu kaedah manusia belajar dari kesilapan yang lalu dan kesilapan itu Allah ubah menjadi kebaikan yang kekal melalui proses pembelajaran tersebut. Kelima, Tidak Putus Asa Rahmat Allah, kerana lautan kasih sayang rahmat Allah itu Maha Luas sehinggakan seorang pelacur yang bertaubat kepada Allah masih boleh melahirkan zuriat yang menjadi Wali (setengah riwayat menjadi nabi) dari rahim yang pada asalnya begitu jijik.

Kemudian tugas Adam a.s. ini diteruskan oleh Nabi Idris a.s. dan masih berjalan dengan sempurna. Apabila lelaki pembimbing iaitu Idris a.s. diangkat ke Syurga maka mulalah manusia meraba-raba kemudian Mahlil seorang nabi yang soleh dan kacak rupanya dibuat patung lalu disembah. Apabila sampai kepada Nuh, pada ketika ini kaum Hawa mengkhianati kaum Adam. Isteri Nuh a.s. tidak beriman kepada Allah maka Allah s.w.t menegur Nuh a.s. yang masih sayang kepada isterinya dengan berkata "Hidayah itu milik mutlak Allah dan diberikan kepada mereka-mereka yang mahu sahaja". Lalu Nuh a.s dengan rela dan redha meninggalkan isterinya tenggelam bersama kaum derhaka. Kali pertama kaum Hawa mengkhianati kaum Adam angkara hasutan Iblis laknatullah. Manusia-manusia Nubuwwah(nabi) terus membimbing kaum Hawa sehingga ramai diangkat menjadi Wali (pangkat tertinggi seorang Hawa di sisi Allah) seperti Hajar dan Sarah dilatih Ibrahim a.s., Asiah dilatih Musa a.s., Maryam dibimbing Zakaria a.s., Khadijah dan Fatimah dilatih Rasulullah sehingga jadi kuat dan kental jiwa srikandi Islam tersebut. Tugas Nubuwwah(nabi) melatih kaum Adam dan Hawa tamat, dan disambung Wilayah(wali) yang Warasah(pewaris) membimbing anak-anak Adam. Bermula Hasan Basri membimbing Rabiah Adawiyyah sehingga Makam(kedudukan) Rabiah Adawiyyah lebih tinggi dari Hasan al-Basri. Tugas ini disambung dan terus disambung sehingga akhir zaman InsyaAllah.

Amanah mula dikhianati oleh anak cucu Adam dan Hawa apabila kerja-kerja mendidik ini tidak diwarisi. Ilmu-ilmu diambil dan dicedok terus dari kitab-kitab. Penjajah mengubah silibus Allah dan mengajar silibus Orientalis. Akidah kebanyakkannya dibuang dan sedikit sahaja yang ditinggal, Syariat dilacur dari sistem kehakiman hingga pentadbiran. Pada sangkaan manusia syariat hanya perlu dalam bab Nikah kahwin dan ibadah sahaja. Akhlak dibuang hampir keseluruhan dan hanya tinggal yang ringan-ringan sahaja. Perbahasan dibiarkan berleluasa sehingga orang jahil bijak mengeluarkan fatwa.

Tanda-tanda penghujung zaman kian jelas terpampang, cuma yang tinggal manusia yang kebanyakkannya tidak lagi dibimbing oleh cahaya Wilayah dan Nubuwwah. Meraba-raba dalam gelap mahupun cerah.

Adam itu pembimbing Hawa,
Selagi diguna formula manusia,
Azazil itu musuh yang nyata,
setiap kata semuanya dusta.




Jumaat, 8 April 2011

DUNIA SEMAKIN NAZAK

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama ana tidak menjenguk ke laman Blog milik ana ini, maaf atas kekurangan diri sendiri yang tidak mampu istiqamah dalam berkongsi ilmu. Harapan ana, semua pembaca kekal dalam kesihatan yang sempurna, dan masih berterusan istiqamah di jalan Allah. InsyaAllah.

Allah s.w.t Maha Berkuasa. Shuluhi Qadim dan Tanjizi Hadis berlaku serentak membuatkan jari jemari ana menekan papan "keyboard" menaip apa-apa yang dirasakan wajib dikongsi berdasarkan tajuk yang diberi. Ana dahulukan ucapan terima kasih kepada Sahabat yang menyumbangkan idea untuk ana meneruskan penulisan di sini. Ana juga mendoakan sahabat-sahabat yang bersama beliau ke Jepun dikawal dan dipelihara oleh Allah sesuai dengan firmanNya:
وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيًّ۬ا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ نَصِيرً۬ا

" Cukuplah Allah sebagai Penjaga dan cukuplah Allah sebagai Penolong"

Dunia semakin nazak. Nazak ini adalah istilah yang digunakan kepada manusia yang menunggu saat Izrail datang mengambil nyawa. Begitulah dunia, yang semakin nazak menunggu Israfil meniup Sengkakala. Manusia dikejutkan dengan bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Jepun baru-baru ini, dan inilah sebab utama sahabat ana yang akan berangkat ke Jepun menyarankan agar topik ini dibincangkan. Semoga sama-sama mendapat manfaat. Jika diambil iktibar dengan kisah-kisah terdahulu, manusia bukan satu makhluk yang belajar dari bala bencana. Sebelum kejadian yang berlaku di Jepun, satu masa dahulu Allah s.w.t sudah mengazabkan Umat Nabi Nuh a.s. sehingga menenggelamkan bumi. Namun apabila sampai kepada Kaum A'd Umat Nabi Hud a.s. manusia sekali lagi alpa dan lalai kepada Allah dek kerana 700 tahun nikmat Allah kepada mereka. Tidak ada satu pon manusia yang bersin apatah lagi sakit dan demam. Sehinggakan generasi manusia ketika itu lupa akan istilah "MATI". Kemudian Allah datangkan Azab dengan angin "SHORSHOR" maka habis hancurlah umat Hud a.s. yang gagah dan membina perumahan dalam batu itu. Kemudian datang Umat Nabi Soleh a.s. Umat ini juga lupa, sehinggalah kepada kita dan kita masih juga lupa.

Mengikut sejarah, manusia tidak akan sesekali belajar dari bala bencana melainkan bencana tersebut membawa sedikit sahaja gerun dan takut dalam diri manusia dalam tempoh yang paling singkat. Dunia semakin Nazak, dan istilah ini bukan sahaja dipakai oleh mereka yang beriman dengan hari Akhirat, tetapi diguna pakai oleh semua ahli-ahli pemikir dari pelbagai agama sehinggakan ada teori kehancuran dunia pada tahun 2012. Ingatlah wahai sahabat-sahabat pembaca sekalian. Keinsafan yang hakiki, yang dituntut oleh Allah kepada manusia bukan didatangkan melalui akal fikiran. Namun Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. bagi dijadikan contoh ikutan teragung kepada kita. Walaupun saya berbahas panjang mengenai bala bencana yang sedang berlaku ini. Hanya sebesar zarah sahaja keinsafan yang akan timbul. Oleh itu saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat semua perkemaslah ilmu fardhu Ain, bermula ilmu TAUHID, kepada ilmu SYARIAT dan ilmu AKHLAK. Di sana baru berjumpa dengan kemanisan dan keinsafan yang hakiki. Sebab Allah itu "KANZAN MAKHFIAN" perbendaharaan yang tersembunyi, yang wajib kita kenali. Jika benar kamu beriman buktikan keimanan kamu. Itulah keadaan manusia rata-rata yang mengaku ISLAM, jika diuji dengan fardhu ain ramai yang tidak mampu menjawab. Dari Hukum Akal, kepada Rukun Syahadah apatah lagi perkara-perkara QAWADEH, AWARIDH dan QADHA. Bukan niat saya merendahkan saudara/ri namun katakanlah benar walau ia amat pahit, merupakan saranan dari rasul yang dicintai.

Jadilah Saidina Umar yang bengis pada rupa,
yang kasar pada kata,
namun bila dicurah air agama,
tunduk sayu dirinya.

Benarlah kata Tuan Minal dalam Aqidatun Najin, Manusia beriman dalam kalangan lelaki pada akhir zaman hanya 12000 orang sahaja dan beriman dalam kalangan perempuan hanya 7000 orang sahaja. Tepuk dada tanya diri sendiri. Dimanakah kedudukan aku. Allah tidak menentukan semua yang bekerjaya USTAZ itu beriman, namun Allah memilih pemilik hidayah itu bagi sesiapa sahaja yang mahu. Pada diri manusia itu wajib ada 5 formula nabi Adam a.s. ini;

  1. Mengaku Salah kepada Allah
  2. Semak selidik diri sendiri
  3. Menyesali salah-salah yang lalu
  4. Segera bertaubat
  5. Tidak berputus asa dengan rahmat Allah yang maha dalam tak terperi maha luas tak bertepi
Wallahua'lam

"KEINSAFAN HAKIKI BAGI MEREKA YANG MENGENALI ALLAH SAHAJA"
"DATANGKAN BURHAN(BUKTI) JIKA KAMU ORANG YANG BENAR"
"AMAL TANPA ILMU IBARAT ORANG YANG GILA"