Khamis, 26 Mei 2011

Jarak Dosa dan Pengampunan

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi satu semangat untuk menulis walau penulisan-penulisan ana hanya sedikit jika nak dibandingkan nikmat masa yang Allah kurniakan kepada ana.

Pada kali ini suka ana membawakan sebuah kisah teladan yang mampu dijadikan panduan kepada kita kerana merekalah golongan yang wajib kita jadikan contoh ikutan bagi merebut cinta yang hakiki milik Allah dan Rasulullah s.a.w.

Fudhail Bin Iyad merupakan seorang ketua perompak. Kerjanya pada setiap hari adalah mengetuai anak-anak buahnya bagi merompak kafilah-kafilah pedagang yang melalui kawasan-kawasan strategik bagi melakukan operasi rompakan. Pada satu hari aktiviti rompakan dijalankan seperti biasa di satu kawasan yang sunyi. Satu rombongan kafilah pedagang habis ditawan oleh anak-anak buah Fudhail. Namun ketua kafilah yang masih bebas berjaya melarikan diri dan menemui seorang pemuda yang asyik melakukan solat sunat kepada Allah. Lalu ketua kafilah tersebut terus merayu meminta pertolongan kepada pemuda tersebut dengan linangan air mata ketakutan. Pemuda itu dengan tenang pergi kepada kumpulan perompak tersebut lalu berkata;

Pemuda Soleh: "Banyakkah hasil rompakan kita kali ini?"

Jawab perompak-perompak tersebut: "Agak banyak bos."

Terkejutlah ketua kafilah tersebut kerana orang soleh dijumpainya tadi adalah ketua kepada perampok-perampok tersebut. Lalu berlakulah dialog diantara ketua kafilah (KK) dan Fudhail bin Iyad (FI);

KK : "Kenapa tuan yang ku lihat sebentar tadi rukuk dan sujud kepada Allah tapi masih sanggup merompak dan melakukan perkara yang ditegah Allah?"

FI :" Aku Fudhail bin Iyad, perompak yang digeruni. Kenapa aku merompak dan dalam masa sama melakukan ibadah kepada Allah?'

KK :"Ya, kenapa kau mencampuri urusan baik dan jahat dalam satu masa yang sama?"

FI :"Aku terbaca sepotong ayat yg berbunyi;

وَءَاخَرُونَ ٱعۡتَرَفُواْ بِذُنُوبِہِمۡ خَلَطُواْ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk dengan bersangka baik mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

At-Taubah (102)


dan dengan ayat ini aku sentiasa memohon kepada Allah agar dikeluarkan aku dari lembah hina ini dan menjadi lebih dekat di sisiNya."

KK : "Inilah kali pertama aku berjumpa perompak aneh sebegini sepanjang hidupku, semoga Allah mengampuni kamu dan pengikut kamu sekiranya kamu membebaskan kami."

Dengan tiba-tiba hati Fudhail menjadi sayu dan dengan rasa bersalah yang amat sangat sehingga air mata membasahi kedua-dua pipinya. Dengan nada yang sayu beliau berkata.

" Wahai kafilah sekalian, hari ini kamu bersaksi bahawa aku Fudhail bin Iyad meninggalkan tabiat jahatku yang suka memeras dan merompak. Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah dan meninggalkan dengan jazam(keazaman) yang putus tidak akan mengulangi lagi perkara keji ini aku juga memohon maaf kepada kamu semua atas kekasaran aku dan pengikutku"

Maka selepas peristiwa itu terkenallah di kota ilmu Baghdad bahawa seorang perompak, Allah telah mengangkat menjadi wali dengan nama Syeikh Fudhail bin Iyad yang harum semerbak hingga kini.

Sahabat-sahabat sekalian. Allah s.w.t. menguji kita dengan pelbagai ujian yang dinamakan Qadha. Ada manusia yang hanyut dengan ujian kenikmatan dan kesenangan dek kerana lupa REDHA dan BERSYUKUR. Ada manusia yang tenggelam dalam noda dan dosa dek kerana lupa REDHA dan TAUBAT dan ada manusia yang gelisah tidak tenteram hatinya dalam menempuhi musibah dek kerana hati yang tidak REDHA dan SABAR. Allah memberi ujian bukan bertujuan menzalimi manusia, melainkan Dia menguji mulut-mulut yang lancang mengaku beriman, mendambakan cinta Tuhan, adakah layak diberi pangkat dan jawatan di sisiNYa. Namun kita alpa, kita hanyut, kita tenggelam malah kita karam dalam ujian-ujian tersebut kerana meninggalkan Rahmat(kasih sayang) yang dibawa Muhammad s.a.w.

Allah menyeru dengan firmanNya;

صِبۡغَةَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬‌ۖ وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ

Celupan(Acuan) Allah (Nabi-nabi dan Rasul-rasul), dan siapakah lebih sempurna dari Celupan(Acuan) Allah (Nabi-nabi dan Rasul-rasul); dan kepadanyalah kami menyembah.

al-Baqarah (138)

وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

Dan bersegera, segera, segera masuk kepada pengampunan daripada Tuhan kamu dan Syurga yang luasnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi yang disediakan kepada orang yang bertakwa.

Ali Imran (133)

وَمَن يَعۡمَلۡ سُوٓءًا أَوۡ يَظۡلِمۡ نَفۡسَهُ ۥ ثُمَّ يَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا

Dan siapa yang melakukan suatu kejahatan atau menzalimi dirinya sendiri; kemudian dia memohon pengampunan kepada Allah nescaya didapatinya Allah maha Pengampun dan penuh kasih sayang.

An-Nisa (110)

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah wahai Muhammad; Wahai hamba-hambaku yang melampaui diri mereka dengan melakukan dosa, janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah; Sesungguhnya Allah mengampuni serta membersihkan segala, segala, segala dosa dan kesalahan; Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’

(Az-Zumar (53


Nasihat kepada saya terutamanya, tanya semula kepada diri kita, Kenapa masih menggunakan akal dan logik kepala, sedangkan Rasul sudah menyelesai seGALA-GALA. Kenapa kita harus tunggu dan leka sedangkan Allah menyeru SEGERA. Kenapa kita ragu-ragu pengampunan sedangkah sudah dijanjikan Tuhan.




1 ulasan:

  1. ya salam...subhanallah..terima kasih atas ilmu yg amat mendalam n membuatkan sy terjaga dr mimpi yg pnjg...Allah Maha Pengampun..

    BalasPadam