Rabu, 27 Julai 2011

Dimakan Sumpahan


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, segala puji kembali kepada Allah. Selawat dan salam atas penghulu mursalin dan atas segala sahabat serta tabiin.

Sekurang-kurangnya ada sepuluh sifat yang harus dimiliki oleh orang-orang yang berada dalam perjuangan kerohanian, yang sedang memeriksa diri sendiri dan yang berusaha mencapai tujuan kerohanian serta yang menginginkan kekal berada dalam keadaan itu. Apabila Allah telah mengizinkan mereka untuk tetap berada dalam keadaan itu dan berdiri teguh di dalamnya, maka mereka akan mendapatkan kedudukan yang tinggi. Nasihat Syeikh Abdul Qadir Jilani iaitu Sultan Wali kepada murid-muridnya yang dirakamkan dalam Futuhul Ghaib. Nasihat yang mempunyai angka genap 78 ini banyak memberi panduan kepada kita yang bukan sahaja memakai pakaian agama secara zahir atau jasmani namun perjalanan rohani juga kita wajib tanam menuju kepada Allah dengan hati yang sejahtera yang ada bimbingan.

"Sifat pertama, hendaklah seorang hamba tidak bersumpah dengan menggunakan nama Allah, baik di dalam perkara yang benar mahupun di dalam perkara yang salah, dan baik secara sengaja mahupun tidak. Jika ia telah menyedari hal itu, yakni ia tidak bersumpah dengan menggunakan nama Allah, baik secara sengaja mahupun tidak, maka Allah akan membukakan pintu cahaya-Nya baginya, ia akan menyedari faedahnya di dalam hatinya, pangkatnya di sisi Allah akan ditinggikan, kekuatan dan kesabarannya akan bertambah, sanak-saudaranya akan memujinya dan tetangga-tetangganya akan memuliakan. Kemudian, orang yang kenal kepadanya akan menghormatinya dan orang yang melihatnya akan merasa gentar memandangnya."

Dari petikan kata-kata di atas, sudah kita dapat kesan bahawa sumpahan yang kita lakukan dengan menggunakan nama Allah sengaja mahupun tidak sengaja menyebabkan pintu hati kita tertutup terkunci daripada cahaya atau hidayah Allah. Hilang seri muka dan ditarik iman serta merta, pangkat jawatan di sisi Allah lucut dalam kadar segera dan hilang tanda-tanda manusia menghormatinya. Namun Allah Maha Pengampun sentiasa mendahului rahmat kasih sayangNya kepada Hamba milikNya. Firman Allah dalam Surah al-Maedah ayat ke 89;

لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغۡوِ فِىٓ أَيۡمَـٰنِكُمۡ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُڪُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلۡأَيۡمَـٰنَ‌ۖ فَكَفَّـٰرَتُهُ ۥۤ إِطۡعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِينَ مِنۡ أَوۡسَطِ مَا تُطۡعِمُونَ أَهۡلِيكُمۡ أَوۡ كِسۡوَتُهُمۡ أَوۡ تَحۡرِيرُ رَقَبَةٍ۬‌ۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ كَفَّـٰرَةُ أَيۡمَـٰنِكُمۡ إِذَا حَلَفۡتُمۡ‌ۚ وَٱحۡفَظُوٓاْ أَيۡمَـٰنَكُمۡ‌ۚ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu DIKIRA SALAH olehNya dengan sumpah yang sengaja kamu buat dengan BERSUNGGUH-SUNGGUH. Maka bayaran dendanya(kifarah dosa) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda PENEBUS SUMPAH kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah(peliharalah) sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu bersyukur

Rata-rata manusia hari ini tidak lagi berhati-hati dengan kalimah yang boleh membawa atau menjunamkan manusia ke lembah Fasik, Zalim, Murtad dan Munafik dengan sewenang-wenangnya menggunakan bijak akal fikiran bagi melakukan sesuatu perkara yang nampak pada zahirnya baik. Manusia kebanyakkan atau manusia awam gopoh dan tergesa-gesa menilai sesuatu perkara menggunakan akal pemikiran dan tidak merujuk kepada al-Quran, Hadis, Ijmak ulama dan Qias sebelum melakukan sesuatu perkara.

Apabila diajak melakukan kebaikan, Umat Islam hari ini mesti berSUMPAH sebagai simbol keluar daripada kufur dan maksiat kepada Iman dan Taat. Sedangkan Allah tidak menilai dengan suatu yang berharga SUMPAH-SUMPAH mereka melainkan mengenakan denda jika dilakukan dengan SENGAJA. Allah hanya menilai ucapan dua kalimah syahadah yang diucap dengan niat memfardhukan diri dengan agama lalu Allah menilai setiap titik peluh manusia yang keluar dari lembah KUFUR dan MAKSIAT ini dengan SYURGA dan segera diberi keampunan. Tidak ada sumpah atau bai'ah lain di sisi Allah melainkan DUA KALIMAH SYAHADAH.

Manusia yang terjerumus atau bergelumang dengan amalan jahiliah ini dinasihatkan segera, segera dan segera kembali semula kepada pengampunan sebelum nyawa berada di halkum atau matahari keluar dari pihak barat. Pada ketika itu setiap rintihan dan rayuan pengampunan sudah tertutup dan sia-sia segala-galanya. Kerana perjalanan Rohani manusia dikawal dan dijaga oleh Malaikat tentera Allah seperti Rasulullah dijaga oleh Jibril a.s. semasa Isra' Mikraj namun apabila BERSUMPAH kawalan dan jagaan tentera malaikat ini diganti oleh Azazil, Iblis dan Jin yang menenggelamkan manusia dalam lautan khayal, angan-angan, Waham, Syak dan Zhan iaitu karam dalam lautan tipu daya syaitan. Manakala yang masih mencari ilmu agama, elakkan dari ditipu Ustaz-ustaz gelaran yang bertopengkan agama namun hanya membawa barangan tiruan dan hanya memperdagangkan nama Allah semata-mata dengan harga dunia yang murah. Hati-hati dengan golongan ULAMA JAHAT (Ularma sebutan betul-lidah bercabang) ini. Wallahua'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan