Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah dengan limpah kurnianya masih dapat kita bersama-sama muzakarah dan terus-menerus berada dalam majlis ilmu. Pada post kali ini ana suka berkongsi mengenai tajuk Spotlight Dalam Agama.
Jika Muhammad s.a.w. itu seorang Rasul yang Allah sifatkan sebagai Makarimul Akhlak, Khuluqul Azhim, Rahmatul Lil Alamin dan Uswatun Hasanah sebagai pakaian kepada baginda maka, Khulafa' ar-Rasyidin terdiri daripada empat orang sahabat nabi yang besar, yang mewarisi diri nabi. Iaitu diri nabi sebagai al-Quran, diri nabi sebagai Hadis, diri nabi sebagai Ulama dan diri nabi sebagai Qias atau rukyah apakah kita hanya mewarisi satu atau dua sahaja diri nabi. Di sini sudah jelas ternampak bahawa kita bukan dari kalangan yang ekstrem yang memfardhukan agama Islam dari nabi, atau dalam kata mudahnya, bukan dari kalangan mereka-mereka yang mewarisi atau mempusakai Islam secara berhak dari nabi.
Kita pergi dengan lebih jauh. Jika kita selongkar dalam agama, kita dapati ada empat juga spotlight atau pembahagian yang besar. Pertamanya Aqidah diikuti Syariat, Akhlak dan Kesufian/ Taqarrub kepada Allah. Sepertimana yang sedia sahabat maklum, bahawa kita sekarang berada di zaman Khalaf. Zaman di mana keseluruhan manusia bukan dari kalangan ulama, dari kalangan mereka-mereka yang bukan ahli tafsir dan takwil al-Quran dan bukan dari kalangan mereka yang ahli hadis. Jadi Allah sudah tentukan dengan Ijmak mereka-mereka yang mewarisi kerja buat nabi s.a.w. dari sudut Aqidah, Syariat, Akhlak dan Kesufian Kemudian dilantik Sultan Aulia Saiyyid Syeikh Abdul Qadir Jilani sebagai orang yang memakai gelaran SULTAN sebagai mujaddid dan orang yang bertanggungjawab pemutihan dan Tanzih.
Aqidah;
Imam Abu Hassan as-Syaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi
Syariat;
Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanafi dan Imam Hanbali
Akhlak;
Imam Ghazali, Imam Junaid Baghdadi, Imam Khusyairi dan Imam Abdul Wahab Syaqrani.
Kesufian/ Mendekat diri kepada Allah;
Abi Hasan as-Syazili, Ahmad Khabir ar-Rifae, Ahmad Badawi dan Abi Madyan al-Maghribi.
Kemudian kita cuba bayangkan dalam sebuah Stadium. Ramai dari kalangan kita hanyalah sebagai penonton. Allah sudah melantik para pekerja bagi mengurus setiap spotlight dan apakah bahana sekiranya kita yang busuk lagi hina melekat dengan najis mengganggu Spotlight-spotlight tersebut. Biarlah yang melaksanakan urusan itu melaksanakan urusan mereka dan kita rendah diri mengaku menjadi murid kepada mereka yang ahli tanpa perlu bersusah payah memikir akan hal agama yang sudah sempurna. Agama Islam sudah menyinari alam ini dengan cahaya terang benderang, dan adakah kita terlalu biadab cuba memadam salah satu Spotlight Tuhan?.
Renung ayat al-Quran ini;
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِىۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan