Isnin, 14 Februari 2011

SYIAH..~~~

Assalamualaikum w.b.t.

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan satu kumpulan di Selangor yang diserbu oleh Pihak Berkuasa kerana dipercayai mengamalkan Ajaran Sesat. Kumpulan yang mendakwa mereka adalah berfahaman SYIAH tersebut menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka adalah ajaran sesat. Kejadian di atas membuatkan ana terpanggil untuk berkongsi serba sedikit maklumat bersama sahabat-sahabat mengenai SYIAH ini walaupun banyak blog-blog lain sudah menerangkannya.

Menurut sebuah kitab yang memperincikan mengenai 73 Puak yang terpisah dari kalangan Umat Muhammad s.a.w. bahawa SYIAH atau nama lainnya RAFIDHIYAH merupakan satu golongan atau pecahan dalam arabnya disebut FIRQAH yang terbit hasil percaturan seorang BEKAS PENDETA YAHUDI bernama Abdullah bin Saba’. Abdullah bin Saba’ memeluk Islam semasa zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan r.a. . Beliau merupakan seorang tokoh atau ulama handalan dalam YAHUDI dari Yaman, namun apabila memeluk Islam beliau tidak merasakan layanan yang sepatut diberi kepada TOKOH YAHUDI oleh Saidina Uthman khalifah pada masa tersebut. Bertitik-tolak dari situ, Abdullah bin Saba’ menghasut Umat Islam dengan mengatakan Saidina Uthman bin Affan tidak berhak menjadi khalifah kerana jawatan tersebut hanya layak disandang oleh Saidina Ali bin Abi Talib k.w.h. antara alasan yang dikemukan kerana ketika nabi Muhammad s.a.w. wafat saidina Ali yang sepatutnya berada bersama jamaah ketika menentukan siapa pengganti khalifah tidak dapat hadir kerana mengurus nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Jadi jawatan khalifah dipakai oleh Abu Bakar as-Siddiq. Pengeliruan atau pengubahan fakta ini dilakukan bukan berlandas kepada Aqidah, Syariah atau Akhlak Islamiyah tetapi kerana Politik atau Siasah kepimpinan. Jadi kemunculan SYIAH tidak lebih hanya atas Politik dan kepimpinan dan bukan atas pembersihan Aqidah, Syariat dan Akhlak. Jika kita membaca Sirah SAHABAT Saidina Ali yang didakwa SYIAH sebagai yang berhak atas jawatan khalifah tidak pernah bergaduh atau merebut jawatan tersebut ketika ISLAM dipimpin Abu Bakar sehingga Uthman Bin Affan. Kenapa SYIAH cuba mengelirukan kita?

SYIAH di Malaysia popular dengan SYIAH IMAMIYAH. Walaupun sudah beberapa kali ana meneliti ajaran atau kefahaman ini namun ana masih belum dapat memahami atau ruh IMAMIYAH tak mampu meresap atau mempengaruhi ana kerana ajaran ini jika diteliti lebih mendalam adalah ajaran yang tidak menepati logik akal orang-orang yang BERAKAL. Di sini ana petik beberapa maklumat mengenai SYIAH IMAMIYAH iaitu SYIAH yang POPULAR ketika ini di Malaysia dan di Iran.

SYIAH IMAMIYYAH

Aliran syiah ini dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang Yahudi dari Yaman yang bernama Abdullah bin Saba’. Beliau telah menimbulkan fitnah dan menjadi ‘api dalam sekam’ di tengah-tengah kaum Muslimin di Madinah pada zaman Utsman bin Affan r.a.
Dia juga telah menjadi dalang dalam komplot untuk membunuh Khalifah Utsman. Setelah berlaku pembunuhan Utsman, dia bersama orang-orang dari Kufah dan Basrah yang terlibat dalam komplot tersebut telah membaiat Ali bin Abi Thalib r.a. sebagai khalifah.

Maka berlakulah fitnah yang dahsyat di kalangan kaum Muslimin sehingga berlaku pertembungan sengit di antara Khalifah Ali bin Abi Thalib serta az-Zubair dengan ‘Aisyah, Thalhah dan Mu’awwiyah. Juga rentetan daripada itu berlaku beberapa siri peperangan dan yang paling besar ialah Perang Jamal dan Perang Shiffin. Pertempuran tersebut berakhir dengan penerimaan tahkim daripada kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa tersebut, Ali bin Abi Thalib r.a telah hilang haknya sebagai khalifah, lalu jawatan tersebut diambil oleh Muawwiyah r.a. Setelah melihat pelaksanaan tahkim yang berat sebelah itu, para pengikut dan tentera Ali bin Abi Thalib telah terpecah kepada dua golongan iaitu satu yang mempertikaikan Ali serta mengkafirkan mereka yang terlibat dalam penerimaan tahkim dan mereka ini dinamakan sebagai golongan Khawarij. Satu golongan lagi sangat taksub dan setia kepada Ali bin Abi Talib r.a. dan mereka inilah yang dinamakan sebagai golongan SYIAH.

TAKRIF SYIAH IMAMIYYAH

Syi'ah Imamiyyah atau dikenali juga dengan nama ‘Syiah Dua belas’ (الاثنا عشرية)adalah sebuah kelompok umat Islam yang berpegang teguh kepada keyakinan bahawa Saiyidina Ali bin Abi Thalib r.a adalah lebih berhak mewarisi khalifah, berbanding Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab, dan Utsman bin ‘Affan r.a. Ia dinamakan ‘Syiah Dua belas’ kerana mereka meyakini terdapat 12 Imam yang maksum dalam ajaran mereka. Imam yang terakhir menurut mereka – menghilang (ghaib), masuk dalam gua di Samara. Mazhab Syiah ini bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah dalam pemikiran dan pendapat-pendapat mereka yang tertentu (terutamanya dalam perkara akidah dan hak mewarisi jawatan khalifah; Imamah). Mereka sangat bercita-cita untuk menyebarkan fahaman mereka itu ke seluruh dunia Islam. Kalau kita melihat secara realitinya pada hari ini, golongan Syiah ini memiliki kuasa politik yang berpusat di Tehran setelah tertubuhnya Republik Islam Iran melalui revolusi pada Februari 1979 . Imam Khomeini yang memimpin gerakan muda dalam revolusi tersebut telah diangkat menjadi Pemimpin Republik yang pertama. Selain daripada itu, sebahagian besar pengikut fahaman ini terdapat di Iraq dan lain-lain negara seperti Pakistan, Syria dan Lubnan.

Dua Belas Imam Dalam Syiah Imamiyyah

12 Imam yang menjadi ikutan mereka adalah:

1. Ali bin Abi Thalib r.a, digelar (المرتضى) – ‘yang diredhai’, iaitu khalifah yang keempat dalam khulafa ar-Rasyidin, menantu Rasulullah saw. Imam Ali terbunuh di Masjid al-Kufah (di Iraq) di tangan Abdul Rahman bin Muljim pada tanggal 17 Ramadhan tahun 40 H.
2. Al-Hasan bin Ali r.a., digelar (المجتبى). (lahir 3H. - wafat50H.)
3. Al-Husin bin Ali r.a., digelari (الشهيد) –‘Yang mati syahid’. (lahir 4H. – wafat 61H.)
4. Ali Zainal Abidin bin Husin (lahir 38H – wafat 95H.), digelar (السجّاد) -“Yang banyak bersujud'.
5. Mohammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (lahir 57H – wafat 114 H.) digelar(الباقر).
6. Jaafar as-Shadiq bin Mohammad al-Baqir (lahir 83H – wafat 148 H.) digelar(الصادق) –‘Yang benar’.
7. Musa al-Kadzim bin Jaafar as-Shadiq (lahir 128H – wafat 183 H.), digelar(الكاظم) -‘Yang mampu menahan diri’.
8. Ali ar-Ridha bin Musa al-Kadzim (lahir 148H - wafat 203 H.) digelar (الرضى)-‘Yang redha’.
9. Muhammad al-Jawwad bin Ali al-Ridha (lahir 195H – wafat 220 H.) digelari(التقي) - ‘Yang banyak taqwa’.
10. Ali al-Hadi bin Muhammad al-Jawwad (lahir 212H – wafat 254 H.) digelari(النقي) - ‘Yang suci bersih’.
11. Al-Hasan al-‘Askari bin Ali al-Hadi (lahir 232H – wafat 260 H.) digelari (الزكي) - ‘Yang suci’.
12. Muhammad al-Mahdi bin al-Hasan Al-‘Askari yang digelar (المنتظر) – ‘Imam yang dinantikan’. (lahir 256H. - ...?).

Mereka menyangka bahawa Imam yang ke-12 (Muhammad al-Mahdi bin al-Hasan Al-‘Askari) telah masuk ke dalam gua di rumah ayahnya di kota Surra Man Ra'a, dan tidak kembali. Ketika Imam ini menghilang, mereka berselisih pendapat tentang usianya, ada yang mengatakan 4 tahun dan ada juga yang berpendapat 8 tahun. Tetapi kebanyakan pengkaji berpendapat bahawa Imam itu sama sekali tak pernah wujud pada asalnya. Sesungguhnya ia adalah suatu yang direka-rekakan oleh golongan Syi'ah. Kemudian mereka mengelarkan ia sebagai –‘Imam yang tidak wujud’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan