Jumaat, 4 Februari 2011

Terpandang Terpesona..

Alhamdulillah., bersyukur kita kepada Allah yang menjadikan siang dan malam dan yang mengilhamkan minda dengan segala ilmu milikNya. Selawat dan Salam atas penghulu kita nabi Muhammad s.a.w. yang pertama dijadikan Allah di Alam Arwah dan yang terakhir dibangkitkan Allah atas kerja keRASULan. Melihat kepada keperluan dan kehendak semasa maka ana memilih tajuk ini bagi boleh dijadikan panduan bersama dalam melayari alam usia di awal permulaan alam UJIAN yang kita tempuhi.

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡ‌ۚ ذَٲلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Mafhumnya;

“ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Bermula dengan mengajak sahabat-sahabat merenung jauh dan sedalam-dalamnya ayat di atas yang mewajibkan orang-orang MUKMIN dan MUKMINAH menjaga pandangan dan kehormatan masing-masing kemudian Allah menjelaskan kepada kita siapa sepatutnya yang harus kita pertontonkan perhiasan dan segala macam bentuk kecantikan yang dikurniakan Allah.

Daripada ayat di atas saya mengajak sahabat dan diri saya pergi lebih jauh. Membincangkan topik yang menjadi punca kepada kita tergelincir di alam percintaan sesama manusia kemudian mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah sebagai tempat peng’abdian dan tempat minta tolong. Pandangan mata yang dikurniakan Allah kepada kita, wajib kita pelihara daripada memandang perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana daripada pandangan mata tersebut boleh menjerumuskan kita, manusia awam ke dalam lembah yang bergelora apinya iaitu lembah Nafsu Ammarah. Melalui pandangan mata yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan kita jatuh ke dalam perasaan rindu dendam kepada apa yang kita lihat. Namun apakah daya dan kekuatan yang kita ada untuk menolak seribu satu ujian pandangan yang muncul di hadapan mata kita ?.

Kemudian Allah mengajar kita bagaimana ingin memandang dengan firmanNya dalam surah yusuf ayat ke-108 ;

قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ

Mafhumnya;

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan aku menyeru manusia kepada Allah dengan PANDANGAN aku( Muhammad s.a.w.) dan mereka-mereka yang mengikut jalanku. Maha Suci Allah dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mempersekutukan Allah.”

Pandangan yang dituntut setiap daripada manusia berIMAN memandang adalah pandangan telus kepada nabi Muhammad s.a.w. dan dibelakang baginda nabi Muhammad s.a.w itu diikuti 4 orang Rasul Ulul Azmi iaitu Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., dan Isa a.s. kemudian diikuti pula dengan 20 orang rasul yang disebut nama mereka di dalam al-Quran yang wajib diIMANI dan diketahui dan seterusnya 313 orang pada jumlah RASUL yang dilantik oleh Allah dan 124000 orang dan kata setengah ulama 240000 orang nabi-nabi yang dibangkitkan sebelum nabi kita Muhammad s.a.w. Kemudian pandangan tersebut melihat kepada sahabat-sahabat nabi yang sepuluh yang dijanjikan Syurga iaiti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Said bin Zaid, Talhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Zubair al-Awwam dan Saad bin Abi Waqash. Kemudian kita teluskan lagi pandangan kepada para Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in yang nama mereka sudah saya sebutkan sebelum ini seperti Imam Maliki dan Imam Syafie.

Dipetik lagi firman Allah bagi menjelaskan kedudukan sebenar pandangan yang dinilai oleh Allah sebagai pandangan yang benar dan bukan dipengaruhi oleh khayalan mata semata-mata dengan ayat dalam surah al-Hajj ayat ke-46

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ يَعۡقِلُونَ بِہَآ أَوۡ ءَاذَانٌ۬ يَسۡمَعُونَ بِہَا‌ۖ فَإِنَّہَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ

Mafhumnya;

“ Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Ayat di atas secara jelas menerangkan kepada kita bahawa pandangan mata kasar tidak dinilai oleh Allah sebagai suatu yang celik sekiranya kita terpedaya dengan dunia. Mengapa masih berlaku TERPANDANG dan TERPESONA kepada kita, sedangkan pandangan kita tidak dinilai baik oleh Allah. Ketahuilah sahabat, selalunya pandangan manusia awam seperti kita tidak telus dan disekat oleh bahan legap yang amat gelap. Selalunya manusia awam seumpama kita melihat kebaikan seseorang manusia kemudian dengan terburu-buru mengatakan manusia tersebut Alim, Baik Budi Pekerti, Kacak, Segak dan sebagainya sedangkan Allah sudah menerangkan kepada kita bahawa kebaikan seseorang manusia itu tidak dinilai baik sekiranya manusia tersebut tidak menjadikan nabi di hadapannya sebagai “Role Model” atau contoh ikutan terbaik. Sedarkah kita apabila TERPANDANG kebajikan dan kebaikan manusia yang terpampang di hadapan mata bahawa kebajikan dan kebaikan mutlak yang dinilai oleh Allah hanyalah terbit dari nabi Muhammad s.a.w. yang memakai gelaran Rahmatul Lil Alamin iaitu pintu bagi segala kebajikan dan dari mereka yang mengikuti perjalan dan langkahnya sahaja. Apabila terpandang kekacakkan seorang lelaki sedarkah kita rupa lelaki tersebut tidak dapat menandingi rupa Yusuf a.s. dan kecantikan seorang perempuan itu tak dapat menandingi kecantikan Zulaikha yang dimandikan dengan air bidara dari Syurga. Sedarkah kita setiap pengorbanan dan amalan yang kita lakukan tidak dinilai baik oleh Allah sekiranya kita tidak menisbahkan pekerjaan kita bersepakai kepada nabi Muhammad s.a.w. yang mana dibelakang baginda berdiri serentak seluruh nabi-nabi dan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan dan contoh kepada kita. Sedarkah kita jika Allah tidak menilai kita dengan kebajikan yang hakiki tempat kita adalah NERAKA?.

Wahai saudara,

Jangan henti memandang namun teluskan pandangan mata anda. Jika selalu melihat nabi pasti kita asyik dan tenggelam bersama kasih sayang nabi, dan jika kita melihat wanita/pemuda, harta dan takhta, maka kita semakin tenggelam dalam tipu daya dunia yang tidak kekal lama.

2 ulasan: