Sabtu, 23 Februari 2013

~~~MURAH REZEKI~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan kelapangan dan kesempatan menulis di sini untuk sama-sama kita berkongsi ilmu-ilmu manfaat sebagai bekalan untuk kita pulang ke negeri asal kita iaitu negeri LAHUT. Selawat dan salam juga atas junjungan nabi yang mulia pemberi syafaat kepada semua.

Pada kesempatan kali ini suka saya kongsikan sebuah kisah mengenai betapa sukanya Allah taala akan hambaNya yang menghubungkan silaturahim selepas pekerjaan menTAUHIDkan akan Allah. Ditanya kepada nabi s.a.w apakah amal yang terlebih kasih akan Allah taala akannya dan apa amalan yang terlebih dimurkai Allah akannya maka sabda nabi s.a.w.

"Mafhumnya; Amal yang terlebih kasih Allah akannya ialah beriman mentauhidkan Allah kemudian menghubungkan silaturrahim, amal yang terlebih dimurkai akannya oleh Allah iaitu mensyirikkan akan Allah dan memutuskan silaturrahim."  

Maka terjadi suatu kisah pada Zaman Nabi Allah Daud a.s menjadi raja pemerintah kepada kaum Bani Israel, telah datang kepada baginda dua orang lelaki kemudian dikhabarkan oleh Malaikat Maut iaitu Izrail a.s. bahawa salah seorang daripada mereka akan dicabut nyawanya selepas tujuh hari dari hari ini. Selepas berlalu suatu tempoh masa yang lama iaitu 20 tahun lamanya, berjumpa pula Nabi Daud a.s. dengan lelaki sama yang dikhabarkan akan mati dalam tempoh tujuh hari 20 tahun yang lalu, menjadi hairanlah baginda kerana lelaki itu masih panjang umurnya berlawanan daripada pengkhabaran Malaikat Izrail kepada baginda. Tanya baginda kepada malaikat Izrail kenapakah gerangan lelaki itu masih hidup sehingga menjangkaui 20 tahun lamanya. maka jawab malaikat Izrail, "Tatkala lelaki itu keluar selepas mengadap denganmu, dia menghubungkan Silaturrahim dengan kenalannya maka Allah menambah UMUR baginya dan dilimpahkan REZEKI kepadanya."

Berkata seorang arif, seseorang yang tinggal umurnya 3 hari apabila menghubungkan silaturrahim maka Allah panjangkan usianya sehingga 30 tahun dan seorang yang umurnya 30 tahun apabila memutuskan silaturrahim maka dipendekkan usianya menjadi 3 hari. Firman Allah dalam surah ar-Ra'du; 39 

 يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُ‌ۖ وَعِندَهُ ۥۤ أُمُّ ٱلۡڪِتَـٰبِ 

"Mafhumnya; Allah menghapuskan(mengubah) apa jua yang dikehendakiNya dan Dia jugalah yang menetapkan apa jua yang dikehendakiNya dan ingatlah pada sisNya ada "ibu segela suratan" iaitu Luh Mahfuz"

Ketahuilah saudara/i bahawasanya Allah melimpahkan kurniaNya dalam bentuk rekezi yang banyak, umur yang panjang dalam ketaatan dan keadaan kesihatan yang baik adalah melalui penyebab-penyebab yang terjadi. Sesungguhnya amalan menghubungkan SILATURRAHIM ini merupakan perkara yang Allah taala terlebih suka selepas mentauhidkannya. Marilah bersama beramal dengannya, hubungkan silaturrahim, maafkan kesalahan segala makhluk dan doakan pengampunan bagi diri kita dan seluruh umat Muhammad s.a.w. Selamat beramal. Wassalam~~~




Tiada ulasan:

Catat Ulasan