Ahad, 24 Februari 2013

sambungan~~~NUR MUHAMMAD~~~

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas limpahan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Selawat dan salam atas junjungan besar MUHAMMAD S.A.W. penghulu dan asal segala kejadian. Aku memohon pengampunan daripada Allah atas segala dosa-dosaku dan pengampunan ke atas seluruh muslimin dan muslimat. Amma Baqdu.

Kesempatan kali ini, kita akan mendalami dan lebih jauh menyelusuri kisah NUR MUHAMMAD S.A.W. iaitu asal segala kejadian. Mungkin ini suatu yang baru bagi sesetengah pembaca namun dalil-dalil dari al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias jelas menunjukkan perkara ini adalah HAKIKAT sebenar yang wajib kita ketahui untuk pulang ke alam LAHUT iaitu alam asal segala RUH dalam keadaan sebaik-baik kejadian.

Awal-awal Allah bagi jadi ialah Nur nabi kita Muhammad s.a.w. kemudian Allah jadikan satu jenis pohon dinamakan Syajaratul Muttaqin atau Syajaratul Yaqin yang mepunyai empat cabang. Kemudian Allah menjadikan Nur Muhammad dalam hijab daripada permata yang tersangat putih murni seumpama  rupa seekor  burung merak kemudian dihantarkan hinggap di atas pohon kayu tersebut. Maka Allah menjadikan cermin yang berkilauan kemudian apabila NUR itu menilik wajahnya ke hadapan cermin maka menjadi malu NUR itu kerana terlebih elok perhiasan dan kelakuannya maka berpeluhlah ia menjadi enam titisan peluh. Titik peluh pertama itu Allah bagi jadi ruh Abu Bakar, titik peluh kedua dijadikan ruh Umar, titik peluh ketiga dijadikan ruh usman, titik peluh keempat dijadikan ruh Ali, titik peluh kelima dijadikan pohon mawar dan titik peluh keenam dijadikan bijirin dan padi.

Kemudian NUR itu sujud lagi 5 kali maka difardhukan umat Muhammad 5 kali fardhu solat. Apabila Allah tilik kepada nur itu pada kali yang ke seterusnya maka berpeluh lagi nur itu kerana malu.

  •  Peluh hidung Allah menjadikan malaikat
  •  Daripada peluh muka dijadikan arasy, luh, kursi, qalam,    matahari, bulan dan bintang dan yang ada di langit.
  •  Daripada peluh dada dijadikan ruh mursalin, anbia, aulia, solehin, ulama, dan syuhada’
  •  Daripada  peluh belakang dijadikan Allah baitul Makmur, Baitullah, baitul Maqdis dan segala masjid di dunia.
  •  Daripada peluh dua kening dijadikan ruh segala umat Muhammad s.a.w. mukmin dan mukminat.
  •  Daripada peluh dua telinganya dijadikan ruh yahudi, nasora, majusi dan mulhidin serta munafiqin dan jahidin.
  •  Peluh dua kakinya Allah bagi jadi bumi timur dan barat dan segala isinya. 


Kemudian Allah firman kepada Nur Muhammad itu. “Tilik olehmu pada hadapanmu maka tiliklah oleh Nur itu hadapannya bercahaya, belakangnya bercaya, kanannya bercahaya dan kirinya bercahaya maka  Nur(cahaya) dari hadapan, belakang, kanan dan kiri itu ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali dan nur-nur itu mengucap tasbih kepada Allah 70 ribu tahun. Kemudian dijadikan Nur nabi-nabi daripada Nur Muhammad s.a.w maka dijadikan ruh umat-umat nabi-nabi itu daripada peluh nabi masing-masing dan ruh umat Muhammad s.a.w.  yang BERIMAN daripada peluh nur nabi Muhammad s.a.w. maka ucaplah ruh-ruh tersebut “La ilaha Illallah Muhammadur rasulullah”.

لا اله الا الله محمد رسول الله

Kemudian dijadikan Allah sebuah Qandil(Lampu) daripada aqik yang merah, kemudian dirupakan nur itu menjadi rupa nabi Muhammad s.a.w yang zahir di dunia ini dan dihantarkan nur berupa nabi kita yang zhahir di atas Qandil itu. Berdirilah nur itu dalam Qandil itu seperti berdiri di dalam sembahyang. Maka berkeliling seumpama Tawaf ruh nabi-nabi 124 000 ruh dengan mengucap tasbih dan tahlil berkeliling ruh itu seratus ribu tahun. Kemudian Allah buka hijab bagi Ruh-ruh itu lihat nur Muhammad dalam Qandil itu, dari situ siapa yang lihat KEPALA maka jadi Sultan dan khalifah, Yang melihat DAHI jadi ketua yang adil, yang melihat dua MATA menjadi Hafiz Kalamullah, yang melihat dua KENING jadi tukang lukis, lihat dua TELINGA jadi orang yang suka dengar dan terima, lihat dua PIPI  jadi org yang suka buat baik dan berakal, lihat BIBIR mulut jadi orang besar raja-raja, lihat HIDUNG jadi HAKIM, DOKTOR dan Penjual minyak wangi. Lihat MULUT jadi orang suka berpuasa. Lihat KAKI jadi elok kacak rupa dari lelaki dan perempuan, lihat LIDAH maka jadi penyampai kepada raja-raja. Lihat HALKUM jadilah orang yang suka nasihat dan tukang azan. Lihat JANGGUT  jadilah tentera perang fi sabilillah. Lihat TENGKUK jadi saudagar, lihat DUA LENGAN maka jadilah pandai menunggang dan bermain senjata, lihat LENGAN KANAN sahaja jadilah tukang bekam, lihat LENGAN KIRI sahaja jadilah jahil bodoh,  lihat TAPAK TANGAN KANAN jadi orang jual emas, perak dan tukang sukat, lihat TAPAK TANGAN KIRI jadi pandai buat sukatan dan kira-kira, lihat DUA TAPAK TANGAN jadi orang pemurah dan kepujian, lihat belakang TAPAK TANGAN KIRI jadi bakhil kedekut, lihat belakang TAPAK TANGAN KANAN jadi tukang memasak, orang yang lihat RUAS ANAK JARI KIRI jadi juru tulis, lihat RUAS ANAK JARI KANAN jadi tukang jahit, lihat ANAK JARI KIRI jadilah tukang besi, orang yang melihat DADA maka jadilah Alim, mulia dan mujtahid, lihat BELAKANG jadilah rendah diri dan suka berbuat TAAT pekerjaan syarak. Melihat akan dua LAMBUNG maka jadilah orang berperang sabil, lihat dua LUTUT maka jadi orang yang rukuk dan sujud, lihat dua KAKI jadi pandai memburu, lihat BAWAH DUA TAPAK KAKI jadi orang musafir, lihat BAYANG sahaja jadilah tukang nyanyi dan bermain alat muzik, jika tidak melihat langsung maka jadilah NASORA, YAHUDI, KAFIR MUSYRIK dan MAJUSI, jika tidak langsung tahu dan lihat maka jadilah orang yang dakwa dirinya TUHAN seperti FIRAUN dan NAMRUD.

Allah menyuruh makhluk dengan SOLAT atas rupa nama AHMAD dan MUHAMMAD maka berdiri itu umpama ALIF, rukuk itu seperti HA KECIL dan sujud itu seperti MIM dan duduk itu seperti DAL. Kemudian dijadikan manusia atas rupa nabi MUHAMMAD s.a.w. maka kepala makhluk bulat seperti MIM yang pertama, dua tangan seperti HA KECIL dan perut seperti MIM yang kedua dan dua kaki seperti DAL. Allah tidak membakar seorang KUFAR dengan rupanya di dunia tetapi digantikan rupa mereka atas rupa babi kemudian baru dibakar dengan api neraka kerana memuliakan kejadian kekasihNya Muhammad s.a.w.

Firman Allah dalam hadis Qudsi;

خلقت الأشياء لأجلك وخلقتك لأجلى

"Mafhumnya: Aku jadika segala sesuatu yang ada itu untuk dikau ya MUHAMMAD dan aku jadikan dikau untuk aku."

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لأعرف

"Mafhumnya: Adalah Aku perbendaharaan tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenalkan Daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalkan akan Daku."

Kesimpulannya, apabila kita melihat kepada asal kejadian kita maka kita akan sedia mengetahui setiap sesuatu yang berlaku atas diri kita ini adalah Maqadir ketentuan Allah Taala. Beruntunglah mereka yang melihat akan NUR MUHAMMAD itu keseluruhannya. Semoga dengan iktibar dan pengajaran dari kisah ini kita jadikan motivasi dalam memohon doa kepada Allah dipulangkan semula kita ke alam asal iaitu alam di mana kita dalam  keadaan sebaik-baik kejadian. Wassalam~~~

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
"Mafhumnya; sesungguhnya kami menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian"
(Nukilan dari; Kasyful Ghaibiah  dan  Daqa-iqul Akhbar)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan