Isnin, 25 Februari 2013

~~~TAAT dan Tugas~~~

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala pujian kembali dan hanya berhak kepada Allah. Selawat dan salam atas Muhammad Rasulullah S.A.W. Penghulu segala kejadian al-Kaun dan al-Mukawwin. Syukur kepada Allah kerana diberi petunjuk untuk menyambung menulis dalam laman ini agar boleh dikongsi bersama sahabat-sahabat semua.

Tajuk kali ini segaja dipilih kerana bagi saya bersesuaian dengan keadaan pada hari ini yang berkehendak kepada perbincangan lebih mendalam mengenai sifat TAAT ini. Kebanyakkan daripada kita mengetahui perkataan TAAT ini namun tidak mendalami maksud ISTILAH dan kadang-kadang sesetengahnya hanya semberono mengikut membabi buta tanpa mengetahui apa-apa. Tujuan saya menyampaikan ini bukan untuk mengkritik sesetengah pihak atau menyokong sesetengah pihak, kerana segala suatu yang berlaku itu adalah pengajaran kepada saya atas ketentuan dariNya semata.

Mafhum Hadis;

"Tidak ada Islam kecuali dengan Jemaah,
Tidak ada jemaah kecuali dengan Ketua,
Tidak ada Ketua kecuali dengan Taat."

TAAT menurut tafsiran kitab Fardhu Ain mudah Zadul Mutaallim ialah mengikut atau menurut perintah orang yang wajib diikuti dan dituruti perintahnya. Melalui TAAT itu sempurnalah segala peraturan-peraturan dan berbahagialah suatu pergaulan. TAAT ialah tanda jelas IKHLAS dan KASIH. TAAT ialah tanda MUKMIN dan bekal bagi orang-orang ISLAM. Wajib TAAT ini terbahagi kepada tiga;

  • Taat kepada Allah dan Rasul dan Pemerintah
  • Taat kepada ibu bapa
  • Taat kepada GURU (Ulama dan pendidik) 

Taat yang suka saya huraikan ialah TAAT kepada pemerintah kerana TAAT yang lain sudah jelas kepada semua sahabat-sahabat sekalian. Pada masa yang lalu ketika pemerintahan Abbasiah tercatatlah sejarah bahawa fahaman Muktazilah berleluasa dan pada masa yang sama khalifah juga turut terpengaruh dengan fahaman ini. Fahaman ini megatakan bahawa al-Quran itu Baharu bukan Qadim ramailah para ulama mengikut akan fahaman ini selepas didesak oleh sang Khalifah kecuali seorang yang masih tinggal di kota Baghdad iaitu Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali). Imam Ahmad bin Hanbal TAAT kepada pemerintah namun apabila sampai kepada bab yang bercanggah dengan Allah dan Rasul maka perkara itu bukan wajib ditaati lagi. Maka Imam Ahmad bin Hanbal tidak turut memperakui bahawa al-Quran itu Baharu seperti khalifah dan ulama-ulama lainnya. Imam Ahmad bersedia dihukum dengan hukuman yang berat kerana keras dan tegas beliau mempertahankan prinsipnya, beliau dipenjara dan disebat. Kenapa beliau tidak mengadakan demonstrasi atau mogok jalanan?. Sedangkan jika diikutkan, pengaruh dan para muridnya sangat ramai dan strategiknya pasti berjaya jika mahu menghimpun seberapa ramai manusia bagi menumbangkan khalifah Abbasiah tersebut. Begitu juga Imam Syafie yang lebih suka berhijrah ke Mesir daripada menentang khalifah. Inilah dinamakan TAAT dalam keadaan tidak menyokong dan tidak menentang. 

(Hikayat) Pada suatu masa dahulu, ada seorang guru agama yang mempunyai dua orang murid. Hendak dijadikan cerita, murid yang lebih tua, lebih mahir dan lebih berilmu tidak berpuas hati dan mempertikaikan gurunya kerana jelas gurunya lebih menyayangi murid yang lebih muda daripadanya. Tanyalah Sang tua kepada gurunya kenapa murid yang lebih muda disayangi lebih daripada dirinya. Pada suatu hari, berkumpullah Sang guru dengan dua orang muridnya itu. Disuruhlah murid yang tua mengangkat seekor unta yang besar ada dihadapannya. Murid yang tua terus mempertikai arahan gurunya dengan berkata "Mana mampu manusia yang kecil mengangkat unta yang besar ini wahai tuan guru". Kemudian disuruhnya guru itu akan murid yang muda pula, tanpa berlengah dan berkata apa-apa murid yang muda terus memeluk kaki unta dan cuba mengangkatnya. Murid yang tua terpinga-pinga barulah dia menyedari bahawa sayang gurunya kepada murid yang muda adalah kerana TAAT murid yang muda itu. Sesungguhnya TAAT menimbulkan perasaan KASIH.

(Hikayat) Selepas berlayar yang lama dalam banjir besar maka Allah surutkan air dan mendaratlah bahtera Nabi Nuh a.s. di atas bukit Judiy. Diperintahkan Nabi Nuh a.s. Itik supaya keluar dan meninjau keadaan adakah sudah surut air dan selamat untuk keluar dari bahtera. Itik pada ketika itu adalah haiwan yang cekap terbang dan meninjau-ninjau kawasan. Oleh kerana terlalu gembira bebas selepas lama di atas kapal dalam pelayaran Sang Itik lupa akan tugasan yang diberikan kepadanya dan tidak pulang-pulang untuk membuat laporan kepada Nabi Nuh a.s. Maka Nabi Nuh a.s pon memerintahkan burung Merpati pula untuk meninjau-ninjau kawasan. Burung merpati juga lupa akan tugasannya setelah merasa nikmat bebas tetapi tiba-tiba kaki burung merpati bertukar menjadi merah. Ingatlah Si Merpati tugasan kepadanya maka pulanglah kepada Nabi Nuh a.s. dan membuat laporan bahawa keadaan sudah selamat dan boleh turun daripada bahtera. Kerana terlalu suka kepada merpati itu maka Nabi Nuh a.s. pon berdoa kepada Allah supaya menjadikan burung Merpati haiwan yang jinak yang disayangi oleh manusia sehingga ke hari ini. Dalam masa sama itik pula ingat akan tugasannya dan bergegas pulang. Pada ketika itu Nabi Nuh a.s. sudah murka kepada itik dan bersumpah itik tidak akan boleh terbang lagi dan suka kepada tempat-tempat air yang cemar sehinggalah kepada anak cucu itik hari ini.

Pengajaran yang kita dapat ialah TAAT membuahkan kasih sayang. TAAT juga melancarkan perjalanan. Sekian dahulu pada kali ini. Wallahu a'lam. Wassalam~~~



Tiada ulasan:

Catat Ulasan